X
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Washington: Angka korban Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi jumlah kematian tentera negara ini dalam Perang Dunia Kedua, menurut satu hasil pengesanan oleh Universiti Johns Hopkins.

Berdasarkan maklumat itu, Covid-19 sudah meragut 405,400 nyawa di AS.

Ini berbanding perangkaan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Veteran bahawa jumlah korban akibat pertempuran dan bukan pertempuran dalam Perang Dunia Kedua ialah 405,399 mangsa.

Angka itu sekali gus mengisyaratkan peringatan jelas mengenai kesan serius pandemik berkenaan, ketika Joe Biden memulakan penggal pentadbirannya sebagai Presiden AS yang baharu.

"Kita memerlukan segala kekuatan untuk mengharungi musim sejuk yang gelap ini.

"Kita memasuki tempoh yang berkemungkinan paling sukar dan mengancam nyawa dalam mendepani virus terbabit," kata Biden ketika menyampaikan ucapan selepas mengangkat sumpah jawatan, kelmarin.

Jumlah penduduk AS meliputi empat peratus daripada populasi dunia, dan menyumbang kira-kira 20 peratus kematian akibat Covid-19.

Malah, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit menjangkakan varian baharu Covid-19, B117 yang dikenal pasti dari Britain, membawa lonjakan baharu kadar jangkitan pada bulan mendatang.

Biden memaklumkan bahawa beliau akan mengambil langkah tindak balas yang bertunjangkan penyelesaian berasaskan bukti terhadap pandemik itu, berbeza dengan Presiden terdahulu, Donald Trump.

Biden turut menandatangani perintah eksekutif yang antara lain mewajibkan pemakaian pelitup muka di premis persekutuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:31 AM