Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci. FOTO AFP
Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci. FOTO AFP
Agensi

Washington: Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci berasa bebas untuk bercakap mengenai Covid-19 selepas Donald Trump meninggalkan pentadbiran AS.

Dalam sidang media pertamanya di bawah Presiden Joe Biden, Fauci berkata, pentadbiran baharu AS komited untuk 'telus, terbuka dan jujur' dalam berbicara mengenai Covid-19.

"Ia adalah jelas bahawa beberapa perkara yang pernah diperkatakan seperti penggunaan hydroxychloroquine, mengundang rasa tidak selesa kerana ia tidak berlandaskan fakta saintifik.

"Ideanya adalah anda boleh katakan apa yang anda tahu, apa buktinya dan sains di sebaliknya," katanya seperti dilaporkan NBC News.

Fauci mengetuai pasukan tindak balas Covid-19 AS setahun lalu dan bekerja dengan Trump serta anggota pentadbiran Rumah Putih.

Namun, hubungan mereka tidak berapa baik.

Trump dikritik kerana menyebarkan maklumat palsu berkaitan Covid-19, berlawanan dengan amaran diberikan Fauci dan pakar lain.

Trump juga enggan mengenakan pelitup muka yang akhirnya menyebabkannya dijangkiti virus berkenaan.

Ketika awal pandemik itu berlaku di AS, Fauci akan berdiri di samping Trump dalam sidang media yang kemudiannya digunakan Trump sebagai platform untuk berkempen.

Ia meletakkan Fauci dalam keadaan sukar kerana dia perlu berusaha untuk menangkis semua dakwaan Trump yang tidak tepat secara langsung di televisyen.

Malah, timbul khabar angin bahawa Trump mahu memecat Fauci kerana tidak sependapat dengannya.

Fauci berkata, ketika ini, keadaan sedikit berubah di mana 15 minit sebelum sidang media bermula, dia bertemu Biden dan berbincang mengenai 'apa yang kita lakukan adalah berdasarkan sains dan bukti'.

"Satu perkara penting dalam pentadbiran ini adalah, jika anda tidak tahu jawapannya, jangan buat andaian.

"Hanya jawap yang anda tidak tahu jawapannya," katanya.

Setiausaha akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, Fauci dan pegawai kesihatan awam lain akan membuat penampilan lebih kerap pada sidang media untuk membincangkan mengenai Covid-19 selepas pentadbiran Trump menolak untuk mengemas kini maklumat kepada orang ramai pada bulan-bulan terakhirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 7:44 PM