X
DONALD TRUMP
DONALD TRUMP
Agensi

Washington: YouTube menyekat saluran Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal mengakhiri jawatannya, Donald Trump untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi, menurut agensi berita Sputnik.

"Dalam kebimbangan terhadap potensi keganasan, saluran Donald J Trump akan dihalang daripada memuat naik video atau melakukan siaran langsung bagi tambahan minimum tujuh hari.

"Seperti yang dikongsikan sebelum ini, semua komen di bawah video di saluran itu juga ditutup," menurut kenyataan syarikat induk YouTube, Google.

Saluran YouTube Trump disekat daripada memuat naik bahan baharu dan berhubung dengan penonton selepas rusuhan keganasan di Capitol pada 6 Januari lalu, yang menyaksikan penyokong Republikan menyerbu bangunan perundangan dalam usaha menghentikan pengesahan kemenangan Joe Biden.

Menurut AFP, pengendali sosial media menyekat akaun Trump didasari kebimbangan bahawa pemimpin itu akan menggunakan platform berkenaan untuk menimbulkan lebih banyak rusuhan menjelang angkat sumpah Biden, pada Rabu.

Selain YouTube, Facebook (FB) turut mengenakan tindakan serupa ke atas akaun FB dan Instagram Trump, manakala Twitter mengambil tindakan menutup akaun.

Pemimpin itu juga tidak menerima akses bagi penggunaan perkhidmatan media sosial lain seperti Snapchat dan Twitch.

Trump mengakhiri fasa berdiam dirinya pada Selasa menerusi video perpisahan yang direkod lebih awal untuk dimuat naik ke saluran YouTube Rumah Putih.

Untuk kali pertamanya, beliau meminta rakyat AS mendoakan kejayaan pentadbiran Biden, walaupun belum secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Biden atas kemenangan Demokrat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 11:18 AM