UBAH gaya dengan padanan kasut sesuai.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Bukan semua orang menggemari barangan ‘bundle’ atau terpakai. Namun, jika bijak membeli dan memilih, barangan terpakai berjenama mampu diperoleh dalam keadaan baik kerana kualiti yang dipertaruhkan.

Tidak hanya pakaian, barangan ‘bundle’ juga sinonim dengan koleksi kasut. Pelbagai rekaan dan koleksi kasut berjenama terkenal serta asli ditawarkan kepada peminat barangan terpakai ini.

Perunding Jurujual AyoAsia Cawangan Johor Bahru Ungku Arina Qahirah Ungku Hisham berkata, pelbagai jenis kasut ‘bundle’ ditampilkan bermula daripada but, sneakers hinggalah kasual.

“Bukan saja kasut lelaki, malah ada juga wanita meminati kasut terpakai apatah lagi daripada koleksi yang sukar diperoleh di pasaran.

“Oleh itu, pelbagai jenis kasut but kulit, sneakers atau sukan untuk gaya kasual, ranggi, sporty dan jalanan dengan pilihan yang masih dalam keadaan baik boleh didapati sesuai dengan harga berpatutan serta kualitinya.

“Setiap gaya kasut dan rekaannya ada peminat tersendiri. Misalnya, kasut sneakers lebih diminati generasi muda manakala but disukai orang dewasa,” katanya.

Jelasnya, pemakaian kasut jenis but sesuai digayakan ketika mengembara, berkunjung ke negara musim sejuk atau mengubah gaya santai mengikut kesesuaian dan keselesaan gaya diminati.

Kebiasaannya, but ini dibuat daripada kulit dan tahan lama, sesuai untuk aktiviti tertentu seperti menunggang motosikal atau ketika mengembara.

Secara tidak langsung, pemakaian but sama ada paras buku lali atau lebih tinggi mampu mengubah gaya kasual kepada ranggi atau klasik, mengikut rekaan yang ditampilkan.

Harga yang ditawarkan bergantung kepada koleksi, rekaan dan tahun ia direka kerana setiap satu but berjenama terkenal itu mempunyai keistimewaan tersendiri selain memberikan nilai sentimental kepada peminatnya.

Selain kasut but, terdapat juga sneakers hingga gaya kasual dengan harga menarik ditawarkan kepada lelaki mahupun wanita yang gemar memiliki kasut ‘bundle’.

Semua kasut yang ditampilkan boleh didapati bermula saiz 4 hingga 7.5 (wanita) dan 6.5 hingga 13 (lelaki) di cawangan kedai ‘bundle’ jenama itu yang terletak di Kilang Bateri, Johor Bahru yang mula dibuka setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 12 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 9:45 AM