HASIL sampah yang dikumpul selama s­etahun di rumahnya.
ANTARA barangan yang dipamerkan pada Pesta Zero Waste Home Malaysia di Kuala Lumpur.
JOHNSON berkongsi pengalaman ketika Pesta Zero Waste Home Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
HM Digital

Lebih sedekad lalu, tidak ramai yang mengenali wanita hebat ini. Dia menjalani rutin biasa, sama seperti kebanyakan wanita seusianya. Duduk di rumah, melakukan kerja rutin, melahir dan membesarkan anak.

Namun titik kehidupan anak kelahiran Perancis ini berubah perlahan-lahan. Ketika ramai wanita dan suri rumah kini menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya mengitar semula, fokus Bea Johnson sudah melangkaui jauh daripada itu.

Minda wanita ini lebih tangkas bekerja dan membuat pengiraan kritikal. Dia mula berfikir mengenai jumlah sampah, kerja pelupusan dan risiko pencemaran kepada dunia.

Padanya, tiada siapa yang mampu mengubah keadaan dan situasi dunia hari ini jika ia tidak dimulakan dengan dirinya sendiri. Sedikit demi sedikit, Johnson mula memuat naik usaha dan idea barunya ke media sosial.

Zero Waste Home! Ya, rumah sisa sifar. Ramai wanita jadi bingung dengan inisiatif yang cuba diperkenalkan wanita ini. Mana mungkin sebuah kediaman keluarga mampu mengatasi masalah sampah? Tambahan jika ada anak kecil dengan tabiat membeli dan membawa pulang pelbagai barangan dari luar. Tentu sekali kempen itu kedengaran mustahil.

Tidak cukup dengan komen tidak munasabah, ada antara rakan dan keluarga yang turut memperkecilkan usaha dan impian murni wanita anggun ini.

“Banyak reaksi yang saya terima. Hampir semua mengatakan kempen Zero Waste Home adalah mustahil. Hakikatnya, ia boleh dilakukan jika kita mahu menjadikan kempen ini sebagai satu kenyataan. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

CEMUHAN BINA

KEJAYAAN

Menurut ibu kepada dua anak ini, dia pernah berdepan cabaran getir untuk melaksanakan apa yang diimpikan. Bermula dengan meninggalkan cara hidup lengkap dan mewah, Johnson memutuskan untuk menjalani rutin yang lebih ringkas, bersih dan lapang.

“Segalanya bermula pada 2006 apabila kami sekeluarga berpindah ke pangsapuri di Mill Valley, California. Ketika itu timbul idea untuk menjalani kehidupan ringkas, tanpa ada helaian kertas, perabot berlebihan, botol, perhiasan, kotak, plastik dan sebagainya.

“Ketika itu, anak sedang membesar dan kami mula terfikirkan nasib mereka apabila dunia ini diwarisi kepada generasi muda. Ternyata semua idea, risiko dan kemungkinan itu memberi banyak motivasi kepada saya dan suami.

“Walaupun sedar pendekatan sisa sifar biasanya digunakan dalam industri pembuatan, kami sepakat mencubanya di rumah. Sebagai permulaan, saya bertanya kepada orang di sekeliling, merujuk kepada ibu dan mendapatkan pandangan mereka yang dirasakan cukup terbuka untuk berjuang bersama-sama.

“Mungkin kerana tiada tempat rujukan yang tepat, buku yang memperincikan mengenai sisa sifar dan perkara berkaitan, usaha ini jadi makin rumit. Tidak kurang juga ada yang mencemuh dan mengatakan sisa sifar adalah kerja gila,” katanya.

Bagaimanapun, semua hinaan dan cemuhan dijadikan pemangkin untuk wanita ini terus berjuang dan membuktikan usahanya tidak sia-sia.

“Hari ini selepas melalui tempoh sukar, saya mampu menarik nafas lega. Saya bangga dengan kempen Zero Waste Home yang bukan saja berjaya mendapat tempat di California, malah memberi banyak impak di seluruh dunia.

