Skip this ad x
Yusliza Yakimir Abd Talib

Stereotaip berkulit cerah menjadi standard kecantikan seorang wanita bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Ini dapat dilihat daripada pengeluaran produk kecantikan menggambarkan imej wanita yang kebanyakannya berkulit cerah malah produk pencerah kulit kini begitu mudah didapati malah menjadi tumpuan utama semua jenama.

Tentu tidak menghairankan semakin ramai wanita berkulit gelap atau sawo matang mencuba berbagai cara untuk menjadikan kulit mereka tampak lebih cerah, bahkan sanggup pula mengeluarkan belanja yang besar.

Ada pula sanggup memperjudikan nyawa dan keselamatan mencuba produk yang menjanjikan pencerahan segera tanpa menyedari risiko yang bakal dihadapi sekiranya salah memilih produk mengandungi bahan terlarang.

Padahal sebagai pemilik kulit sawo matang dan gelap, anda seharusnya berbangga. Ini kerana di sebalik kulit eksotik yang dimiliki, terdapat manfaat dari segi kesihatan jika dibandingkan mereka yang berkulit cerah.

Fakta mendapati pemilik kulit putih atau cerah lebih cenderung berisiko terkena kanser kulit. Melanin iaitu pigmen penghasil warna yang berada pada lapisan epidermis kulit cerah adalah lebih sedikit berbanding kulit gelap.

Ini menyebabkan paparan sinar ultra ungu (UV) yang mengenai kulit putih lebih mudah merosakkan jaringan sel-selnya, sebaliknya melanin yang juga berfungsi melindungi kulit daripada sinar UV banyak dimiliki pemilik kulit gelap.

Pemilik kulit gelap juga dikatakan tidak perlu terlalu bimbang mengalami kedutan atau penuaan lebih cepat. Ini kerana kulit gelap mengandungi lebih banyak serat kolagen, malah serat kolagen ini juga lebih tebal.

Seperti yang kita tahu, kolagen diperlukan untuk menjaga keanjalan, kelembapan dan ketahanan pada kulit. Itu sebabnya wajah pemilik kulit gelap biasanya tampak lebih awet muda kerana kulit mereka tidak mudah berkedut.

Selain itu, salah satu penyebab kerosakan sel pada tubuh ialah kehadiran radikal bebas. Buat pemilik kulit gelap, mereka lebih beruntung kerana dikatakan cenderung terhindar daripada serangan radikal bebas.

Kandungan melanin yang lebih banyak pada lapisan epidermis kulit akan membantu lemak mempertahankan kelembapan kulit. Faktor inilah yang akan menghalang radikal bebas yang mendekati tubuh pemilik kulit gelap.

Jadi, wanita pemilik kulit gelap perlu berbangga dengan anugerah Tuhan ini dan usah bimbangkan penampilan anda kerana jika wajah dirias dengan teknik yang betul, pasti memukau sesiapa saja.

Lihat saja selebriti dan artis berkulit gelap terkemuka antarabangsa seperti Beyonce, Rihanna, Halle Berry dan Alicia Keys yang bukan saja berbangga dengan kulit mereka malah menjadi pujaan ramai kerana gaya dan penampilan memukau di depan lensa kamera.

Menurut jurusolek Noor Fazleen Mohd Fazel, merias individu berkulit hitam manis tidaklah sesukar yang disangka sesetengah orang, namun pemilihan warna dan ton bagi sesetengah alat solek memainkan peranan penting untuk menyerlahkan keterampilan mereka.

Menurutnya, individu berkulit gelap perlu memastikan pemilihan bedak asas yang sesuai dengan ton kulit agar wajah tidak kelihatan bercapuk, bertompok atau kelabu.

Noor Fazleen yang ditemui ketika merias model berwajah hitam manis, Nur Hasmizai Afzan berkata, secara amnya tiada yang membezakan antara kulit gelap mahupun cerah kerana kini terdapat pelbagai jenama alat solekan yang dikeluarkan khusus untuk ton kulit lebih gelap.


FAZLEEN bersama model.

“Solekan pada bahagian mata juga perlu lebih difokuskan untuk membuat mata kelihatan lebih segar dan menyerlah. Untuk bahagian lain pula, teknik seperti bayangan (shading) dan serlahan (highlight) juga dapat memberi kesan yang seimbang pada wajah sekali gus tampil yakin di khalayak ramai.

“Usah bimbang seandainya anda memiliki kulit gelap sebaliknya anda harus bangga kerana kulit eksotik itu juga menjadi dambaan orang Inggeris yang berkulit cerah hingga ramai sanggup mendapatkan rawatan untuk menggelapkan kulit mahupun berjemur di bawah matahari agar memiliki kulit seperti anda,” katanya.

Katanya, untuk memulakan solekan, secara asasnya dimulakan dengan serum, pelembap dan primer bagi memastikan sapuan bedak asas tidak pecah dan tidak diratakan dengan kulit.

Noor Fazleen berkongsi teknik solekan ‘tidak bermekap’ untuk si hitam manis yang sesuai untuk bersantai mahupun ke majlis formal.


1. WAJAH sebelum disolek.

2. KEMASKAN bahagian kening, rangkakan dan rapi dengan pensel bulu kuning.

3. SAPUKAN primer mata sebelum pembayang mata untuk menaik warna pembayang mata. Warna seperti pic, coklat atau merah jambu lembut sesuai untuk solekan ini.

4. RATAKAN bedak asas di seluruh wajah.

5. PENYAMAR noda diratakan di bawah mata, atas hidung, dahi dan dagu diikuti bedak tabur (tiada warna) diratakan di seluruh wajah untuk kekalkan warna bedak asas.

6. LAKUKAN teknik bayangan di bahagian tulang pipi, dagu, bawah rahang dan sisi hidung.

7. SAPUKAN maskara dan kemaskan dengan bulu mata palsu.

8. BAGI menonjolkan bahagian tulang pipi, hidung, dagu, dahi dan atas bibir, sapukan penyerlah di bahagian itu.

9. OLES gincu berwarna lembut seperti merah jambu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:58 AM