BAHAN digunakan untuk membantu merawat bibir kering.
Hajahfarhana Tarmudi

Luaran yang cantik bukan hanya bergantung kepada usaha penjagaan kulit dengan menggunakan produk tertentu, malah ia juga banyak bersandarkan kepada amalan gaya hidup dan pemakanan.

Ada yang sanggup berhabis duit untuk mengekalkan atau menambah kecantikan kulit dimiliki dan tidak kurang juga yang mengamalkan petua tersendiri.

Biarpun hasil atau kesan yang ditunjukkan agak lambat, namun ia mampu memberi kepuasan kepada diri sendiri apatah lagi jika ia tidak memerlukan kos besar selain menambah nilai kepada kesihatan badan.

Tiga wanita berkongsi petua kecantikan mereka. Meskipun dikelilingi pelbagai produk terkini yang terkenal, namun petua lama tetap diamalkan dan terbukti ia memberi kesan seperti diinginkan. Menariknya, petua yang diamalkan tiga wanita ini bukan saja mudah malah tidak memerlukan belanja yang besar.

BUAH, AIR DAN BAWANG

Bagi Nadrah Zainalabidin, 29, petua yang diamalkan untuk mengekalkan kehalusan dan kecantikan kulit muka serta badan adalah melalui penjagaan makanan yang diambil setiap hari.

“Saya amalkan makan dan minum air buah-buahan setiap hari. Antara buah kegemaran adalah pisang dan minum jus lemon. Selain itu, epal, strawberi atau mangga turut menjadi kegemaran sebagai snek.

“Memang nampak perbezaan pada kulit apabila saya amalkan banyak makan buah seperti kulit bertambah lembap dan sihat walaupun tidak mengenakan sebarang produk kecantikan,” katanya.

Sementara itu, menurut Haznita Nghalim, 43, petua lama yang diamalkan hingga ke hari ini adalah ringkas dan mudah iaitu menjadikan bawang merah sebagai ulam.

“Sekali atau dua kali dalam seminggu, saya akan pastikan makan bawang merah mentah dan hirisan lobak merah sebagai ulam kerana fungsinya yang bagus untuk mencantikkan sistem peredaran darah serta kulit.

“Apabila darah mengalir ‘cantik’ atau lancar, ia turut memberi kesan kepada kulit. Selain itu, paling penting adalah minum air kosong yang mencukupi setiap hari.

“Malah, sejak dari dulu lagi, setiap hari saya akan pastikan untuk mengambil vitamin C larut air untuk membantu memastikan sistem imunisasi badan sentiasa dalam keadaan baik.

“Pada masa sama, saya juga menggunakan produk kecantikan yang sesuai dengan wajah agar dapat memberi manfaat kepada kulit. Sesi mencuci wajah setiap pagi adalah perkara wajib dilakukan bagi menyingkirkan peluh atau kotoran yang melekat di kulit,” katanya.

Jelasnya, kotoran yang tidak dibersihkan adalah salah satu punca yang mengakibatkan liang roma tersumbat sekali gus menyebabkan kulit muka kelihatan kusam.

Selain itu, pemakaian penyegar juga penting untuk menutup kembali liang pori yang terbuka di samping membuang baki kotoran yang tidak dapat disingkirkan ketika mencuci wajah.

Sapuan pelembap pula sangat membantu sebagai perlindungan tambahan kepada kulit selain mengamalkan pemakaian serum dan krim mata serta topeng wajah dipakai dua kali seminggu.

BIBIR MENAWAN

Selain kulit wajah dan badan, bahagian bibir juga perlu dijaga bagi memastikannya sentiasa kelihatan menawan, lembap dan paling penting tidak menyakitkan.

Justeru, bagi mendapatkan bibir yang lembap dan bebas kering, Intan Shahfinar Shaffie, 41, berkongsi petua menarik yang boleh dilakukan sendiri di rumah.

“Saya pernah mengalami bibir kering dan merekah sewaktu mengerjakan umrah, mungkin disebabkan cuaca yang panas melebihi 40 darjah Celsius ketika itu.

“Masalah bibir merekah hingga berdarah yang dialami itu turut memberikan kesakitan walaupun untuk senyum. Apabila kembali ke tanah air, saya cuba satu petua mudah dan ia memberi kesan kepada bibir saya.

“Malah, bahan yang diperlukan juga sangat mudah didapati. Antara bahannya adalah jeli petroleum, gula halus dan madu. Caranya, campurkan semua bahan tadi dan kacau hingga sebati,” katanya.

Jelasnya, gunakan adunan berkenaan sebagai skrub bibir. Gosok secara pelahan-lahan bancuhan tadi pada bibir yang merekah dan kering, biar sebentar dan bersihkan.

Amalkannya setiap hari sehingga bibir tidak lagi kering. Untuk kesan yang berpanjangan, boleh gunakannya tiga kali seminggu biarpun masalah dihadapi bertambah baik.

“Jeli petroleum bertindak sebagai pelembap manakala gula berfungsi untuk menanggalkan sel kulit mati pada bibir. Madu pula bertindak membantu melegakan ulser atau luka pada bibir.

“Selain itu, madu juga dapat membantu memerahkan bibir selain mengekalkan kelembapannya secara semula jadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:33 PM