BERSAMA sukarelawan dan penerima.
BERSAMA sukarelawan dan penerima.
BERSAMA sukarelawan dan penerima.
BERSAMA sukarelawan dan penerima.
HM Digital

Pengalaman hidup sukar sebagai anak yatim banyak membentuk jiwa prihatin wanita muda ini. Ketika kanak-kanak lain bersorak riang dalam pelukan ayah tercinta, Siti Aisyah Fadzil terpaksa menerima hakikat kehilangan tonggak dalam keluarganya.

Apalah yang diketahui ketika usia baru mencecah 10 tahun. Melihat jerih perih ibunya bekerja siang dan malam untuk membesarkan lima anak, Siti Aisyah jadi sebak sendiri.

“Kehilangan ayah memberi kesan besar buat kami, terutama emak. Hendak tak hendak, emak terpaksa bersusah payah membanting tulang, mengambil upah menjaga anak orang dan melakukan kerja mengikut kemampuannya. Semua dilakukan untuk kami.

“Daripada sara hidup, makan, pakai, hingga keperluan sekolah, emak tidak pernah mengeluh. Pesan emak buat kami adik-beradik, dengan Allah kita perlu taat, dengan manusia kita harus bermanfaat.

“Walaupun susah, kami tetap dididik untuk berkongsi, memberi dan membantu mereka yang memerlukan. Jadi, apabila datang seorang jiran meminta supaya emak menulis nama kami adik-beradik sebagai penerima bantuan persekolahan, saya jadi cukup teruja. Sekurang-kurangnya terlepas beban emak untuk menyediakan barang persekolahan kami ketika itu,” katanya yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Nisa’ Titiwangsa, satu daripada cabang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dakwah dan kebajikan, Nisa’ Malaysia (Nisa’).

I LOVE SCHOOL 2018

Itu kisah lebih 10 tahun dulu. Kata Siti Aisyah, perasaan dihargai, teruja dan syukur itu masih melekat kuat dalam hati. Malah, kerana bantuan persekolahan yang diterima itu dia nekad untuk menyemai bakti serupa kepada mereka yang senasib dengannya.

“Bayangkan, kalau dulu, kami mengulang pakai beg sekolah yang ada. Kalau perlu, emak akan beri duit untuk membeli beg baru di pasar malam. Baju sekolah pula emak beli kain ela untuk berjimat.

“Alhamdulillah, apabila terpilih sebagai penerima bantuan, pemberian itu saya hargai sampai kini. Saya lega kerana beban emak berkurang. Perasaan itu yang menarik diri saya untuk menyertai kerja amal sebegini.

“Saya harap, bantuan persekolahan lengkap I Love School 2018 yang disediakan kami di Nisa’ Small Kindness ini turut memberi manfaat serupa kepada anak yatim yang menerima,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Nisa’ Small Kindness, Siti Aisyah berkata, program berkonsepkan pemberian sumbangan barang harian dan keperluan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan itu digerakkan di seluruh negara.

“Ia program khusus di bawah Nisa’. Biasanya, kami akan mengenal pasti senarai penerima bantuan menerusi wakil penduduk, masjid dan agensi berkaitan. Kami akan kumpulkan sumbangan menerusi pelbagai program sepanjang tahun dan wang itu digunakan untuk membeli keperluan sebelum diserahkan kepada mereka.

“Begitu juga dengan I Love School 2018. Kami akan kumpulkan senarai penerima kurang berkemampuan terdiri daripada anak yatim, asnaf dan waris ibu tunggal menerusi masjid, data penduduk projek perumahan rakyat (PPR) serta wakil masyarakat setempat.

“Kami peruntukkan RM150 untuk setiap anak membeli keperluan persekolahan mereka termasuk dua pasang seragam lengkap, kasut, beg sekolah, buku dan alat tulis. Dengan adanya bantuan lengkap sebegini, mereka tidak perlu lagi bimbang mengenai persediaan ke sekolah,” katanya.

Jelas Siti Aisyah, tahun lalu program itu dijalankan dengan kerjasama badan NGO Muslim Care dan wakil penduduk PPR Jelatek di Keramat. Namun kali ini mereka mendapat sokongan daripada Projek Beg Sekolah (PBS) dan Mydin.

“Kami akan bawa semua 50 penerima dalam senarai Nisa’ Titiwangsa untuk membeli keperluan mereka di Mydin pada 23 Disember ini. Selain meringankan beban keluarga, kami mahu penerima merasai sendiri keseronokan membeli-belah keperluan mereka.

“Untuk itu, kami masih membuka ruang kepada mana-mana pihak, individu, agensi mahupun syarikat korporat untuk turut serta menyumbang bagi mencukupkan keperluan anak istimewa ini nanti,” katanya.

NISA’ TITIWANGSA

Mengenai cabang yang dipimpin, Siti Aisyah berkata, setakat ini dia bersama 15 ahli jawatan kuasa bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti dakwah dan kebajikan membabitkan wanita.

“Kami mempunyai aktiviti bulanan seperti usrah, rekreasi dan kem solat. Ia lebih kepada perkongsian ilmu dan kecergasan diri. Ada juga aktiviti yang membabitkan orang ramai seperti forum keibubapaan dan edaran risalah kesedaran.

“Namun, untuk aktiviti kebajikan, biasanya kami fokus kepada perancangan Nisa’ dan dilakukan serentak di seluruh negara,” katanya.- Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:01 AM