TUNKU Azizah mengunjungi ruang pameran Handmade Market.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kata orang, menjahit tidak susah, asalkan mempunyai minat dan keinginan untuk belajar. Pilih saja institusi pengajian berkelayakan untuk mendaftar. Jika ada yang berkeluh kesah, mengatakan menjahit pakaian itu susah, ada banyak lagi jenis jahitan yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) baru-baru ini menganjurkan program Entrepreneurs Sewing Week di Sewing World Gallery, One City, Subang Jaya. Program selama empat hari itu adalah hasil kerjasama Yayasan Inovatif Mostwell dan Pusat Latihan Kraftangan Epal.

Banyak aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung antaranya, Bengkel Seni Jahitan Kreatif, Pertandingan Inovasi, Pameran Guinness World Records, Pertunjukan Fesyen Jahitan Kreatif dan Handmade Market.

Kata Pengerusi PSJK, Fully Chye Goet Lee, program yang menghimpunkan 100 usahawan seni jahitan kreatif itu dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai potensi seni jahitan dalam membentuk sebuah perniagaan yang boleh diwarisi.

“Ramai tidak tahu bahawa seni jahitan mampu menjana sumber kewangan yang kukuh. Jadi, kami adakan program sebegini untuk memberi suntikan semangat kepada mereka yang sudah menceburi bidang ini.

“Selain itu, kami juga mahu menyediakan platform untuk usahawan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat umum. Dalam masa sama, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan wakil syarikat korporat boleh melihat sendiri produk buatan tangan berkualiti yang sesuai dijadikan cenderamata,” katanya.

Menurut Fully, ramai anggota masyarakat kini merasakan mereka perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan kualiti hidup, namun kurang pilihan memuaskan.

“Justeru, melalui program ini, kami harap mereka mendapat sedikit idea tidak kira sama ada mahu menjana pendapatan sebagai tukang buat, pemborong atau penjual produk buatan tangan,” katanya.

Jelas beliau, Entrepreneurs Sewing Week akan diteruskan dengan siri jelajah sepanjang tahun untuk berkongsi manfaat serupa dengan masyarakat luar khususnya di negeri yang jauh dengan Lembah Klang.


TUNKU Azizah melawat galeri seni jahitan.

“Sepanjang program ini berlangsung, penganjur menyediakan bengkel seni jahitan kreatif secara percuma kepada pengunjung. Ia bertujuan mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap seni jahitan.

“Ramai yang kata susah, tapi ia sebenarnya mudah jika ada panduan, ilmu dan tunjuk ajar yang betul. Jika mereka beri lebih fokus, seni jahitan juga boleh membantu mereka menjana pendapatan, sekali gus keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya.

Majlis perasmian penutupan program itu disempurnakan penaung PSJK, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda bertitah bahawa kegigihan, ketekunan dan keberanian wanita menceburi keusahawanan jahitan kreatif perlu diiktiraf supaya mampu menjadi ikutan dalam membangunkan ekonomi masyarakat.

“Program kemahiran seni jahitan kreatif seperti ini perlu dipergiatkan lagi demi memberi peluang kepada masyarakat mendekatkan diri dalam dunia keusahawanan.

“Pada hari ini, keusahawanan amat penting memandangkan ia pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi selain mampu mengubah struktur masyarakat,” titahnya.

Salah seorang peserta, Sabariah Mohd Noor berkata, dia mula berjinak-jinak dengan seni jahitan sejak 2008 dengan mengikuti kelas di Pusat Latihan Kraftangan Epal di Seremban.

“Sebelum itu saya menjadi suri rumah sepenuh masa dan memang tidak pandai menjahit langsung. Saya ambil pakej pembelajaran setahun, beli mesin sulaman dan belajar menyulam.

“Kemudian, saya belajar menghasilkan beg. Dalam masa sama, saya juga mengajar kawan-kawan yang baru hendak belajar mengendalikan mesin jahit. Melihat kesungguhan saya, suami pula hadiahkan satu lagi mesin jahit.

“Alhamdulillah, saya kini aktif menghasilkan pelbagai jenis kraftangan. Dalam tempoh 10 tahun ini juga, saya sudah memiliki tujuh mesin jahit dan kini turut mengajar mereka yang mahu mendalami bidang seni jahitan kreatif,” katanya.


HASIL kraf tangan milik Sabariah

Tambah Sabariah, dia langsung tidak pernah menyangka hobi menjahit boleh mendatangkan pulangan besar buat dirinya dan keluarga.

“Tahun lalu saja, saya mengajar kira-kira 20 usahawan di Pulau Pinang menjahit patung dan mainan lembut. Malah, saya juga selalu berpesan kepada mereka yang hendak belajar supaya tidak memandang rendah pada seni jahitan kerana ia mungkin boleh mengubah nasib seseorang,” katanya.

Berbeza pengalaman dengan Azlan Jacho, lelaki berasal dari Sabah ini pada awalnya berulang-alik menghantar isteri mengikuti kelas menjahit. Lama kemudian, dia jatuh cinta dan nekad menjadi tukang jahit sepenuh masa.

“Sebenarnya, isteri yang tukang jahit. Dia jadi suri rumah dan saya keluar bekerja. Sekarang saya fokuskan kepada bidang ini kerana percaya kepada potensi yang ada.

“Saya bermula dengan mengikuti kelas setiap bulan, selama setahun sebelum betul-betul mahir. Isteri yang dulunya menjahit baju kurung juga sudah beralih arah kepada jahitan seni kreatif. Kami menghasilkan beg untuk dijual di pasaran umum,” katanya.


AZLAN bersama koleksi beg dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:40 AM