TANGKAP layar menunjukkan proses pemindahan rumah bersejarah itu.
TANGKAP layar menunjukkan proses pemindahan rumah bersejarah itu.
Agensi

San Francisco: Rumah bersejarah era Victoria di San Francisco, berusia 141 tahun dipindahkan enam blok dari Franklin Street ke Fulton Street.

"Pemandangan luar biasa apabila dapat melihat rumah tujuh bilik dipindahkan," kata Wanda Ramos yang tinggal berhampiran lokasi asal kediaman itu.

Agensi berita 7news melaporkan, Gary Carter tinggal berdekatan lokasi baharu rumah itu juga mengakui proses pemindahan rumah itu cukup menakjubkan.

"Ini cukup besar, cukup menakjubkan," kata Carter.

Sebastian Luke seorang daripada penonton proses pemindahan rumah itu.

"Ini bangunan indah," katanya.

Pemindahan bangunan bersejarah itu menarik perhatian warga San Francisco.

Peristiwa itu dirakam dari setiap sudut oleh ratusan warga kota itu.

Ada menyifatkannya umpama babak dalam animasi Pixar apabila sebuah rumah dipindahkan dengan belon.

Rumah itu dikenali sebagai Englander House dipindahkan ke lokasi baharu, dalam tempoh enam jam.

"Ada beberapa gangguan dalam perjalanan. Pokok, lampu dan papan tanda," kata Lana Costantini, jurucakap Persatuan Sejarah San Francisco.

Bagaimanapun, pemotong pokok bersiap sedia, manakala jalan ditutup dan dikawal polis.

Pakar sejarah mengatakan, ia kali pertama sejak 1974 rumah era Victoria seperti itu dipindahkan di San Francisco.

Dengan pemindahan itu, 50 dan 60 unit baharu dapat dibina di lokasi lama.

"Saya naik di tingkat 11 dan ketika melihat ke bawah, saya tidak percaya apa yang berlaku, saya fikir ini detik bersejarah," kata penduduk, Eddie Ramos.

Bagaimanapun, proses pemindahan itu bukan tugas mudah.

Talian elektrik, meter parkir dan lampu jalan dikeluarkan bagi membolehkan bangunan itu dipindahkan.

Selain itu, beberapa laluan bas juga dilencongkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:30 AM