MOHD Hafiz bersama isteri dan anaknya.
MOHD Hafiz bersama isteri dan anaknya.
Siti Nadirah Hafidzin


Sehebat mana pun wanita bergelar isteri pastinya mengharapkan bantuan dan kerjasama suami terutama dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga.

Mana tidaknya, kebanyakan wanita kini turut bersama-sama mencari rezeki bagi menambah pendapatan keluarga, sekali gus meringankan bebanan suami selaku ketua rumah tangga.

Apabila kedua-dua pasangan keluar bekerja, soal pembahagian tugas perlu dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan hubungan terbina dapat berkekalan dan tidak terlalu membebankan si isteri.

Jika pembahagian tugas tidak dilakukan dengan adil, ia akan merosakkan keharmonian kekeluargaan yang terbina terutama apabila si isteri terlalu banyak memendam rasa.

Pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar berkata, rata-rata wanita menunjukkan mereka mengharapkan suami turut membantu dalam melaksanakan tugas di rumah termasuk menjaga anak.

Menurutnya, tugas di rumah perlu dilakukan bersama-sama demi mengecapi kebahagiaan sebenar dan tanpa ada rasa dendam mahupun terpaksa dalam hati.

“Suami idaman ialah suami yang dapat menenangkan isterinya dan memahami apa yang tersurat mahupun tersirat di sudut hati isteri.

“Disebabkan itu, jalan terbaik bagi lelaki ialah membantu isteri di mana yang patut, jangan asyik goyang kaki apabila pulang ke rumah dan mengharapkan isteri menyediakan semuanya kerana isteri juga penat bekerja,” ujarnya.

Menurut Mohd Hafiz Zahidi, 30, membantu isteri di rumah antara perkara paling penting dan memainkan peranan terbesar dalam hubungan suami isteri.

“Isteri saya sering kali mengadu penat dan tertekan untuk menguruskan kerja rumah. Bagi saya ia adalah normal kerana isteri juga adalah manusia biasa yang tidak lari daripada berasa penat dan disebabkan itu saya akan berusaha membantunya mengikut kemampuan diri.

“Saya akan mengemas rumah pada hujung minggu seperti menyapu keseluruhan kawasan dan sesekali saya juga cuba ‘berperang di dapur’ menyediakan hidangan kerana soal menjaga anak banyak diuruskan isteri,” katanya.

Menurutnya, dia juga akan pastikan membasuh pinggan dan mangkuk setiap kali selepas makan untuk meringankan lagi tugas isteri.

“Ini bukan soal takut kepada isteri tetapi bagi saya ia lebih kepada kerjasama dan tanggungjawab. Lebih manis untuk kami melakukannya bersama-sama bagi mengelak sebarang masalah yang mungkin boleh terjadi pada kemudian hari.

“Syukur, hubungan kami semakin erat apabila mengamalkan kerjasama ini dan saya juga akan bertanya kepadanya jika mula mendapati isteri bersikap luar biasa seperti mendiamkan diri,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Nur Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi, bantuan diberikan suami dalam menguruskan rumah tangga dapat meringankan bebanan dan menjadikan isteri lebih dihargai.

“Wanita kini banyak tanggungjawab sama ada di rumah mahupun di tempat kerja dan disebabkan itu juga bantuan suami amat penting bagi merasai maksud sebenar perkahwinan iaitu perkongsian.

“Suami isteri bukan saja perlu berkongsi suka duka, malah perlu berkongsi melakukan tugas tidak kiralah menguruskan anak atau hal rumah tangga lain,” katanya.

NUR Qamarul Ramdhah bersama suami dan anak-anak.
NUR Qamarul Ramdhah bersama suami dan anak-anak.

Tambahnya, ia juga dapat mengurangkan tekanan yang dialami dan menambahkan kemesraan suami isteri.

“Saya menguruskan spa dan memberikan perkhidmatan penjagaan berpantang kepada wanita selepas bersalin. Tugas saya ini memerlukan saya sering berada di luar rumah dan selalu balik lewat.

“Syukur, suami banyak membantu. Dia juga yang menguruskan anak-anak seperti menghantar dan mengambil mereka dari rumah pengasuh juga sesekali membantu saya memasak dan mengemas rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:01 AM