DARI kiri M Inthira, Pengasas Klinik Bergerak Teddy Dr S Madhusudhan, Dr Siti Hawa, wakil Food Aid Foundation Hayati Ismail, Jose Miguel dan sukarelawan pada majlis penyerahan sumbangan kempen Goodness Feeds Greatness Fernleaf.
Siti Nadirah Hafidzin

Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Amalan membantu khususnya kepada individu memerlukan termasuk kanak-kanak adalah antara inisiatif terpuji dalam memastikan golongan itu dapat membesar dengan baik.

Sehubungan itu, jenama tenusu, Fernleaf menyumbang 500 kilogram (kg) susu tepung kepada kanak-kanak di 10 rumah amal, bermula dengan Agathians Shelter di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kerja amal ini hasil kempen Goodness Feeds Greatness Fernleaf, apabila jenama itu bekerjasama dengan Mydin untuk menyeru pelanggan menyokong usaha menyumbangkan kelazatan dan nutrisi susu kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Ternyata, dalam tempoh sebulan kempen berlangsung bermula 15 Oktober hingga 15 November lalu, masyarakat negara ini memberi sokongan yang memberangsangkan untuk memberi kebaikan dan manfaat susu kepada generasi pemimpin masa depan.

Bagi setiap pek susu tepung Fernleaf yang dijual di Mydin sepanjang tempoh itu, 50 gram tenusu penuh nutrisi akan disumbangkan kepada kanak-kanak di rumah amal dan pusat perlindungan di seluruh negara.

Pengarah Pengurusan Fonterra Brands Malaysia & Singapore Jose Miguel Porraz-Lando berkata, setiap impian besar bermula dengan langkah yang kecil, kata-kata positif dan dorongan keluarga, rakan serta orang tersayang.

“Kami memberikan nutrisi tenusu terbaik kepada keluarga di Malaysia sepanjang 30 tahun yang lalu. Dalam kerjasama bersama Mydin ini, kami mahu mengembangkan lagi kempen Goodness Feeds Greatness dengan memberikan sokongan aspirasi bukan saja kepada pengguna dan keluarga, malah kanak-kanak daripada kelompok yang kurang berkemampuan.

“Apabila kita memberikan mereka nutrisi susu yang tepat, kita dapat membantu kanak-kanak ini menjadi lebih kuat, sihat dan tabah menghadapi cabaran hidup. Malah dengan nutrisi yang diterima, mereka juga menjadi lebih bersemangat untuk berusaha ke arah yang lebih hebat,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd, pihaknya teruja untuk turut serta dalam membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik supaya mereka boleh dibawa ke arah kecemerlangan.

“Sebagai ibu bapa, impian terbesar kita adalah untuk melihat anak-anak cemerlang dan mencapai impian mereka. Antara tanggungjawab paling penting yang wajar dipenuhi adalah memberikan nutrisi terbaik dan Fernleaf dapat membantu dalam aspek itu.

“Namun dalam himpitan hidup, agak sukar bagi anak-anak ini mendapat peluang sama rata dari segi nutrisi pemakanan yang penting dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Fernleaf untuk menjayakan inisiatif bermakna ini.

“Dalam tempoh sebulan, kami berjaya mengutip sumbangan sebanyak 500 kilogram (kg) susu tepung Fernleaf dan berharap sifat pemurah pengunjung Mydin dapat membantu mengubah kehidupan kanak-kanak ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Eksekutif dari Agathians Shelter M Inthira berkata, rumah Perlindungan Agathians Shelter sentiasa mempunyai misi untuk memastikan penghuni mendapat keperluan asas seperti tempat perlindungan, makanan dan pendidikan sempurna.

“Semua perkara itu penting dalam kehidupan. Apabila kanak-kanak mendapat nutrisi yang secukupnya, dia juga mudah untuk menjadi lebih cemerlang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Fernleaf dan Mydin kerana menjalankan inisiatif mulia ini untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara menikmati nutrisi susu dan mendorong mereka berusaha mencapai potensi penuh masing-masing,” ujarnya.

Sembilan rumah amal yang terbabit dalam program amal ini adalah Asrama Damai Rumah Anak-anak Yatim Kuang di Rawang dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Alkhairiyah di Klang (Selangor), Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan di Seremban (Negeri Sembilan), Vision Home di Ipoh (Perak), Rumah Anak-Anak Yatim Islam Jasin (Melaka), Chrystal Home di Perak, Villa Paulos di Johor, Rumah Amal Permata Hatiku di Kuala Lumpur dan Sinar Ceria Care Centre di Pulau Pinang.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Goodness Feeds Greatness, sila lawati laman web www.greatness.my dan laman Facebook Fernleaf di www.facebook.com/fernleafmalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 2:29 PM