Kilang vaksin India terbakar. FOTO AGENSI
Kilang vaksin India terbakar. FOTO AGENSI
AFP

Mumbai: Kilang pembuat vaksin terbesar dunia, Institut Serum India, terbakar tetapi ia tidak menjejaskan penghasilan vaksin Covid-19 di premis berkenaan.

Siaran televisyen memaparkan asap tebal menjulang ke udara dari tapak institut itu di Pune, barat India.

Institut Serum India menghasilkan jutaan dos vaksin Covishield yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford.

"Kebakaran ini tidak akan menjejaskan penghasilan vaksin Covid-19," kata sumber institut itu kepada AFP, memaklumkan kebakaran itu berlaku di kilang baharu yang masih dalam pembinaan.

Seorang pegawai di balai bomba tempatan memaklumkan kepada AFP, enam atau tujuh jentera dikerahkan ke lokasi kebakaran.

"Kami tiada maklumat lanjut, sama ada berhubung tahap kebakaran atau sama ada terdapat individu terperangkap," katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa India meluluskan dua vaksin, iaitu Covishield yang dihasilkan Institut Serum India serta Covaxin yang dihasilkan firma tempatan, Bharat Biotech.

India memulakan antara pengagihan vaksin terbesar dunia Sabtu lalu, yang menyasarkan 300 juta penduduk negara itu disuntik menjelang Julai depan, menggunakan Covishield dan Covaxin.

Beberapa negara lain turut bergantung pada Institut Serum India selaku pembuat vaksin terbesar dunia dari segi jumlah pengeluaran, untuk membekalkan vaksin kepada mereka.

Institut itu turut merancang membekalkan 200 juta dos kepada COVAX, inisiatif disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan dan mengagihkan vaksin kepada negara miskin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 8:52 PM