ANTARA pilihan makanan vegan yang ditawarkan syarikat berkenaan. FOTO Instagram
ANTARA pilihan makanan vegan yang ditawarkan syarikat berkenaan. FOTO Instagram
Agensi

London: Sebuah syarikat makanan berasaskan tumbuhan menawarkan pendapatan lumayan sebanyak 50,000 Pound Sterling (kira-kira RM276,000) kepada seorang penggemar daging di United Kingdom.

Tawaran itu kepada individu yang berminat untuk menjadi vegan atau hanya memakan makanan yang hanya berasaskan sayuran dan buah-buahan selama tiga bulan.

Vibrant Vegan, mengumumkan perkara berkenaan dengan mengiklankan pencarian seorang 'koordinator' yang juga individu penggemar daging.

Individu terpilih perlu menandatangani perjanjian tidak akan makan apa-apa makanan daripada sumber haiwan sepanjang tempoh itu.

"Ketika kita menuju tahun baharu, kami mahu membuat demonstrasi bahawa pelbagai makanan lain juga mampu memberikan kebaikan kepada kesihatan dan alam sekitar.

"Kami mahu buktikan makanan vegan juga mampu dinikmati sesiapa saja termasuk penggemar daging," kata Ian Burke-Hamilton, pengasas Vibrant Vegan.

Katanya, idea itu muncul selepas tinjauan yang dilakukan kepada 15,000 penggemar daging mendapati 34 peratus daripada mereka tertanya-tanya mengenai gaya hidup yang mengamalkan pemakanan berasaskan tumbuhan.

"Kami teruja untuk menggajikan seorang koordinator untuk melihat sejauh mana pengalaman mereka merasai makanan berasaskan tumbuhan.

"Sudah pasti ia sesuatu yang sukar untuk menukar mereka yang sering makan daging dalam kehidupan untuk bertukar memakan makanan berasaskan tumbuhan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Koordinator itu juga akan dibekalkan makanan sihat dan gaji lumayan serta pemantauan berterusan pakar nutrisi bagi mendapat diet yang betul.

Mereka juga perlu mempromosikan gaya hidup dengan pemakanan vegan itu ke media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:31 AM