Skip this ad x
Dr Mahenderan Appukutty (Pakar Pemakanan & Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemakanan Malaysia)

Usus yang sihat adalah kritikal kepada kesihatan secara keseluruhan kerana usus yang tidak sihat menyumbang kepada pelbagai masalah seperti sindrom usus rengsa dan penyakit Crohn’s. Kemerosotan kesihatan usus juga dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit tidak berjangkit (contohnya obesiti, diabetes dan kanser).

Komponen sistem penghadaman

Sistem penghadaman terdiri daripada saluran gastrousus, hati, pankreas dan pundi hempedu. Organ geronggang (berongga) ini merangkumi saluran gastrousus termasuk mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus besar, rektum dan dubur.

Bakteria di dalam saluran gastrousus (juga dikenali sebagai flora usus atau mikrobiom) turut dianggap sebagai komponen penting sistem penghadaman kerana membantu dalam penghadaman dan fungsi usus yang lain. Daripada mengunyah sehingga membuang air besar, semua komponen sistem penghadaman bekerjasama untuk menyempurnakan tugas menghadam makanan (pepejal dan cecair) yang kita ambil setiap hari.

Turutkan rasa binasa, turutkan hati mati

Sistem penghadaman adalah organ pertama yang berhubung dengan makanan yang kita ambil. Sistem penghadaman mengubah makanan yang kita makan kepada bentuk paling ringkas. Komponen sistem penghadaman adalah kuat dan berdaya tahan, namun tabiat gaya hidup yang tidak sihat boleh memberi kesan.

• Lemak dan minyak merosakkan

Lebih banyak kita mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak, semakin banyak hempedu dan enzim lipase diperlukan tubuh untuk menghadam lemak.

Jika kita makan terlalu banyak lemak, kita akan membebankan keupayaan hati dan pankreas untuk menghasilkan hempedu dan enzim lipase secukupnya bagi membantu penghadaman lemak berkenaan, akibatnya ketakcernaan akan berlaku. Hati dan pankreas yang bekerja lebih, lama-kelamaan akan menyebabkan ia tidak berfungsi dan situasi ini boleh membawa kepada penyakit hati berlemak, kerintangan insulin dan diabetes.

• Garam secukup rasa

Garam atau natrium klorida penting untuk memelihara keseimbangan cecair di dalam sel, pengecutan otot dan penghantaran impuls saraf. Tubuh kita juga memerlukan garam untuk memelihara paras pH yang betul di dalam perut dan juga menghasilkan asid hidroklorida. Garam juga memainkan peranan dalam membantu proses penyerapan nutrien.

Bagaimanapun, pengambilan terlalu banyak garam, akan meningkatkan risiko ulser gaster, kanser perut dan tekanan darah tinggi.

Manakala, jika terlalu sedikit, kita tidak akan dapat menghasilkan asid secukupnya untuk melerai dan menyerap makanan yang boleh menyebabkan ketidakhadaman.

• Mati semut kerana gula

Pankreas, sebahagian daripada sistem penghadaman mengeluarkan insulin untuk memelihara keseimbangan gula di dalam darah. Jika terlalu banyak gula akan menyebabkan sama ada pengeluaran insulin terlalu banyak atau tidak mencukupi. Ini akan membawa kepada hipoglisemia (paras gula rendah) atau hiperglisemia (paras gula tinggi).

Hati menggunakan gula fruktosa yang juga dipanggil gula buah bagi menghasilkan lemak. Terlalu banyak gula biasa dan sirap jagung yang tinggi kandungan fruktosa akan menyebabkan peningkatan lemak dan menjurus kepada penyakit hati.

Bakteria usus berbahaya juga menggunakan gula sebagai makanan untuk membiak dan menyebabkan masalah perut.

• Mikrobiom usus kucar-kacir

Bakteria di dalam usus membantu menghalang kemasukan patogen, menghadam nutrien tertentu dan ubat-ubatan, malah, membantu menghasilkan nutrien penting, memelihara integriti usus serta dikaitkan dengan kelancaran fungsi sistem imun. Sebarang gangguan pada keseimbangan mikrobiom yang normal akan meningkatkan risiko jangkitan dan ancaman luar yang berbahaya. Ketidakseimbangan mikrobiom usus berpunca daripada tabiat pengambilan diet yang tidak sihat, pencemaran persekitaran, penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan sebagainya.

Didikan awal

Selain makanan, tabiat makan juga boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebagai ibu bapa, amalkan tabiat makan berikut dan didik anak-anak mengenai kesihatan usus dan makanan dari awal:

• Kunyah makanan dengan sempurna sebelum menelan dan jangan makan terlalu cepat. Makan dengan cepat boleh menyebabkan ketakcernaan.

• Jangan melangkau waktu makan. Melangkau waktu makan akan meningkatkan kecenderungan kita untuk makan berlebihan pada waktu makan seterusnya. Makan pada waktu makan yang tetap setiap hari membantu penghadaman.

• Jangan makan berlebihan atau menjadikan makanan sebagai terapi tekanan emosi. Makan berlebihan boleh membawa kepada ketidakcernaan, pedih ulu hati dan refluks asid.

• Kurangkan snek atau pilih snek yang lebih berkhasiat (contohnya buah atau kekacang).

• Elakkan makan lewat malam atau terlalu hampir dengan waktu tidur. Apabila kita baring di atas katil sejurus selepas makan, kita akan mengalami pedih ulu hati dan refluks asid, ini pula akan mengganggu tempoh tidur.

• Makan lebih banyak makanan kaya serat dan yang mengandungi prebiotik untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan meningkatkan pergerakan usus. Kita juga boleh mengambil probiotik daripada sumber seperti tempe, kimchi, yogurt dan minuman susu berkultur, yang akan menambahkan faedah ke dalam usus.

Cari keseimbangan

Mengambil terlalu banyak makanan yang baik pun tidaklah ideal kerana tiada satu jenis makanan yang mempunyai semua nutrien untuk memelihara usus dan kesihatan tubuh kita.

Justeru, kita harus makan hidangan seimbang dalam saiz sajian yang sederhana dan terdiri daripada pelbagai jenis daripada setiap kumpulan makanan yang dicadangkan di dalam Piramid Makanan Malaysia.

Kita sekeluarga boleh mencapai kesihatan usus yang lebih baik dengan melakukan transformasi makanan dan gaya hidup untuk mencapai kesejahteraan berpanjangan.

*Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Artikel ini disokong oleh geran pendidikan Vitagen. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 12:37 PM