WONG menunjukkan cara membuat pemanis mulut Eaton Mass.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Tugas memasak kadang kala dianggap sebagai beban dalam rutin harian, apatah lagi jika diri terikat dengan komitmen kerja serta tanggungjawab menguruskan keluarga. Untung bagi ibu jika mempunyai anak gadis yang rajin membantu di dapur.

Bagi cef dan juga pemilik Dish by Ili, Ili Sulaiman, persepsi memasak sebagai beban boleh diubah dengan menanam rasa minat generasi muda terhadap keseronokan memasak.

Dari situ, tercetuslah idea untuk Ili mengadakan sesi ‘Masak Masak’ bersama kanak-kanak di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras. Sepanjang sesi itu, Ili dan Basira Yeusuff dari kumpulan Agak Agak bersama pasukan Tefal berkongsi tip mengenai cara memasak dan memahami kepentingan mengambil makanan sihat kepada kanak-kanak di rumah berkenaan. Mereka memasak Pasta Ayam Bolognese dan pencuci mulut Eton Mass menggunakan peralatan dapur dan alat memasak premium, Tefal.

Mengambil kira kepentingan menyediakan diet sihat untuk kanak-kanak, Ili memilih resipi sihat dan seimbang untuk sajian semua. Misi jadi lebih mudah dengan rangkaian Tefal yang luas dan pelbagai. Teknologi terkini dan terbaru produk itu memudahkan kerja menyediakan makanan yang bukan sahaja sihat, tetapi lengkap dengan rasa dan tekstur sempurna.

Pengurus Negara untuk GROUPE SEB Malaysia, Jack Wong berkata, program Masak Masak itu diadakan khusus untuk berkongsi kemeriahan dan keceriaan hari raya bersama dengan golongan yang lebih memerlukan.

“Seramai 30 pekerja Tefal dari GROUPE SEB Malaysia secara sukarela mengadakan majlis makan tengah hari bertemakan hari raya bersama anak-anak Rumah Kasih Harmoni. Ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tefal yang membabitkan semua kakitangan.

“Saya percaya hari raya bukan sahaja diraikan bersama keluarga dan rakan, tetapi juga untuk semua masyarakat. Menerusi program raya ini, kami di Tefal ingin menekankan semangat kebersamaan, rasa inovatif dan keinginan untuk menjalani kehidupan sihat,” katanya.

Jelas Wong, bermula Jun 2017 lalu, setiap RM1 yang dibelanjakan bagi membeli produk Tefal di seluruh Malaysia didermakan untuk program ini. Berikutan itu, RM10,000 berjaya dikumpul untuk memeriahkan majlis di Rumah Kasih Harmoni.

Menyedari hakikat bahawa bukan semua keluarga berkongsi pertalian darah, Wong berkata, pihaknya berpegang teguh pada konsep menghargai dan meraikan kebersamaan. Atas sebab itu pihaknya bekerjasama memastikan program disusun berjalan lancar sekali gus memberi makna besar kepada kanak-kanak istimewa yang diraikan.

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Jamaluddin Wahab berkata, pihaknya terharu dengan kesudian Tefal meluangkan masa mengajar kanak-kanak di rumah itu cara memasak yang betul dan sihat.

“Jelas terpancar kegembiraan di wajah kanak-kanak ini. Mereka tersenyum dan bergelak ketawa sepanjang program dijalankan. Saya yakin mereka juga gembira dan seronok apabila diberi peluang untuk belajar mengenai pemakan sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 11:40 AM