Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Cahaya mata adalah pengikat kasih sayang dan penyeri dalam rumah tangga. Pastinya, kehadiran permata hati dinantikan kebanyakan suami isteri terutama jika ia anak sulung.

Selepas kelahiran anak sulung, ibu disaran untuk menjarakkan kehamilan ketika menjalani pemeriksaan lanjutan di klinik. Ada ibu yang ambil berat, malah tidak kurang juga yang bersikap sambil lewa apabila membincangkan isu merancang kehamilan.

Sudah pasti isu ini penting kerana jika tidak, jururawat atau doktor yang merawat ibu baru bersalin tidak akan menyentuh topik berkenaan.

Bagi menggalakkan ibu merancang kehamilan untuk kebaikan diri sendiri dan kandungan, suami juga bertanggungjawab memainkan peranan mereka selain memberi sokongan dalam hal itu.

Penting jarakkan kehamilan

Pakar Fertiliti Metro IVF Dr Salini Suhaila Nasir berkata, jarak kehamilan adalah jarak daripada kelahiran terakhir sehingga kehamilan akan datang.

“Jarak kehamilan yang disarankan pakar perubatan seluruh dunia adalah lebih 18 bulan, tetapi tidak lebih daripada 60 bulan atau lima tahun.

“Ibu perlu memahami jarak kehamilan yang disarankan itu penting dan perlu diambil perhatian bagi mengelakkan risiko tidak diingini bukan saja kepada ibu, tetapi bayi yang dikandung.

“Kepentingan jarak kehamilan perlu dititikberatkan bagi memastikan kesihatan ibu dari segi emosi dan jasmani kembali kepada asal selepas proses kelahiran terdahulu,” katanya.

Selain itu, jarak kehamilan juga memberi masa kepada ibu dan anak untuk ikatan yang lebih erat di samping menjaga keharmonian hubungan dengan suami. Dari segi perubatan, jarak kehamilan yang disarankan itu adalah untuk mengelakkan risiko kelahiran pramatang.

Ini kerana jika jarak kehamilan terlalu dekat, misalnya kurang enam bulan daripada kelahiran terdahulu, risiko melahirkan bayi pramatang meningkat kepada 48 peratus.

“Disebabkan itu, secara umumnya kita sarankan untuk menjarakkan kehamilan 18 hingga 24 bulan. Kita perlu tahu proses pemulihan rahim mengambil masa enam bulan kerana pemulihan sel dan otot di sekitarnya berlaku secara berperingkat.

“Jika proses pembaikan rahim dari segi keanjalan dan ton belum mencapai tahap penyembuhan yang sepenuhnya, rahim belum kuat dan mudah berlaku kontraksi awal.

“Selain itu, ia boleh menjadi punca kepada pembesaran bayi yang terbantut ataupun kelahiran bayi tidak cukup berat jika hamil dalam jarak yang dekat,” katanya.


DR Salini Suhaila.

Namun, jika kita lihat kembali punca ia berlaku adalah disebabkan ibu itu sendiri kerana jika jarak kehamilan terlalu dekat, nutrisi dan kesihatan badan belum sempurna.

Malah, kandungan juga berisiko jika ibu kekurangan zat besi atau mengalami masalah anemia (kekurangan darah) ketika hamil, kelahiran dan berpantang. Ada kajian menunjukkan masalah berkenaan boleh mengakibatkan risiko lain ketika ibu berpantang seperti kemurungan.

Disebabkan itu, sangat penting untuk ibu melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal termasuk memastikan badan mendapat nutrisi mencukupi sebelum merancang untuk hamil lagi.

“Ibu juga berisiko untuk mendapat masalah uri bawah (plasenta previa) dan uri lekang pramatang (abrupsi plasenta). Sekiranya kedua-duanya berlaku pendarahan tidak terkawal, ia boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi.

“Selain itu, nutrisi dalaman ibu yang kurang seperti tidak cukup asid folik juga mengundang risiko kepada masalah kesihatan bayi seperti ketidaknormalan kongenital yang memberi kesan kepada pertumbuhan tempurung kepala bayi (anensefali) atau saraf tunjang bermasalah (kecacatan tiub saraf),” katanya.

Persediaan untuk hamil lagi

Bagaimanapun, tidak ada halangan untuk hamil dalam tempoh 12 bulan selepas kelahiran sebelumnya (jika bersalin normal) bagi wanita yang inginkan cahaya mata lebih daripada satu disebabkan faktor usia. Namun, pastikan ibu perlu bersedia dan tidak ada masalah anemia.

Bagi ibu yang sudah mendapatkan kaedah perancang kehamilan namun gagal, perlu dapatkan nasihat doktor lebih awal untuk pastikan kandungan ibu sihat.

Jelas Dr Salini, ia bagi mencegah risiko yang disebutkan sebelum ini dan pastinya ibu perlu menjaga diri serta kandungan dengan lebih rapi.

Wanita perlu mengetahui dan berbincang dengan suami kaedah yang boleh diguna pakai dan sesuai bagi menjarakkan kehamilan sama ada secara semula jadi, membabitkan hormon, halangan atau alat dalam rahim.

Jika ibu merancang untuk hamil kembali, persediaan perlu dilakukan seperti mengambil asid folik tiga bulan sebelum dan selepas kehamilan. Amalkan pemakanan sihat kerana apabila hamil, biasa berlaku kekurangan zat besi yang akan meningkatkan risiko mendapat anemia.

Justeru, ibu digalak memperbanyakkan makan sumber makanan yang kaya dengan zat besi ketika hamil selain vitamin D3 (kalsium), buah dan sayur serta elakkan makanan segera.

Bagi persediaan mental, boleh lakukan latihan senaman bagi membantu menguruskan tekanan dan mengekalkan kecergasan.

“Ibu yang sudahpun memiliki anak lebih enam orang, sebaiknya dapatkan nasihat doktor jika mahu hamil lagi bagi mengelakkan risiko kepada diri sendiri dan kandungan.

“Misalnya, masalah anemia, rahim sukar mengecut, bayi pramatang dan tumbesaran terbantut. Selain itu, pemeriksaan berkala juga kebiasaannya akan dilakukan lebih kerap berbanding sebelum ini selain dipantau rapi oleh hospital.

“Tidak ada usia yang dihadkan untuk hamil terutama dalam kehidupan moden masa kini. Namun, selepas usia 40 tahun dan ingin hamil, dapatkan nasihat doktor bagi mengelakkan risiko kepada ibu seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau kecacatan bayi,” katanya.

Sekiranya jarak kehamilan melebihi lima tahun, berkemungkinan menghadapi kesukaran proses kelahiran dipanggil distosia iaitu sakit bersalin yang luar biasa. Selain itu, ibu juga berisiko mendapat masalah penyakit darah tinggi atau praeklampsia (darah tinggi yang teruk ketika hamil).

Jika tidak mendapat rawatan, ibu berisiko mengalami sawan, sekali gus mengakibatkan oksigen diterima tidak mencukupi juga boleh mendatangkan risiko kepada bayi. Justeru, rancang sebaiknya kehamilan dan elakkan jarak yang terlalu rapat atau jarang bagi mengelakkan risiko kepada ibu dan bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:23 PM