SUZANA (paling hadapan) bergambar bersama jururawat yang merawatnya ketika mengalami alahan teruk.
SUZANA (paling hadapan) bergambar bersama jururawat yang merawatnya ketika mengalami alahan teruk.
Siti Zarinah Sahib

Setiap wanita akan melalui proses kehamilan berbeza. Ada yang beruntung tidak mengalami sebarang alahan, tetapi ada wanita yang melalui alahan teruk pada trimester pertama saja dan tidak kurang juga yang menderita alahan sepanjang sembilan bulan mengandung.

Bagi yang melalui alahan seperti muntah sepanjang kehamilan, ia tentu mengganggu emosi dan fizikal. Malah, wanita yang menghadapi mabuk hamil secara berterusan sering merasakan tiada siapa yang benar-benar memahami apa yang mereka dilalui.

Inilah yang dilalui Suzana Md Zam, 30, ketika hamil anak pertama apabila mengalami muntah teruk sepanjang kehamilan. Disahkan hamil pada September 2015, ketika usia kandungan enam minggu Suzana tidak mengalami sebarang alahan cuma sering rasa kurang selesa apabila suami berada di sisinya. Haidnya juga datang seperti biasa cuma berubah warna.

“Apabila menjalani pemeriksaan dan doktor memberitahu kandungan berusia enam minggu, sayalah orang yang paling gembira kerana tidak sangka dikurniakan cahaya mata secepat itu. Ketika itu saya cuma kerap letih dan sering tertidur ketika memandu. Selalu juga saya terpaksa berhenti memandu dan tidur seketika di tepi jalan,” katanya.

Ketika usia kandungan memasuki dua bulan, Suzana mulai loya, pening dan muntah. Mulanya dia merasakan ia perkara biasa namun muntah yang dilaluinya semakin teruk dan tidak berhenti. Sepanjang hari Suzana muntah sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terlalu lemah.

“Selepas pemeriksaan, doktor memberitahu saya mengalami mabuk hamil yang teruk atau dalam istilah saintifik dipanggil hiperemesis gravidarum. Tidak seperti kesan sampingan kehamilan biasa, hiperemesis boleh menjejaskan kesihatan saya dan janin, jadi doktor mencadangkan saya ditahan di wad untuk pemantauan rapi,” katanya yang menetap di Negeri Sembilan bersama keluarga.

Oleh kerana muntah tanpa henti sepanjang empat hari menyebabkan Suzana mengalami kekurangan air dalam badan. Air perlu dimasukkan bagi membolehkan tubuhnya kembali bertenaga. Ditambah pula Suzana langsung tidak boleh menjamah makanan, air pula hanya sedikit yang mampu diminum, jika tidak semua yang ditelan akan keluar semula.

“Beginilah keadaan saya sepanjang 13 hari di hospital. Apabila badan kembali pulih dan muntah mula berkurangan, saya dibenarkan pulang ke rumah. Namun tidak sampai dua atau tiga hari saya dimasukkan lagi ke hospital akibat muntah semula. Melihat keadaan saya ramai pakar sakit puan yang bersedia memberikan rawatan. Pelbagai andaian diberikan kerana kes seperti saya ini jarang berlaku. Ini menyebabkan saya menjadi antara pesakit paling popular dan lama ‘menginap’ di hospital,” katanya.

Jelas Suzana, sepanjang hamil hospital boleh dikatakan menjadi rumah pertamanya kerana lebih banyak masanya dihabiskan di situ berbanding di rumah. Malah, dia tidak pernah mengidam makanan atau bermanja dengan suami seperti wanita lain. Apa yang dirasakan adalah kesakitan dan keperitan akibat tangan dicucuk jarum untuk dimasukkan air serta tekanan akibat muntah sepanjang hari.

BERAT BADAN MEROSOT

Bimbang dengan keadaan Suzana yang semakin kurus dan tidak bermaya, ibunya mendapatkan rawatan tradisional. Sangkanya mungkin Suzana terlanggar pantang orang lama atau disampuk sesuatu. Pelbagai ustaz ditemui, namun mereka mengatakan tiada sebarang keganjilan pada anaknya. Lama-kelamaan ibunya percaya apa yang dilalui Suzana bukanlah disebabkan gangguan makhluk halus sebaliknya ujian Allah kepadanya.

“Saya juga pernah mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan anggapan mungkin ubat berbeza dapat mengurangkan alahan. Namun doktor pakar terpaksa memindahkan saya kembali ke hospital kerajaan kerana bimbang melihat keadaan saya yang semakin teruk,” katanya.

