UNIK dan tersendiri.
Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua wanita gemar memakai aksesori kerana ia hanya dianggap pelengkap gaya dan bukan perkara ‘wajib’ dalam berfesyen.

Namun, hakikat yang tidak dapat disangkal pemakaian aksesori seperti rantai, gelang, kerongsang dan cincin dalam fesyen harian menambahkan seri dan keanggunan pemakai.

Untuk membantu setiap wanita lebih yakin dan menonjol dalam mengenakan aksesori, jenama Kerabat Klasik menawarkan variasi aksesori istimewa berkonsepkan klasik.

Menurut pengasas Kerabat Klasik Tengku Zhawani Tunku Mansor, koleksi aksesori seperti kerongsang dan kalung dihasilkan bagi memberi gaya klasik sepanjang zaman.

AKSESORI Kerabat Klasik sebagai pelengkap gaya.

“Semua koleksi aksesori kami eksklusif dan diperbuat daripada tembaga bagi memberi impak lebih klasik kepada pemakai,” katanya.

Menurutnya, semua aksesorinya dijual dalam lingkungan harga RM38 hingga RM188 bergantung kepada rekaan, bentuk dan perincian.

“Untuk warna pula, saya lebih menggunakan rona perak, emas lusuh dan tembaga kerana ia antara warna klasik dan eksklusif sepanjang zaman,” katanya.

Katanya, semua wanita tanpa mengira usia sesuai menggayakan koleksi aksesori Kerabat Klasik asalkan mempunyai keyakinan untuk tampil menawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 4:08 PM