Siti Nadirah Hafidzin

Ringkas, kemas dan selesa. Itu antara elemen utama yang menjadi keutamaan setiap lelaki dalam memilih busana. Tidak kiralah untuk dipakai setiap hari atau ketika hari raya dan majlis tertentu.

Menyentuh mengenai busana lelaki yang dipakai ketika sambutan hari raya, baju Melayu kebiasaannya sinonim dengan padanan samping bagi melengkapkan penampilan si jejaka.

Mencari kelainan sekali gus menghasilkan gaya lebih kasual, jenama tempatan Zefiks tampil dengan koleksi Baju Melayu Luth yang menerapkan elemen dikehendaki setiap lelaki.

BAJU Melayu Luth rekaan terkini.

Menurut pengasasnya Syarifah Nur Zati Abdul Rashid, keistimewaan dan kelainan dalam koleksi terbarunya adalah pemakai tidak lagi perlu menyarung samping supaya kekemasannya dapat ditonjolkan.

“Kami cuba mencetuskan kelainan namun tetap mengekalkan ciri kemelayuan dan klasik cuma rekaannya dalam potongan ‘slim fit’ selain mempunyai zip tersorok di bahagian kiri baju bagi memudahkan proses pemakaian.

“Bagi pelanggan yang kurang meminati potongan jenis ini boleh memilih saiz yang sedikit besar bergantung kepada keselesaan diri,” katanya.

SELESA dan terkini.

Syarifah Nur Zati berkata, untuk rekaan seluar pula, pihaknya turut memilih potongan jenis ‘muat padan’ selain disertakan dua poket di bahagian sisi seluar.

“Bagi memberi keselesaan, kami menggunakan material Zara Plain yang ditempah khas kerana ia lembut, tebal, tidak panas, tidak berkilat dan mudah digosok.

“Koleksi ini bukan saja sesuai digayakan ketika hari raya namun ia juga boleh dipakai pada hari biasa termasuk untuk menunaikan solat Jumaat,” ujarnya.

GAYA muat padan makin digemari.

Katanya, ia didatangkan bermula saiz XS sehingga XL dan dijual pada harga RM259 sepasang. Pelanggan juga diberikan butang baju Melayu percuma dalam setiap pembelian.

“Bagi memberikan kepelbagaian dalam pilihan, kami menawarkan 22 warna menarik untuk membantu pelanggan mendapatkan warna kegemaran dengan mudah.

“Kami berharap koleksi ini membantu ramai lelaki tampil lebih kemas dan elegan dalam pemakaian busana terkini yang selesa,” katanya.

SESUAI digayakan untuk gaya lebih kasual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 9:16 AM