GARRICK menyertai memenangi rumah mewah bernilai RM4.8 juta selepas memenangi cabutan bertuah ketika menderma dalam kempen ‘Teenage Cancer Trust’ di Facebook. FOTO Agensi
GARRICK menyertai memenangi rumah mewah bernilai RM4.8 juta selepas memenangi cabutan bertuah ketika menderma dalam kempen ‘Teenage Cancer Trust’ di Facebook. FOTO Agensi
Agensi

London: Kehilangan isteri tercinta akibat kanser payudara sedikit terubat buat lelaki ini apabila memenangi rumah bernilai satu juta euro (RM4.8 juta) dengan hanya bermodalkan 10 euro (RM48).

Penjawat awam, Ian Garrick, 56, dari dari Mablethorpe, Lincolnshire mengatakan dia hanya mencuba nasib selepas menyertai cabutan bertuah ketika menderma dalam kempen Teenage Cancer Trust di Facebook.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, hadiah rumah itu adalah dorongan dan semangat untuk memulakan kehidupan selepas kehilangan isterinya, Julie, hampir lima tahun lalu.

Menggambarkan kesukaran yang dialami bersama tiga anaknya, James, 30; Callum, 22, dan Nathan, 19, hadapi selepas kematian isterinya, Garrick berkata, mereka berempat memerlukan dorongan untuk meneruskan hidup.

"Impian saya ketika memasuki cabutan bertuah ini supaya dapat pergi dari sini untuk permulaan hidup baru dan ia hampir berlaku.

"Saya masih tidak dapat memikirkannya, ini adalah permulaan baru bagi saya dan anak-anak, meninggalkan beberapa kenangan pahit," katanya.

Garrick kini memiliki rumah seluas 3,000 kaki persegi di Cheadle Hulme, Cheshire, dilengkapi empat bilik tidur, empat bilik mandi, ruang tamu yang besar dan dapur canggih serta ruang pejabat berbentuk taman indah dan tab mandi panas.

Garrick berkata, dia tidak mahu melabelkan wang adalah penawar bagi semua masalah tetapi berfikiran positif untuk meneruskan kehidupan.

Cabutan bertuah itu dianjurkan syarikat pengumpulan dana berpusat di Los Angeles, Omaze bertujuan mengumpul satu juta euro untuk 'Teenage Cancer Trust' selama tiga tahun.

Naib Presiden Kanan Omaze, James Oakes berkata, dengan menawarkan hadiah luar biasa seperti rumah bernilai satu juta euro itu, pihaknya memberi peluang kepada sesiapa untuk menang selain memperkenalkan badan amal kepada penderma yang tidak diketahui sebelum ini.

"Kami gembira kerana Garrick dapat membantu sebuah badan amal yang sangat bererti baginya dan sekarang dapat menikmati hadiah yang mengubah hidup tepat pada waktunya untuk sambutan Krismas," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Teenage Cancer Trust, Kate Collins berkata, pandemik Covid-19 mengurangkan pendapatan badan amal itu sebanyak satu pertiga dengan kekurangan sekitar enam juta pound setahun.

"Awal tahun ini kami melancarkan rayuan sumbangan dana darurat sehingga kami dapat melindungi kemampuan kami untuk memberikan rawatan dan sokongan pakar penting di seluruh United Kingdom," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:01 AM