“Tanpa saya sedar, komuniti Zero Waste Home berkembang dan memberi inspirasi kepada ramai wanita di seluruh dunia. Ia bukan lagi sesuatu yang mustahil apabila ribuan orang mula mengamalkan gaya hidup sisa sifar.

“Dengan hanya sekeping cakera padat, apa yang saya perjuangkan bertebaran di pelbagai negara. Nampak jelas wujudnya kesedaran global apabila wanita mula memilih produk yang boleh diulang pakai berbanding produk pakai buang.

“Kemudian wujud pula kedai yang menawarkan produk tanpa bungkusan. Mereka yang mahu membeli di sini perlu membawa uncang, botol, bekas atau beg kain masing-masing.

“Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Sudah ada komuniti Zero Waste Home yang aktif meningkatkan kesedaran umum menerusi kempen di laman sosial. Ada juga kedai tanpa bungkusan yang menawarkan produk berkualiti. Semua ini sebahagian daripada pergerakan global kempen,” katanya yang datang ke negara ini Disember lalu.

PENJIMATAN BESAR

Tatkala orang ramai sibuk berbicara mengenai kenaikan kos, peningkatan sara diri dan harga barang, Johnson mengesyorkan supaya setiap rumah mengamalkan kempen sisa sifar sebagai inisiatif untuk berjimat-cermat.

Katanya, setiap individu masih boleh menjalani kehidupan sempurna sekalipun menjalani rutin yang berbeza di rumah atau di tempat kerja.

“Sebagai permulaan, rujuk 5R yang perlu dilakukan untuk mencapai sisa sifar. Ia tidak semestinya dilakukan secara drastik, tetapi boleh dimulakan dari asas sehingga anda benar-benar mampu mendisiplinkan diri, pasangan dan anak.

“Cuba menolak pemberian orang lain (refuse); kurangkan barang di rumah (reduce); pilih barang yang boleh diguna semula (reuse), kitar semula tin, plastik dan kertas (recycle) dan kompos sisa dapur (rot).

“Menurut tinjauan yang dijalankan, amalan sisa sifar yang baik mampu menjimatkan sehingga 40 peratus belanja isi rumah. Apabila kita mengamalkan kehidupan yang ringkas, secara tidak langsung, kita juga akan mengurangkan tenaga untuk mengemas, membersihkan, mengubahsuai dan sebagainya.

“Apa lagi sebab terbaik untuk kita mengamalkan gaya hidup ringkas dan sihat jika bukan untuk faedah penjimatan, kesenangan, ketenangan dan bahagia?” katanya yang kini aktif menjelajah ke seluruh dunia untuk mempromosikan buku, sekali gus memperluaskan kempen Zero Waste Home.

Malah Johnson kini menjadi rebutan banyak pihak yang mahu dia berkongsi pengalaman, bagaimana memulakan cara hidup sisa sifar di rumah, pejabat dan universiti.

“Saya juga berusaha memperbetulkan banyak anggapan salah mengenai sisa sifar. Walaupun saya kerap mencadangkan supaya kita perlu kurangkan membeli pakaian baru dan menjahit mana-mana yang boleh dibetulkan, namun ia tidak bermakna seseorang itu akan hilang seri di depan khalayak.

“Kita masih boleh nampak cantik, anggun dan bergaya, namun tidak perlu kerap berbelanja. Memadai jika kita memanfaatkan setiap helaian yang ada. Melalui cara ini kita mungkin lebih sihat dari sudut mental kerana tidak tertekan dengan kehendak, selain dapat menjimatkan lebih masa dan wang,” katanya.

Sehingga kini, Johnson sudah berkongsi pengalaman dengan banyak universiti, memberi inspirasi di acara korporat dan persidangan di seluruh dunia, termasuk Google, Pixar, Adobe, Parlimen Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Wanita ini juga sudah menyempurnakan lapan lawatan antarabangsa dan menyampaikan lebih 190 ucapan di lebih 30 negara membabitkan enam benua. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama Anugerah Hijau, Ahli Majlis Penasihat New Dream.

