DAPATKAN perlindungan daripada gigitan nyamuk.
SRIRAM (kanan) dan Pan menunjukkan produk penghalau nyamuk Carrie terbaru.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kepesatan teknologi turut membawa perubahan besar terhadap tabiat kanak-kanak sekali gus memberi cabaran yang hebat untuk ibu bapa dalam membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan anak mereka.

Gajet elektronik, alat permainan video dan peranti mudah alih dilihat seolah-olah menggantikan aktiviti menyeronokkan sebagai kanak-kanak seperti bermain di taman permainan, berekreasi bersama keluarga pada hujung minggu dan pelbagai aktiviti berfaedah lain.

Bagaimanapun, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dengan mengehadkan penggunaan gajet dalam kehidupan anak dan berusaha menjadikan kehidupan aktif sebagai amalan sekeluarga.

Pakar Pediatrik DEMC Dr Roliza Ibrahim berkata, semakin ramai kanak-kanak yang terlalu terdedah dengan gajet hingga ada antaranya yang menjadi ketagih.

Menurutnya, ketagihan gajet bukan lagi asing malah pada tahap membimbangkan hingga satu tahap mereka tidak mahu keluar rumah untuk melakukan aktiviti sihat sekali gus meningkatkan risiko obesiti pada usia muda. Lebih membimbangkan, aktiviti luar yang menarik dianggap membosankan.

“Teknologi boleh digunakan untuk perkara yang bermanfaat atau sumber pembelajaran namun jika disalah guna, ia akan mendatangkan pengaruh negatif dalam kehidupan kanak-kanak.

“Ramai pesakit kanak-kanak yang dirujuk pada saya ketagihan gajet hingga mata mereka rabun dan perlu memakai kaca mata pada usia sangat muda disebabkan terlalu kerap memandang skrin gajet.

“Sebab itu ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mendorong anak keluar rumah melakukan aktiviti menyihatkan. Apa yang saya perhatikan, ramai ibu bapa kini lebih gemar membawa anak ke pusat beli- belah berbanding ke tempat mereka boleh lakukan aktiviti kecergasan bersama anak.

“Kecenderungan ini adalah mengikut minat ibu dan ayah. Tetapi minat itu perlu diubah demi kesejahteraan anak yang lebih menyeluruh. Jika kita kurang aktif, janganlah kita pula yang mengheret anak untuk mengikuti gaya hidup yang kurang sihat itu. Sebaliknya sebagai ibu bapa kita perlu berfikir kreatif dalam memupuk minat anak terhadap aktiviti luar yang boleh membuka pemikirannya dan merangsang mindanya untuk berfikir selain menambah pengetahuannya.

“Di negara kita ada banyak tempat menarik seperti taman permainan, zoo dan pusat rekreasi yang boleh dikunjungi dan pelbagai perkara menyeronokkan boleh dilakukan bersama tanpa gajet,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran losen penghalau nyamuk Carrie Mozzibuster di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Wipro Unza K Sriram bersama Pengurus Besarnya, Pan Choi Yen dan Pengurus Pemasaran, Billy Law.

Dr Roliza berkata, sudah tiba masa ibu bapa memainkan peranan dengan turut serta dalam pelbagai aktiviti di luar rumah berbanding membiarkan anak mereka terus leka dengan teknologi hingga memudaratkan kesihatan.

Katanya, jika ada ibu bapa yang bimbang membawa anak keluar dengan alasan tidak mahu digigit nyamuk aedes, kini ada pelbagai produk penghalau nyamuk yang boleh dipakai untuk mengelakkan risiko denggi.

Sementara itu, Sriram berkata, Carrie memahami kebimbangan ibu bapa terhadap peningkatan kes denggi di negara ini dengan tahun lalu saja terdapat lebih 75,000 kes denggi yang membabitkan 166 kematian. Malah, kebangkitan virus Zika kini menjadi satu lagi kebimbangan kepada masyarakat.

Menurut fakta dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perlindungan terhadap gigitan nyamuk adalah penting bagi mencegah penyakit yang berpunca daripadanya.

Oleh itu, langkah pencegahan perlu diteliti terutama pada waktu siang dan pembabitan pencegahan yang aktif terhadap kanak-kanak.

“Di Carrie, kami mahu membantu minda kanak-kanak agar terus berkembang dengan bermain dan berimaginasi di dalam dan di luar rumah.

“Carrie mengambil masa dua tahun bagi membangunkan produk ini secara teliti dan ia didaftarkan di bawah badan berkanun iaitu Lembaga Racun Makhluk Perosak, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Dua produk baru untuk menghalau nyamuk iaitu losen penghalau nyamuk dan losen penghalau nyamuk dengan perlindungan UV Carrie Mozzibuster diperkenalkan bagi mengatasi kebimbangan ibu bapa. Kedua-dua losen ini sudah diuji untuk menghalau nyamuk sehingga lapan jam,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua losen itu boleh digunakan setiap hari bagi perlindungan di dalam dan luar rumah. Carrie Mozzibuster dengan UV dilengkapi perlindungan sinaran matahari untuk jaminan di luar rumah.

Ia diformulasi khas untuk kegunaan pada kulit kanak-kanak selain diiktiraf dengan sijil halal. Kedua-dua produk itu boleh didapati dalam pek mudah dibawa bersaiz 50ml dan 100ml.

Mengulas lanjut, Dr Roliza berkata, ibu bapa perlu peka terhadap kesihatan anak dari semasa ke semasa dan memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dari takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, jika ibu bapa mahupun anak menghidap demam panas lebih tiga hari seharusnya perlu dirujuk ke hospital serta merta.

“Bagaimanapun, orang dewasa dan kanak-kanak menunjukkan simptom demam denggi yang berbeza terutamanya bagi kanak-kanak, tanda mereka menghidap demam denggi lebih lambat untuk diketahui atau dikesan jika dibandingkan dengan orang dewasa.

“Antara simpton demam denggi yang boleh dikenalpasti, selain demam, pesakit akan berasa sakit pada abdomen, tulang, gusi berdarah (peringkat teruk), kesan kegatalan di kulit (ruam), sakit kepala yang kerap dan kadang kala menyebabkan muntah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 12:02 AM