COMEL menggayakan busana.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Ceria dan comel. Ini yang terlintas di fikiran sebaik melihat koleksi pakaian kanak-kanak yang menampilkan pelbagai warna berani dan membangkitkan semangat.

Banyak bermain dengan motif yang berwarna-warni, koleksi daripada Little MS & MR (LMM) ini akan membuatkan penampilan si kecil lebih menarik.

Koleksi kasual kanak-kanak perempuan berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu turut menawarkan koleksi raya bagi kanak-kanak perempuan termasuk baju kebaya dan gaun.

Menurut pengasasnya Nornisha Daud, sesuai untuk ibu bapa yang suka menggayakan anak mereka, koleksi pakaian yang ditawarkan lebih beralun, berwarna terang dengan material daripada kapas, satin, sifon dan crepe berkualiti tinggi bagi memberikan keselesaan kepada kanak-kanak.


SELESA dan sesuai digayakan untuk kanak-kanak aktif.

Katanya, butik itu tidak mengehadkan jenis pakaian kepada pakaian hari raya sahaja, sebaliknya pelbagai pakaian kasual untuk kanak-kanak seperti seluar, blaus, jumpsuit dan gaun turut disediakan.

“Rekaan berkait rapat dengan keselesaan, kebanyakan rekaan kami untuk si comel berumur enam hingga 24 bulan direka tanpa lengan memandangkan bayi perlu lebih selesa kerana mereka cepat berpeluh.

“Malah, sesetengah bayi ada yang berkulit sensitif jika panas dan ada yang alah dengan sesetengah material. Koleksi untuk si kecil berumur dua hingga sembilan tahun pula direka berlengan kerana ada sesetengah ibu bapa yang menggalakkan anak untuk bertudung, jadi baju berlengan adalah pilihan tepat,” katanya.


COMEL menggayakan busana.

Menurutnya, hampir semua koleksi butik itu adalah edisi terhad kerana pihaknya mengehadkan pengeluaran untuk setiap rekaan bagi mengekalkan ciri eksklusif.

Kebiasaannya Noornisha berkata, selepas proses jahitan selesai, mereka memastikan setiap helaian ditambah perincian seperti bunga tiga dimensi, manik berlian, mutiara, butang kayu yang kebanyakannya diimport dari luar negara untuk menambah seri pada pemakainya.

Bagi rekaan kasual pula, butik itu menerapkan konsep suai pada antaranya memadankan blaus dengan seluar, kimono dengan seluar, jumpsut, romper dan banyak lagi.


COMEL menggayakan busana.

Ini bagi memberi lebih kebebasan untuk bayi dan kanak-kanak bergerak atau berlari dan boleh digayakan di mana saja.

“Sama seperti koleksi Aidilfitri, kami juga akan menerapkan keunikan tersendiri bagi rekaan kasual, termasuk menambah ropol serta memadankan material bercorak dan polos.

“Dari segi harga pula bergantung pada material digunakan, rekaan dan perincian pada pakaian. Harga ditawarkan serendah RM69 hingga RM150.

“Pada masa akan datang, saya berhasrat memperbanyakkan kuantiti stok sedia, pada masa sama masih mengekalkan nilai eksklusif dan terhad untuk setiap rekaan supaya lebih ramai mengenali jenama ini,” katanya.


COMEL menggayakan busana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:18 AM