Nor Faizah Mohamed


Cuci muka. Ia rutin harian sejurus bangun tidur, juga sebelum melangkah ke katil pada waktu malam. Membersihkan wajah setiap hari menjadi salah satu perkara utama dalam menjaga kebersihan diri selain memberus gigi, bersyampu, bersabun dan sebagainya.

Bagi wanita, rutin penjagaan wajah lazimnya lebih kompleks terutama bagi yang gemar bersolek tebal. Sebelum wajah disentuh sabun atau krim pembersih, proses menanggalkan solekan terlebih dulu mengambil tempat - dan masa - bagi memastikan setiap inci kulit wajah tiada kesan cela disebabkan bahan solekan.

Bukanlah perkara rahsia dalam dunia kecantikan apabila minyak esen digunakan untuk proses pembersihan awal itu, di mana majoriti minyak berupaya menanggalkan solekan dengan baik meskipun daripada jenis kalis air.

Minyak argan, camellia, zaitun, ekstrak biji anggur dan minyak kelapa contohnya membantu proses menanggalkan kesan solekan degil serta dalam masa sama memberikan hasil kulit yang lebih lembut.

Bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai kulit jenis kombinasi dan berminyak, proses pembersihan awal dengan minyak esen ini selalu menjadi pilihan terakhir.

Penulis sendiri agak gusar menggunakan minyak untuk menanggalkan solekan kerana biasanya ia akan membuatkan kulit jenis kombinasi ini lebih melekit dan perlu dibersihkan berulang kali dengan krim pembersih.

Hasilnya, kulit rasa lebih tegang dan ada beberapa bahagian wajah seperti di sekitar rahang serta dagu menampakkan kesan kulit kering.

Kala penulis diberi peluang mencuba minyak pembersih ultra ringan Midnight Recovery Botanical Kiehl’s ketika sesi pengenalannya kepada media Asia sempena simposium kecantikan di Wellington, New Zealand, beberapa bulan lalu, ia bagaikan cinta pandang pertama.

Ia tidak komedogenik - bonus bagi penulis yang sering mengalami masalah pori dan kulit berminyak di zon-T. Ia juga tidak menggunakan formula sabun, tiada sulfat dan bebas daripada minyak mineral.

Namun apa yang lebih menarik perhatian ialah formula yang ada di dalamnya. Eliksir mewah yang diperkaya dengan campuran minyak botani tulen penuh aroma ditambah minyak evening primrose, squalane iaitu lipid tumbuhan daripada buah zaitun, minyak asid Omega-3 dan Omega-6 serta esen minyak lavender Bulgaria.

Mengikut sejarahnya, Kiehl’s muncul perintis dalam kategori minyak wajah sekitar pertengahan 2010 menerusi pelancaran Midnight Recovery Concentrate, minyak campuran ekstrak botani yang membantu memperbaiki kulit ketika tidur.

Formula itu berterusan menjadi kegemaran wanita di seluruh dunia hinggakan ia mencatat rekod jualan satu botol setiap seminit secara global.

Susulan permintaan dan pengaruh siri produk itu, kini ia tampil dengan minyak pembersih ultra ringan Midnight Recovery Botanical sejak suku pertama tahun ini dengan memfokuskan kepada rutin pembersihan wajah yang lebih mudah dan berkesan.

Ia bukan sahaja membersihkan kotoran kulit, minyak dan krim tabir suria malah mensasarkan solekan degil serta mengurangkan proses pembersihan dua kali yang biasanya dilakukan apabila menggunakan minyak.

Menurut Naib Presiden Pembangunan Pendidikan Global Kiehl’s, Cammie Cannella, penggunaan minyak semata-mata untuk membersihkan wajah mungkin kelihatan bertentangan dengan apa yang telah dipelajari atau diketahui pengguna sejak dulu terutama bagi golongan yang mengalami kulit berminyak.

“Bagaimanapun, kami berusaha mengubah persepsi itu dengan membangunkan formula yang bukan saja membersihkan kotoran secara efektif tetapi membantu mengekalkan pertahanan lembapan yang amat diperlukan kulit.

“Bukan hanya kulit kering memerlukan lembapan berterusan malah kulit berminyak dan kombinasi juga perlukan lembapan seimbang sebagai pertahanan kulit,” katanya.

Berdasarkan ujian klinikal ke atas 50 wanita yang mengenakan maskara kalis air, gincu tahan lama, solekan penuh dan krim tabir suria, 94 peratus mengatakan pembersih ultra ringan Midnight Recovery Botanical ini berupaya menanggalkan semuanya dengan berkesan.

Selepas empat minggu digunakan, 96 peratus mendapati kulit mereka lebih lembap secara sekata dan keadaan kulit bertambah baik.

Tambah Cammie, jenama itu menghargai sumber bumi kerana ia menawarkan pelbagai kelebihan untuk kulit, tidak kira dari segi sains juga ubatan.

“Kami berusaha memanfaatkan sebaik mungkin kuasa alam untuk membantu memulihkan masalah tubuh khususnya berkaitan kulit,” ujarnya.

Kelapa dan lemon

Menerusi simposium kecantikan itu juga Kiehl’s memperkenalkan rangkaian penjagaan bibir Butterstick Lip Treatment yang dihasilkan daripada kombinasi mentega lemon dan minyak kelapa.

Dua bahan utama itu memberikan tekstur ringan dengan kemasan akhir yang melembapkan bibir. Mentega lemon diperoleh dari California, Amerika Syarikat berikutan ia popular kerana kaya dengan antioksidan.

Bahan minyak kelapa pula didapati dari Filipina dan dikenali sebagai agen penawar dalam perubatan Ayurveda yang mula digunakan sejak 4,000 tahun lalu.

Salap bibir ini terdiri daripada 90 peratus asid lemak tepu yang baik untuk membantu menghalang kehilangan lembapan lalu membina pertahanannya, sekali gus melembutkan bibir.

Dilengkapi dengan UVA dan UVB bersama SPF 25, ia turut membantu melindungi bibir daripada selaran matahari.

Salap Butterstick Lip Treatment ini hadir dalam lima variasi iaitu Simply Rose, Touch of Berry, Naturally Nude, Untinted dan Untinted tanpa perlindungan SPF.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 2:17 PM