SI KEMBAR juga selesa memakai topeng muka demi kebaikan sendiri.
SI KEMBAR juga selesa memakai topeng muka demi kebaikan sendiri.
AMERUDIN dan Noor Zalia bersama anak kembar mereka.
AMERUDIN dan Noor Zalia bersama anak kembar mereka.
Hajahfarhana Tarmudi


Anak adalah anugerah terindah dalam kehidupan selepas berumah tangga. Pastinya, semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

Bukan saja dari segi pendidikan dan keperluan anak, malah aspek kesihatan juga menjadi perkara utama yang diberi perhatian oleh ibu bapa.

Ini kerana anak yang masih kecil memerlukan penjagaan rapi bukan saja di luar rumah tetapi di dalam rumah bagi mengelakkan jangkitan virus atau kuman disebabkan mereka belum memiliki sistem imun yang kuat.

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati dan begitulah juga yang dialami oleh ibu bapa kepada sepasang anak kembar, Amerudin Mohammad dan Noor Zalia Abd Mutalip selepas permata hati mereka mengalami masalah kesihatan.

WAJIB PAKAI TOPENG MUKA

“Setiap kali keluar rumah, pasti ada yang bertanya pelbagai persoalan. Kenapa kembar pakai topeng muka? Tak sihat ke? Jerebu ke? Selesema ke?

“Setiap kali itulah kami akan beri jawapan berlainan sama ada jerebu, tidak sihat atau sengaja pakai untuk pencegahan. Ada juga yang takut anak mereka boleh dijangkiti sedangkan si kembar sudah sihat.

“Saya sudah lali dengan pelbagai persoalan yang diajukan orang sekeliling setiap kali melihat anak kami memakai topeng muka. Biarlah apa orang nak kata, yang penting saya ambil langkah selamat untuk anak. Lagipun, pelbagai jenis virus yang kerap muncul sekarang ini, lebih baik mencegah daripada mengubati.

“Malah, anak kembar kami juga tidak pernah rimas memakai topeng muka. Kalau tidak memakainya, mesti mereka minta dipakaikan juga,” kata Amerudin .

Jelasnya, anak kembar mereka, Arissa Nursyakira Amerudin (kakak) dan Afrina Nursyakila (adik), 6, mula memakai topeng muka setiap kali keluar rumah sejak berusia tiga tahun lagi hingga sekarang.

Mengimbas kisah lalu, Amerudin berkata, berat kakak adalah 2.6 kilogram (kg) manakala adik, 2kg ketika dilahirkan. Pada Mac 2013, ketika berusia dua tahun, kembar ini dikejarkan ke hospital awam kerana mengalami alergi kulit dan demam panas dengan suhu yang tinggi.

Seluruh badan timbul bengkak dan kemerah-merahan menyebabkan kegatalan teruk. Kedua-dua anaknya ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Lebih menyedihkan, mereka diberitahu pasangan kembar itu dijangkiti virus paru-paru pula pada hari ketiga berada di dalam wad.

“Penyakit lama belum sembuh, masalah lain pula yang menimpa. Selama dua minggu kembar tidak bermaya, menyebabkan kami begitu runsing dan terpaksa memindahkan mereka ke hospital pakar.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah rawatan di hospital pakar sangat berkesan dan kembar semakin pulih dari semasa ke semasa. Rawatan dilanjutkan selama dua minggu.

“Sejak itu, doktor pakar menasihatkan kami supaya kembar dikuarantin selama tiga tahun dan elakkan daripada bergaul dengan orang ramai serta tidak digalakkan bersekolah.

“Jika terpaksa keluar rumah, mesti dipakaikan topeng muka. Selepas tiga tahun berlalu, kami tetap meneruskan pemakaian topeng kerana kembar sudah biasa, lagipun ia sesuatu yang baik untuk melindungi kesihatan anak kami,” katanya.

SENTIASA BERJAGA-JAGA

Jelasnya, ada tiga lokasi yang perlu dielakkan membawa anak kembarnya iaitu tempat yang terlalu ramai pengunjung, yang ada haiwan peliharaan dan kawasan perkelahan mandi-manda.

“Lokasi yang terlalu ramai pengunjung adalah tempat yang paling berisiko kerana kita tidak mengetahui tahap kesihatan orang lain. Tempat yang ada haiwan pula seperti kucing dan anjing boleh memberi kesan alahan kepada kanak-kanak ekzema seperti mereka.

“Tempat mandi-manda seperti kolam renang dan air terjun adalah tempat yang paling mudah merebaknya virus serta wabak,” katanya.

Jelasnya, doktor pernah menasihatkan mereka memakai topeng muka kerana ia penting untuk melindungi paru-paru daripada serangan virus yang disebarkan melalui udara.

Virus yang tersebar akan masuk ke dalam tubuh melalui rongga mulut dan hidung seterusnya menyerang organ pernafasan seperti hidung, mulut, tekak dan paru-paru.

Bagi si kembar pula, risiko lebih tinggi kerana pernah dijangkiti virus pada paru-paru. Oleh itu, paru-paru kembar lebih sensitif berbanding dengan orang yang tidak pernah dijangkiti dan disebabkan itu doktor mencadangkan supaya dua anak dara kecil ini sentiasa dipakaikan topeng muka.

“Pemakaian topeng muka ini hanya untuk sementara ketika anak membesar kerana pada usia ini antibodi mereka masih lemah dan mudah dijangkiti penyakit.

“Buat masa ini, kami tidak menetapkan lagi tempoh pemakaiannya kerana ia bergantung kepada tahap kesihatan anak. Sekiranya pada usia 10 tahun tahap kesihatan mereka stabil dan jarang dijangkiti penyakit bermakna antibodi kembar sudah semakin kuat.

“Pada masa itu, kami akan kurangkan pemakaian topeng muka untuk aktiviti luar, namun jika terpaksa ke tempat awam yang terlalu ramai orang terutama warga asing, wajib untuk memakainya,” katanya.

Dia dan isterinya, Noor Zalia bersyukur kerana anak kembar mereka tiada masalah kesihatan yang membimbangkan buat masa sekarang dan hanya sakit biasa bagi kanak-kanak yang mula bersekolah.

Bagi mereka, anak kecil belum tahu apa-apa dan ibu bapalah yang bertanggungjawab sepenuhnya memastikan kesihatan si kecil sentiasa terjaga.

Ibu bapa perlu sedar mengenai kehadiran banyak kuman, wabak dan virus yang berbahaya dan sukar untuk dikawal. Perkara yang boleh dilakukan sebagai ibu bapa adalah dengan mengawal anak-anak.

“Saya sarankan sentiasa membawa cecair pembasmi kuman dan selalu cuci tangan kita dan tangan anak apabila berada di luar rumah.

“Kalau boleh pakaikanlah topeng muka apabila berada di tempat awam yang terlalu sesak terutama jika ada anak yang masih kecil. Bagi saya, biar kita susah sekarang daripada menyesal di kemudian hari,” nasihatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:24 AM