RAMBUT digosok menggunakan alat seakan-akan ultrasonik C selama 10 minit.
RAMBUT digosok menggunakan alat seakan-akan ultrasonik C selama 10 minit.
SERUM argan stem sel epal disapu lapisan demi lapisan pada rambut.
SERUM argan stem sel epal disapu lapisan demi lapisan pada rambut.
SEMBUR rambut bagi memberikan kesan lebih optimum sebelum pemakaian serum.
SEMBUR rambut bagi memberikan kesan lebih optimum sebelum pemakaian serum.
DAPATKAN khidmat penata gaya rambut profesional selain nasihat berkaitan masalah.
DAPATKAN khidmat penata gaya rambut profesional selain nasihat berkaitan masalah.
HM Digital

Gaya warna rambut kini semakin bervariasi dan cepat berganti. Selepas rona coklat kemerahan menjadi pilihan untuk musim panas, kini warna kelabu kembali mencipta populariti. Meskipun rambut ala beruban ini dianggap tabu kerana dikaitkan dengan peningkatan usia, anak muda misalnya berani memilih rona sebegini disebabkan pengaruh fesyen luar negara.

Menurut penata gaya rambut dan juga pemilik Chez Hair Studio Halimi Hamdan, terdapat banyak faktor mempengaruhi cita rasa seseorang dalam mewarnakan rambutnya. Antaranya kerjaya, usia dan penggayaan.

Kebiasaannya anak muda yang terbabit dalam kerjaya glamor tidak kisah mewarna rambut dengan rona terang disebabkan ia adalah stail dan mempengaruhi pembabitan mereka untuk lebih dikenali.

Pengaruh fesyen ini sangat ketara apabila mereka mula melihat penampilan artis luar negara yang kelihatan hebat dan berkeyakinan. Tanpa sedar kekerapan mewarnakan rambut boleh mendatangkan kesan negatif terhadap pertumbuhan rambut. Ia menjadikan folikel lebih kering dan kesan bercabang di hujung rambut apabila banyak bahan kimia digunakan.

“Untuk mewarnakan rambut, kebanyakan salun menggunakan peluntur bagi menanggalkan rona rambut asal. Sama seperti peluntur pakaian apabila dipakai terlalu kerap akan membuatkan rambut menipis dan mula ‘mereput’. Ini mengakibatkan rambut senang patah, gugur dan bercabang,” katanya.

Kesan lebih ketara pada mereka yang kerap bertukar warna rambut, daripada rambut asal kepada coklat, merah dan perang tidak sampai enam bulan. Tanpa melakukan rawatan bulanan di salun masalah rambut akan menjadi lebih buruk.

Namun begitu, rambut kering, bercabang dan bermasalah juga turut dihadapi mereka yang tidak mewarna rambut dan hanya melakukan penjagaan rambut di rumah. Menggunakan syampu tanpa mengetahui masalah yang dialami akan memburukkan keadaan. Begitu juga meluruskan rambut menerusi teknik rebonding boleh memberikan kesan sama.

“Di pasaran terdapat dua jenis syampu iaitu berbentuk krim dan susu. Untuk rambut bermasalah wanita dinasihatkan memilih jenis putih (susu) kerana kandungan bahan lebih lembut berbanding krim yang agak keras dan ‘tajam’.

“Syampu kulit kepala juga membuatkan rambut kehilangan minyak semula jadi pada kulit. Minyak ini sebenarnya melindungi kulit kepala daripada bahan kimia akibat penggunaan syampu. Sebaiknya selang-selikan penggunaan syampu bergantung masalah kulit dan rambut,” jelasnya.

Halimi turut menerangkan salah faham mengenai penjagaan rambut wanita bertudung yang perlu diberi lebih perhatian berbanding tidak bertudung. Wanita sebenarnya hanya menjaga rambut di rumah 30 peratus, selebihnya perlu dilakukan di salun sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ini kerana mereka akan dilayan penata gaya rambut profesional selain menerima nasihat mengenai masalah rambut.

