WAJAH ceria penerima beg sekolah PBS.
SUKARELAWAN menyampaikan sumbangan beg kepada penerima.
SALWA (tengah) dan ahli jawatankuasa PBS menunjukkan beg yang sedia diagihkan.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Penggal persekolahan bakal berakhir kurang tiga minggu lagi. Ketika ini belum ramai yang memikirkan soal perbelanjaan untuk sesi persekolahan tahun depan. Fokus kebanyakan orang biasanya lebih terarah kepada rancangan untuk bercuti, jualan akhir tahun, belian harga runtuh dan diskaun di butik berjenama mahupun pusat beli-belah terkemuka.

Berbeza dengan pengasas Projek Beg Sekolah (PBS), Salwa Mohd Saleh, 33. Di saat ramai ibu bapa mula hendak menarik nafas lega, melepas lelah berkejaran mengambil dan menghantar anak ke sekolah sepanjang tahun ini, Salwa kalut memikirkan jalan terbaik untuk mengumpul sebanyak mungkin sumbangan beg sebelum tibanya Disember.

Status dirinya yang masih berpantang selepas melahirkan anak keempat baru-baru ini bukan penghalang. Wanita ini rancak menyenarai pelbagai rancangan sambil mencanang kembali gerak kerja PBS dari rumah.

Kepakaran menulis blog dan pengaruh dirinya selaku Certified Master Trainer eUsahawan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) digunakan sepenuhnya untuk menarik pembabitan lebih ramai sukarelawan PBS kali ini.

Kata Salwa, dia cukup teruja mengumumkan pelancaran PBS untuk musim ketiga, Oktober lalu. Tambahan dengan status baru projek itu yang akan bergerak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar.

“Seperti musim sebelumnya, saya sentiasa mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk menjadi sukarelawan PBS. Bezanya, tahun ini semangat lebih berkobar apabila PBS bergerak secara rasmi sebagai NGO. Pastinya perkhabaran ini memberi satu lagi petanda positif kepada ramai sukarelawan yang berdepan banyak kekangan mengumpul sumbangan sebelum ini,” katanya.

Mengimbas kembali permulaan PBS, Salwa berkata, projek itu bermula pada 2015 untuk membantu pelajar kurang berkemampuan seperti anak yatim, asnaf, keluarga miskin, miskin bandar dan keluarga yang memerlukan persiapan persekolahan.

“Tahun ini kami masih mengekalkan objektif serupa, membantu pelajar daripada keluarga yang kurang mampu untuk mendapatkan beg bagi musim persekolahan. Mereka ini boleh jadi pelajar di prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan matrikulasi.

“Sumbangan boleh dibuat menerusi dua kaedah, sama ada dalam bentuk kewangan atau beg sekolah baru. Kalau pemberi mahu menyumbang wang, mereka boleh masukkan jumlahnya ke akaun rasmi PBS (Maybank 566010623957) di atas nama Pertubuhan Projek Beg Sekolah.

“Sementara pemberian beg sekolah pula boleh dilakukan menerusi sukarelawan PBS atau kami panggil sebagai ‘Focal Person’ di kawasan berdekatan,” katanya.

BANTU BERIBU-RIBU PELAJAR

Bercerita mengenai kejayaan PBS musim pertama dan kedua, Salwa berkata, dia bersyukur kerana projek yang dimulakan secara suka-suka menerima sambutan besar dan menggalakkan.

“Bayangkan, untuk musim pertama, PBS berjaya membantu 3,635 pelajar pada 2015. Kemudian, pada musim kedua, kami berjaya mencapai sasaran asal iaitu sebanyak 10,000 beg dengan mengedarkan sebanyak 13,837 beg sekolah kepada penerima di seluruh negara.

“Melihat kepada ruang dan peluang yang ada, saya yakin musim ketiga akan mendapat sambutan lebih menggalakkan. Malah, saya dan pasukan menyasarkan pertambahan 5,000 beg lagi, menjadikan sasaran keseluruhan tahun ini 15,000 beg,” katanya.

Kata Salwa, dia optimis PBS akan terus mendapat sambutan baik dari seluruh rakyat Malaysia, tidak mengira pangkat, agama, bangsa dan usia.

“Pentingnya untuk bulan ini, kami mahu mencari seramai boleh Focal Person untuk membantu melancarkan perjalanan PBS 2017/2018. Tugas mereka adalah menerima pemberian beg, mencari pelajar yang layak, mencari sumbangan dalam bentuk beg atau dana kewangan dan menyerahkan kepada pelajar yang layak.

“Kami perlukan mereka yang komited dalam menjalankan tugas sebagai Focal Person, amanah, jujur dan tidak prejudis,” katanya.

CABARAN, PENGORBANAN DAN HARAPAN

Sebagaimana kebanyakan NGO, Salwa mengakui perlu mendepani banyak cabaran dalam menguruskan PBS. Isu kepercayaan kepada Focal Person adalah perkara asas yang paling besar untuk dipertimbangkan setiap kali menerima permohonan menjadi sukarelawan.

“Ada pihak mempersoalkan sejauh mana semua Focal Person yang dilantik boleh dipercayai dan dapat menjalankan tugas sedangkan kami memang mewajibkan setiap sukarelawan memberi laporan berkala bagi setiap sumbangan atau penyerahan beg di kawasan masing-masing.

“Perkara kedua adalah birokrasi. Banyak halangan dari sudut menyampaikan bantuan atas keperluan mengikut prosedur dari pihak tertentu yang menyebabkan proses penyerahan menjadi sukar dan lebih lama berbanding tempoh yang sepatutnya.

“Selain itu, kami juga perlu berurusan secara bijak dengan pembekal untuk memastikan bekalan beg diterima berkualiti pada harga murah,” katanya.

Tambah Salwa, sekalipun terpaksa berdepan banyak kesukaran, dia seboleh-bolehnya mahu memastikan setiap keputusan diambil adalah tepat dan mencakupi semua keperluan dan kehendak PBS serta pihak berkaitan.

“Dalam mendapatkan tawaran terbaik misalnya, kami masih perlu mempertimbangkan banyak faktor termasuk kualiti beg, harga dan proses penghantaran yang disediakan.

“Untuk musim kedua, kami berjaya bekerjasama dengan tiga pembekal beg utama di Malaysia dan kami harap tahun ini lebih banyak syarikat pembekal beg dapat memberikan yang terbaik kepada PBS.

“Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan, PBS tidak menyediakan sebarang dana pentadbiran kepada mana-mana Focal Person. Mereka perlu membayar sendiri duit minyak, tol dan lain-lain kos. Mereka juga yang berhempas pulas membeli beg, menyerahkan beg dan membantu sesama sendiri.

“Mereka ini umpama wira yang tidak didendang dan tidak pernah mengharapkan bayaran walaupun terpaksa menebalkan muka memohon sumbangan daripada pelbagai pihak. Bagi kami, bayaran paling mahal adalah kegembiraan anak-anak ketika mereka menyambut pemberian beg sekolah PBS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 10:19 AM