BAHAN yang digunakan untuk membuat kerabu mangga.
Siti Nadirah Hafidzin

Bukan saja sebagai pembuka selera malah hidangan kerabu mangga antara makanan yang digemari ramai tidak mengira lapisan usia.

Menggunakan mangga sebagai bahan utama, kerabu mangga sangat mudah disediakan dan tidak memerlukan waktu lama.

Rohaidah Hashim berkata, hanya 10 minit diperlukan dan hidangan yang menggamit selera ini boleh dihidangkan untuk dinikmati bersama nasi panas atau dimakan begitu saja.

“Menggunakan mangga muda, ikan kembung goreng, bunga kantan, cili api, bawang merah dan sedikit garam, siapa saja boleh menyediakan hidangan dengan pantas.

“Ia sangat sesuai untuk wanita berkerjaya yang sering tidak mempunyai masa panjang menyiapkan makanan keluarga,” ujarnya.

Hidangan ini boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa seisi keluarga contohnya penambahan kacang tanah yang dikisar halus dan udang kering.

“Kerabu mangga antara sajian yang boleh mengatasi masalah hilang selera kerana rasanya yang masam dan lemak bergantung kepada jenis mangga yang digunakan,” katanya.

Rohaidah berkongsi langkah penyediaan kerabu mangga yang boleh disediakan dalam 10 minit.

BAHAN:

• Dua atau tiga biji mangga muda

• Seekor ikan kembung, digoreng

• Sekuntum bunga kantan

• Empat biji bawang merah

• Dua biji cili api

• Garam secukup Rasa

• Kacang tanah goreng, ditumbuk (jika suka)

• Udang kering digoreng tanpa minyak (jika suka)

CARA MEMBUAT:

1. BAHAN yang diperlukan.

2. KUPAS kulit mangga dan racik halus. Jika tiada alat peracik, hiris dengan pisau. Ketepikan.

3. HIRIS bawang merah, cili api dan bunga kantan. Siat isi ikan kembung. Masukkan semua bahan ini ke dalam pinggan.

4. GAUL semua bahan dan letakkan garam secukup rasa. Hidangkan.

NOTA:

Jika mahu mempel­bagaikan rasanya, boleh tambahkan kacang tanah goreng dan udang kering. Jika mahu menambah hirisan tomato juga boleh bagi menambah khasiatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:02 AM