“Paling penting adalah asas penjagaan rambut, sebelum memakai tudung rambut harus dikeringkan terlebih dulu. Cuci setiap hari atau dua hari sekali bagi membuang kotoran dan lebihan minyak pada rambut. Pakai syampu serta perapi bersesuaian jenis kulit kepala serta mengambil makanan berkhasiat,” nasihatnya.

RAMBUT BERMASALAH PERLU RAWATAN

Disebabkan terdapat pelbagai faktor penyumbang kepada rambut rosak, bercabang dan kering wanita dinasihatkan melakukan rawatan melembutkan rambut dan memperbaiki kerosakan rambut. Rawatan khas menggunakan serum argan stem sel epal memberikan banyak kebaikan kepada rambut dan kulit kepala.

“Kami menyediakan rawatan serum argan stem sel epal, bagi melembutkan folikel rambut. Minyak argan digunakan untuk menghitamkan rambut manakala sel stem epal mengandungi nutrisi seperti vitamin yang sangat diperlukan,” jelasnya.

Sambil menunjukkan langkah demi langkah rawatan, sebelum itu rambut pelanggan dicuci bersih dan dilakukan urutan lembut bagi melancarkan aliran darah. Rambut disembur sejenis produk agar serum bertindak 100 peratus ke atas kulit.

“Selepas itu serum argan stem sel epal disapu lapisan demi lapisan sehingga mengenai keseluruhan rambut. Elakkan mengenai kulit kepala kerana bahan ini hanya aktif pada rambut sahaja. Selepas siap rambut digosok menggunakan alat seakan-akan ultrasonik C selama 10 minit. Ini dilakukan supaya serum menyerap masuk ke dalam rambut dan mula ‘bekerja’ merawatnya. Biarkan rambut sejuk seketika sebelum dibilas menggunakan air sejuk,” katanya yang turut membekalkan serum kepada pelanggan.

Pelanggan mempunyai masalah rambut dinasihatkan melakukan sendiri di rumah supaya rambut konsisten dirawat sepenuhnya. Rawatan ini juga sesuai untuk mereka yang tidak pernah mewarna rambut namun kerap mengeringkan rambut menggunakan alat pengering rambut.

“Terlalu kerap mengeringkan rambut menggunakan alat pengering pada suhu tinggi menyumbang kepada masalah rambut kering dan bercabang. Sebaiknya ketika rambut masih basah gunakan suhu medium kemudian apabila rambut mulai mengering tukar kepada kepanasan tinggi untuk kesan optimum,” nasihatnya.

PANDUAN PENJAGAAN RAMBUT:

1. Cuci rambut dengan air sejuk bagi mengekalkan kandungan minyak semula jadi pada kulit kepala sekali gus mengelak rambut kering.

2. Selepas mencuci rambut elak menggunakan alat pengering rambut pada suhu paling tinggi (panas) sebaliknya biasakan dengan suhu rendah kemudian tinggi bagi mengelak kesan kepanasan melampau pada rambut.

3. Penting mengunjungi salun walaupun anda tidak melakukan sebarang rawatan mewarna rambut. Mencuci rambut cukup membuatkan rambut terjaga daripada masalah lebih kronik.

4. Untuk wanita bertudung pilih syampu berasaskan susu dan bukan jenis krim. Syampu susu lebih lembut dan merawat daripada menjadi kering.

5. Rawatan rambut sangat penting terutama untuk rambut berwarna.

6. Haruman rambut boleh disembur pada rambut bagi mengelak rambut berbau terutama untuk wanita bertudung.

7. Mereka yang ingin menukar warna rambut dinasihatkan tidak memilih hitam, sebaliknya pilih coklat atau rona berbeza. Ini kerana untuk menukar hitam kepada warna berbeza memerlukan peluntur yang sangat tinggi. Ia merosakkan folikel rambut. -Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:32 AM