PESERTA bersemangat memulakan Larian Malam UV sebagai sokongan kepada pesakit kanser payudara.
Nursyahirah Marzuki


Suasana malam yang gelap gelita dan sepi di Cyberjaya bertukar ceria apabila lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat memakai gegelung ‘bersinar dalam gelap’ berwarna-warni.

Malah, ada di antara peserta turut mencalitkan muka mereka dengan cat memantul cahaya pelbagai corak yang membuatkan Larian Malam UV Hospital Columbia Asia di Taman Tasik Cyberjaya, awal bulan lalu lebih meriah.

Aktiviti yang bermula seawal jam 7 malam itu ‘dipanaskan’ dengan senaman zumba sebelum peserta melepasi garis larian pada jam 8.30 malam membabitkan dua kategori iaitu tiga dan 10 kilometer.

Aktiviti larian amal sempena Bulan Kesihatan Kanser Payudara atau ‘Pink Oktober’ itu adalah antara inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Columbia Asia dalam meningkatkan kesedaran wanita berkaitan penyakit kanser payudara.

Peserta larian dilepaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tenggara Syarikat Kumpulan Columbia Asia, Kelvin Tan pada jam 8.30 malam dan 8.45 malam masing-masing bagi acara 10 kilometer dan tiga kilometer.

Kelvin ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak yang tampil untuk memberi kesedaran mengenai penyakit kanser payudara.

“Kanser payudara berkait rapat dengan wanita malah, setiap tahun banyak kematian direkodkan akibat penyakit ini dan kami juga berharap kadar peratusan kesedaran mengenai penyakit ini semakin meningkat.

“Oleh itu, penganjuran program seperti ini bukan saja dapat mengumpul dana tetapi turut membantu orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kanser ini,” katanya.

Hadir sama Pengurus Besar Kawasan 1 Hospital Columbia Asia Engku Marina Engku Hatim dan Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) Ranjit Kaur.

Dalam pada itu, Engku Marina berkata, larian kali ketiga dianjurkan pihaknya itu adalah antara langkah untuk membantu BCWA memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser payudara.

“Ini adalah kali pertama kami melaksanakan larian amal pada waktu malam untuk memberi sedikit kelainan kepada peserta dan penyertaan mereka juga meningkat berbanding sebelum ini.

“Kanser payudara sangat berkait rapat dengan wanita dan kami gembira apabila mengetahui rakyat Malaysia memberi sokongan penuh kepada kesedaran mengenai penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui larian amal berkenaan, pihaknya menyumbang kira-kira RM20,000 kepada tabung BCWA untuk menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran terutama dalam pendidikan dan program kemasyarakatan.

Sementara itu, salah seorang peserta, Siti Fadilah Wati Otoh, 29, berkata, penyertaan kali ketiga dalam larian amal kanser payudara bukan lagi sebagai peserta larian tetapi sukarelawan yang dapat membantu peserta lain.

“Sebelum ini saya sudah menyertai sebagai peserta larian dan kini saya lebih tertarik untuk menjadi sukarelawan kerana dapat membantu orang ramai dalam mengetahui dan memahami kanser payudara.

“Acara larian seperti ini mampu memberi kesedaran terutama wanita untuk memberi kesedaran awal mengenai kanser payudara malah, peserta yang menyertai larian ini juga boleh menjalani pemeriksaan di klinik bergerak yang disediakan BCWA,” katanya.

“Menurutnya, walaupun kanser payudara sudah diketahui umum, namun masih ramai lagi wanita yang tidak menjalani pemeriksaan awal seperti disarankan.

Dalam pada itu, Nur Aiza Mohamad, 32,­ ketika ditemui berkata, penyertaan kali pertama bersama keluarga memberikan pengalaman berbeza buat mereka terutama apabila ia diadakan pada waktu malam.

“Larian ini adalah sebagai tanda sokongan dan semangat terhadap pesakit kanser payudara dan keluarga mereka untuk terus tabah serta kuat dalam melawan penyakit berkenaan.


NUR AIZA dan suami gembira dapat sertai larian walaupun perlu membawa anak.

“Kanser payudara tidak hanya memberi kesan kepada pesakit, tetapi pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain turut merasai tempias penderitaan mereka.

“Apabila si ibu menghidap kanser, paling tidak emosinya akan muram dan terganggu. Itu belum masuk kebimbangannya memikirkan kos rawatan, urusan anak-anak dan sebagainya.

“Inilah sebabnya sokongan keluarga amat penting, terutama suami dan adik-beradik untuk menguatkan semangat pesakit dan mengurangkan tekanan perasaan serta fikirannya.

“Selain itu, aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat membantu wanita untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kanser payudara selain mempelajari teknik pemeriksaan sendiri di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 2:48 PM