AYA Nafeesa dan ibu bapanya.
Siti Nadirah Hafidzin

[email protected].

Siapa sangka kegembiraan memiliki cahaya mata pertama bertukar kepada kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila anak kesayangan disahkan menghidap kanser mata tahap D ketika usianya baru tiga bulan.

Segalanya seolah-olah gelap bagi pasangan ini namun semuanya berubah tatkala melihat sendiri semangat dan kekuatan cahaya mata mereka, Aya Nafeesa Mohd Nizam yang kini berusia setahun sembilan bulan.

Menceritakan kenangan yang tidak dapat dilupakan itu, Nur Azimah Mohd Zaili berkata, anaknya lahir secara normal dengan berat 3.3 kilogram pada 24 Mac 2016.

“Segalanya berjalan lancar, Aya Nafeesa tidak pernah menunjukkan sebarang tanda sakit dan mudah dijaga selepas dilahirkan.

“Namun, sejak berusia dua bulan, saya lihat mata kirinya seperti bersinar yang dipanggil ‘leukokoria’ namun hanya saya yang dapat mengesan perkara itu kerana ia tidak kelihatan sepanjang masa,” katanya.

Nur Azimah berkata, dia memberitahu perkara itu kepada ibu dan suaminya namun kedua-duanya tidak dapat mengesan keadaan berkenaan menyebabkan tiada tindakan diambil.

“Aya Nafeesa juga terus membesar dengan baik, dia tidak nampak pelik, mudah dijaga dan mata yang bersinar itu hanya kelihatan sesekali saja.

“Namun segalanya berubah selepas saya terbaca satu artikel yang tular di laman sosial mengenai seorang kanak-kanak perempuan dari Filipina yang menghidap kanser mata retinoblastoma (RB). Dalam artikel itu ada memberitahu simptom penyakit itu antaranya mata bersinar dan kadangkala kelihatan juling menyebabkan saya terus terfikir mengenai Aya Nafeesa,” ujarnya.


AYA Nafeesa selepas menjalani pembedahan membuang mata kirinya ketika berusia empat bulan.

Menurutnya, dia terus memberitahu suaminya yang juga seorang doktor perubatan sebelum pasangan itu terus membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan terperinci.

“Pemeriksaan awal mengesan Aya Nafeesa mungkin menghidap glaukoma kongenital. Kami bertanya adakah kemungkinan anak kami menghidap RB dan doktor menjawab ya.

“Aya Nafeesa kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk ujian imbasan Imej Resonan Magnetik (MRI), mengambil air tulang belakang, imbasan di tulang dan beberapa ujian lain sebelum Aya Nafeesa disahkan menghidapi kanser mata tahap D. Tahap paling teruk adalah E.

“Doktor turut memberitahu mata kiri Aya Nafeesa tidak boleh diselamatkan lagi dan perlu dibuang untuk mengelakkan kanser itu daripada merebak,” katanya.

Sinar baru buat Aya Nafeesa

Selepas pembedahan selamat dijalankan, mata kiri Aya Nafeesa yang dibuang ketika dia berusia empat bulan dibawa ke makmal untuk pemeriksaan lanjut sama ada kanser itu sudah merebak atau sebaliknya.

“Selepas seminggu kami mendapat panggilan daripada hospital untuk memberitahu keputusan pemeriksaan mata Aya Nafeesa dan syukur, kanser itu belum merebak dan tidak keluar daripada lapisan terakhir mata.

“Doktor juga memaklumkan Aya Nafeesa tidak perlu melakukan kemoterapi. Selepas dua bulan pembedahan, dia mula memakai mata palsu buat selama-lamanya,” katanya.

Kata Nur Azimah, dia dan suami, Mohd Nizam Misiran amat bersyukur kerana Aya Nafeesa adalah anak yang sangat kuat terutama dalam melawan kesakitan dialami.

“Sejak memakai mata palsu ini, kami suami isteri perlu mencuci mata palsunya sekurang-kurangnya seminggu sekali dan itu adalah saat paling mencabar kerana Aya Nafeesa agak meragam.

“Disebabkan tidak menjalani kemoterapi, setiap empat bulan Aya Nafeesa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut terutama bagi memastikan sel kanser itu tidak kembali lagi. Syukur, selepas lebih setahun semua keputusan adalah baik,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah bebas daripada kanser dia dan suami sentiasa berusaha membawa si kecil menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan diperlukan untuk Aya Nafeesa.

Perlu kuat hadapi ujian

Pengalaman berada di wad Onkologi kanak-kanak PPUM membuatkan Nur Azimah sedar dia perlu kuat menghadapi dugaan itu.

“Ketika itu, saya dapat lihat sendiri ramai lagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik menghidapi pelbagai jenis penyakit, terpaksa menjalani kemoterapi dan terlantar sakit.

“Daripada detik itu, saya sedar ujian yang kami hadapi ini tidaklah terlalu besar. Walaupun Aya Nafeesa buta sebelah mata namun dia sihat, aktif dan boleh membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Nur Azimah berkata, dia juga bersyukur kerana suami adalah kakitangan kerajaan dan semua kos rawatan dari segi kemasukan wad, pembedahan dan rawatan susulan adalah percuma.

“Kami hanya perlu menanggung kos implan dan mata palsu Aya Nafeesa kerana mata itu perlu kerap ditukar memandangkan dia cepat membesar.

“Sehingga kini kami sudah tiga kali menukar mata palsu Aya Nafeesa dan akan menukarnya lagi dalam masa terdekat ini,” katanya.


AYA Nafeesa kanak-kanak yang sangat kuat berdepan ujian dihadapinya.

Sama seperti ibu bapa lain, Nur Azimah mengharapkan anaknya dapat membesar dengan baik terutama sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Semakin dia membesar pasti dia akan bertanya mengenai mata palsu ini dan saya berharap apabila tiba masa itu, saya dan suami dapat memberi penerangan sebaik mungkin kepadanya.

“Untuk ibu bapa lain, sekiranya mengesan sebarang kelainan pada anak segeralah bawa bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Katanya, semua ibu bapa yang mempunyai anak tidak sihat sama ada kanser atau penyakit lain juga diharap sentiasa tabah dan kuat dalam berdepan dugaan ini.

“Saya bersyukur kerana buat masa ini Aya Nafeesa bebas daripada kanser namun perlu menjalani pemeriksaan sehingga dia berusia 10 tahun.

“Ini dugaan buat kami dan saya tahu ada ramai lagi individu yang berdepan dengan ujian lebih besar terutama berkaitan kesihatan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 1:41 PM