RAMAI pesakit kanser mengambil produk tambahan.
Siti Nadirah Hafidzin

Pesakit yang melalui rawatan kanser akan merasai pengalaman bukan saja kesakitan dan rasa tidak selesa malah mungkin juga akan mengalami kesan sampingan yang melemahkan tubuh.

Sesetengah pesakit kanser mudah terdorong untuk mengambil produk tambahan yang menjanjikan penyembuhan atau memberi manfaat kepada kesihatan umum tanpa merujuk kepada ahli profesional kesihatan terlebih dulu.

Kebanyakan daripada golongan ini adalah pesakit yang tidak mendapat penjagaan mencukupi selepas menjalani rawatan kanser untuk mengurangkan kesan sampingan atau yang terdorong melakukan apa saja untuk berasa lebih baik di saat berperang melawan penyakit itu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi Mohd Dziehan Mustapa, purata pesakit kanser yang menggunakan ubat komplimentari dan alternatif dianggarkan sebanyak 31 peratus.

“Namun angka ini semakin meningkat sejak kebelakangan ini yang menunjukkan 65 peratus pesakit kanser menggunakan produk tambahan semasa menerima rawatan kemoterapi.

“Produk tambahan yang diperkatakan ini selalunya berunsur herba dan tumbuhan semula jadi kerana ia seolah-olah sudah sebati dengan masyarakat kini yang beranggapan sekiranya berunsurkan semula jadi pasti ia selamat,” katanya.


MOHD Dziehan.

Menurutnya, persepsi ini menyebabkan segelintir pesakit memilih untuk tidak menerima rawatan kemoterapi di hospital kerana beranggapan ubat moden tidak selamat.

“Antara ubat yang digunakan dalam rawatan kemoterapi iaitu vincristine sebenarnya berasal daripada pokok Madagascar perinwinkle.

“Pada asalnya pokok ini dikaji untuk manfaat secara tradisi yang digunakan dalam rawatan diabetes, namun kajian lanjut menunjukkan bahan kimia aktif daripada tumbuhan ini mempunyai potensi untuk dijadikan ubat kanser,” ujarnya.

Berbincang dengan doktor

Menurut Mohd Dziehan, majoriti pesakit yang mengambil produk tambahan tidak berbincang terlebih dulu dengan doktor yang merawat mereka.

“Herba dan tumbuhan semula jadi secara zahirnya mempunyai bahan aktif yang boleh memberi kesan interaksi dengan rawatan ubat-ubatan kanser yang dipreskripsikan.

“Kesan interaksi bahan aktif dalam herba dan tumbuhan semula jadi ini boleh mempengaruhi kadar serapan, edaran dalam tubuh, metabolisme dan perkumuhan ubat kemoterapi.

“Interaksi ini boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti gangguan pada peringkat enzim hati yang berfungsi menjalankan proses metabolisme ubat atau berinteraksi dengan pembawa ubat dalam darah untuk melintasi sel,” katanya.

Tambahnya, antara contoh herba yang boleh berinteraksi dengan ubat kemoterapi adalah seperti St John’s Wort, ekstrak bawang putih dan Echinacea.

“Interaksi seperti ini boleh menyebabkan paras ubat kemoterapi dalam darah berkurang dan ia boleh membawa kepada kegagalan rawatan. Selain itu, interaksi disebabkan kadar metabolisme dan perkumuhan ubat yang terganggu boleh menahan ubat kemoterapi berada lebih lama dalam tubuh seterusnya mengakibatkan kesan sampingan yang teruk.

“Malah segelintir masyarakat berpendapat, penggunaan produk tambahan berbentuk antioksidan dalam dos yang tinggi akan melindungi sel normal. Namun kajian praklinikal dan klinikal menunjukkan sebenarnya penggunaan produk tambahan antioksidan dalam dos tinggi ini melindungi sel normal dan sel kanser itu sendiri,” ujarnya.


PESAKIT kanser perlu berbincang dengan doktor berkaitan produk tambahan yang diambil.

Justeru, Mohd Dziehan berkata, pesakit tidak digalakkan mengambil produk tambahan antioksidan dalam dos tinggi semasa menjalani rawatan kemoterapi atau terapi radiasi kerana boleh menjejaskan kesan terapeutik yang dikehendaki.

“Malah produk antioksidan seperti vitamin E juga berpotensi mengganggu rawatan yang diberikan. Sebagai contoh, terapi radiasi dan sesetengah ubat kemoterapi berfungsi dengan menghasilkan radikal bebas yang akan bertindak untuk memusnahkan sel kanser. Oleh itu, kehadiran antioksidan ini ia boleh menghalang fungsi atau kesan terapuetik rawatan atau ubat kemoterapi.

“Sehingga kini tiada bukti kukuh produk tambahan mampu merawat atau mencegah kanser namun ada bukti yang menunjukkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti yang besar sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kanser,” katanya.

Tambahnya, walaupun ahli profesional kesihatan kini memberi amaran kepada pesakit untuk tidak menggunakan produk tambahan dengan rawatan kanser yang diberikan, penyelidik dalam bidang kanser menggunakan herba dan tumbuhan semula jadi mencari jalan meningkatkan kesan ubat kemoterapi sedia ada.

“Justeru, jika anda adalah seorang pesakit kanser, bincang dengan doktor dan ahli farmasi yang merawat sebelum anda mengambil mana-mana ubat atau produk tambahan supaya ia tidak mengganggu rawatan kanser yang diberikan.

“Pesakit juga dinasihatkan untuk memastikan semua produk kesihatan yang dibeli adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai status pendaftaran produk atau berkaitan ubat-ubatan boleh menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:01 AM