GAYA SISA SIFAR 5R

1. REFUSE (cuba menolak pemberian orang lain)

Kerap kali anda bertemu ahli perniagaan, kakitangan syarikat mahupun anggota korporat, tentu ada bertukar kad nama bukan? Begitu juga sekiranya mengunjungi majlis keraian, program pelancaran atau melalui gerai serta butik di pusat beli-belah. Pasti ada yang menghulurkan beg cenderahati, risalah atau buku.

Cuba elak daripada menyambut setiap pemberian untuk mengurangkan jumlah sampah yang dikumpul setiap hari. Ini termasuk juga botol sampel percubaan produk keluaran mana-mana pihak. Jika anda menyambut pemberian ini, bermakna jumlah sampah di rumah atau pejabat akan terus meningkat tanpa sedar.

2. REDUCE (kurangkan barang di rumah)

Amalkan gaya hidup serba ringkas dengan mengurangkan jumlah perabot, pakaian, barang perhiasan, permainan atau apa saja yang tidak lagi digunakan. Boleh jadi ada ramai keluarga di sekitar perumahan yang lebih memerlukan semua barang berkenaan.

Anda ada banyak pilihan sama ada menjual dengan harga lelong, menyumbang kepada badan kebajikan atau beri saja secara percuma kepada saudara dan jiran terdekat.

Terlalu banyak barang boleh mengumpul habuk dan sampah. Lebih teruk sekiranya ia menjadi tempat pembiakan haiwan seperti lipas dan tikus.

3. REUSE (guna semula barang sedia ada)

Mengapa perlu membazir membeli seluar baru jika yang sedia ada masih boleh dijahit dan dibetulkan. Anda juga boleh menggantikan banyak kelengkapan dalam rumah kepada barang guna semula.

Gantikan penggunaan kertas tisu dengan tuala mini, lampin pakai buang bayi kepada lampin boleh cuci, elakkan membawa pulang plastik dengan menggunakan beg kain ketika membeli-belah atau mendapatkan bekalan dapur.

Bawa balang kaca atau bekas untuk membeli biskut atau keperluan penjagaan diri seperti syampu dan sabun. Ada banyak kedai yang menawarkan barang tanpa bungkusan. Anda hanya perlu membuat carian di Internet.

Pastikan anda selalu membawa bekas makanan atau botol air untuk digunakan ketika membeli di luar. Ini boleh mengurangkan penggunaan plastik.

4. RECYCLE (kitar semula tin, plastik dan kertas)

Perkara yang satu ini bukan lagi asing untuk rakyat Malaysia. Apa yang berbeza adalah kehendak setiap orang. Ada yang peka setiap kali membawa pulang semua bahan boleh kitar semula dan mengasingkan ke dalam tong sampah berbeza di sekitar kediaman, tempat awam atau pejabat.

Namun masih ramai yang bersikap tidak endah kerana beranggapan tindakan ini tidak mendatangkan banyak kesan atau merumitkan pengurusan sampah dari kediaman.

Sama ada anda sedar atau tidak, perubahan dan kesan setiap usaha kitar semula adalah bergantung pada kehendak dan keinginan setiap individu. Kita mempunyai pilihan untuk menurut atau terus mengabaikan. Sebaiknya, bersikap peka untuk keselesaan bersama.

5. ROT (kompos sisa dapur)

Ada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang sedia membantu mana-mana individu yang melaksanakan kerja kompos sisa dapur di kediaman mereka. Anda boleh tampil ke kaunter pertanyaan atau hubungi mereka untuk pertanyaan lanjut.

Kata Johnson, terdapat dua kaedah yang kerap digunakan kebanyakan isi rumah yang menjalankan sisa sifar. Pertama adalah menggunakan tong cacing. Cacing tanah memang mempunyai keupayaan semula jadi untuk menghasilkan kompos dari sisa dapur.

Kaedah kedua adalah menggunakan palam kompos. Ia adalah mesin kompos yang menggunakan tenaga elektrik. Hasil kompos ini boleh digunakan untuk membaja tanaman di sekitar kediaman. -Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 1:33 PM