Sehinggalah masuk bulan kelapan, tubuh Suzana tidak seperti orang mengandung. Berat badan turun setiap bulan daripada 70 kilogram (kg) menjadi 52kg saja. Ubat-ubatan dan makanan tambahan juga tidak diambil secara konsisten. Pernah doktor menjangkakan bayi Suzana akan mengalami kecacatan selepas dilahirkan disebabkan ukuran yang kecil dan tidak sama dengan usia kandungan.

“Terkesan dengan kata-kata doktor, saya menangis setiap hari kerana bimbangkan janin dalam kandungan. Memang saya cuba makan bagi memberikan nutrisi kepada janin namun langsung tiada selera. Saya berdoa kepada Allah kerana hanya Dia yang mampu mengubahnya,” ujar Suzana.

Dia langsung tidak dapat menguruskan diri sendiri ketika di hospital sehinggakan mandi dan memakai pakaian pun perlukan bantuan adiknya.

Pada usia kandungan 38 minggu, Suzana terpaksa melalui proses pencetus kelahiran (induce) disebabkan kekeringan air ketuban. Jika wanita lain akan mengalami gesaan bukaan rahim, Suzana pula tidak merasai apa-apa. Sehinggalah doktor mencadangkan pembedahan kerana khuatir bayi lemas dan berlaku komplikasi.

“Ketika dimasukkan ke dewan bersalin saya masih mengalami muntah yang teruk. Mungkin ini juga menyebabkan saya langsung tidak merasai sebarang kontraksi selepas dimasukkan ubat gesaan bersalin. Namun saat doktor dan jururawat menyediakan bilik bedah, saya muntah tanpa henti.

“Saya merasakan seperti ada sesuatu yang ingin keluar melalui pintu rahim. Saya menjerit memberitahu doktor. Alangkah terkejutnya kerana bayi sudah bersedia untuk keluar. Tidak sampai lima minit menerusi kaedah vakum bayi perempuan saya selamat dilahirkan,” katanya gembira.

Bayi seberat 2.7kg itu dilahirkan dalam keadaan sihat dan sempurna. Malah doktor turut terkejut kerana dalam keadaan Suzana yang mabuk teruk dan tidak mendapat nutrisi secukupnya, si kecil itu sihat dan mempunyai berat badan normal sama seperti bayi lain.

“Saya sangat bersyukur kerana Allah memberikan keajaiban kepada saya. Walaupun melalui keperitan menghadapi alahan dan muntah sepanjang waktu, saya langsung tidak merasai kesakitan atau kesukaran ketika bersalin. Mungkin juga kerana tekanan ketika muntah menyebabkan gesaan untuk melahirkan anak ‘datang’ tanpa dirasai. Lebih penting bayi dalam keadaan sihat,” katanya terharu.

Jelas Suzana, merujuk pendapat doktor yang merawatnya, kes seperti itu berlaku hanya satu dalam 1,000 kehamilan. Kebiasaannya tiada rawatan atau ubat-ubatan yang dapat menghentikan alahan cuma memerlukan pemantauan doktor. Alahan dan muntah ini akan hilang sebaik saja melahirkan anak. Bagi mengelak badan kekeringan air dan kekurangan garam, air dimasukkan setiap masa.

ANAK MEMBESAR DENGAN SIHAT

Setiap kali melihat kelincahan Putri Syazana Khaliqha Kamarulzaman, yang kini memasuki usia dua tahun membesar dengan sihat, Suzana memanjatkan rasa syukur. Sejak dilahirkan sehingga sekarang si kecil ini tidak banyak kerenah dan mudah dijaga. Tumbesarannya juga sama seperti kanak-kanak seusia, malah semakin keletah dan banyak bercakap.

Meskipun teringin untuk menimang cahaya mata kedua, tetapi hajat itu ditangguhkan kerana memikirkan pengalaman lalu.

“Saya reda dengan dugaan yang Allah berikan. Saya percaya setiap ibu tidak melalui ujian yang sama. Ada yang sukar ketika mengandung tetapi diberikan kelebihan ketika melahirkan anak. Ada pula tiada alahan dan mudah bersalin tetapi diberikan kesukaran ketika membesarkan cahaya mata. Saya percaya ada hikmah atas apa yang Allah berikan kepada kita,” kata anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Suzana juga menolak andaian yang mengatakan alahan hamil berpunca daripada keturunan, kerana selepas diselidiki dalam keluarga hanya Suzana yang mengalami mabuk hamil teruk sementara ibu dan adik-beradik lain menjalani kehamilan tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:30 PM