Skip this ad x
AZIELA (tengah) berbincang berbincang produk Bonda Zie di kilang milik mereka di Rawang.
Siti Zarinah Sahib

Siapa sangka wanita yang dulunya diibaratkan sebagai ‘mayat hidup’ dan terlantar sakit di hospital selama dua tahun akibat leukemia kini mampu mengecap bahagia bersama keluarga tercinta. Saat doktor memaklumkan dia hanya ada tempoh seminggu untuk hidup, naluri Aziela Che Nor, 48, sangat kuat. Suara hatinya membisikkan bahawa dia perlu terus kuat melawan kesakitan demi suami dan anak.

Ketika ditemui, dia ditemani suami ceria bercerita namun kala mengenang keperitan melawan sel kanser air mata berlinang di pipi. Tambahan pula setiap hari akan ada penghuni wad meninggal dunia, jika tidak katil di sebelahnya, di hadapan atau di kiri kanannya. Mendengar ratapan suami, isteri atau kaum keluarga yang baru kehilangan orang tersayang menyebabkan Aziela tertekan.

“Di hospital saya dikelilingi penghidap kanser. Jadi suasana bising dengan jeritan juga tangisan perkara biasa. Apabila melihat ada jasad diusung keluar hanya selepas sebulan mendapatkan rawatan, betapa luluhnya hati ketika itu.

“Ia tidak terhenti di situ malah hampir setiap masa ada pesakit menghembuskan nafas terakhir. Melihat mereka saya yakin bakal akan menyusul tapi biarlah bukan sekarang. Ini kerana masih banyak perkara perlu saya lakukan terutama anak yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian,” katanya sambil mengakui apa yang dilalui sepanjang dua tahun di hospital cukup memberikan keinsafan hakikat sebuah kematian.

Bercerita lanjut pengalaman sebagai pesakit leukemia, jelas Aziela segalanya bermula pada 2012, apabila dia sering demam hampir setiap bulan. Ini diikuti tanda keletihan dan penat melampau dan tanpa sedar itu adalah petanda awal leukemia.


AZIELA kuat demi suami dan anak

“Terganggu dengan urusan kerja disebabkan demam berpanjangan dan kerap, saya menjalani pemeriksaan di hospital swasta, namun doktor tidak dapat mengesan penyakit dialami. Hinggalah air tulang belakang diambil dan doktor di Hospital Ampang mengesahkan saya menghidap leukemia,” kata pengasas Sunrich Heritage itu ketika ditemui di pejabatnya di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Mendengar kata-kata doktor itu perasaan sedih, pilu dan tertekan bercampur-baur. Terbayang ketika itu hanya kematian, namun semangat kuat menyebabkan Aziela tidak mudah berputus asa. Dia pasti sel kanser dapat dilawan hanya menerusi kekuatan dari dalam diri. Sejak itu pelbagai rawatan perlu dijalani di hospital termasuk kemoterapi sebanyak enam pusingan.

“Bermulalah perubahan pada diri saya. Tubuh seberat 49 kilogram (kg) semakin menyusut hingga 37kg. Kemoterapi menyebabkan rambut mulai gugur hingga saya mengambil keputusan membotakkan kepala. Saya juga tidak dapat menjamah makanan kerana mulut pecah, mengalami ulser teruk, tekak terasa perit dan sakit,” katanya.

Dalam keadaan tidak bermaya, Aziela perlu memakai lampin pakai buang dan berkerusi roda. Mujur suaminya, Muzaffar Mustapa memberikan 100 peratus sokongan dan kata-kata semangat setiap masa. Ujian paling getir apabila Aziela perlu diselamatkan menerusi perpindahan darah dengan individu mempunyai darah sepadan.

Malah dalam keadaan tenat dan memerlukan penyumbang sel darah putih, tiada seorang ahli keluarga mempunyai darah sepadan kecuali anak sulungnya Wan Muhammad Izzat Wan Izani, 29. Saat dimaklumkan, Wan Muhammad Izzat bersedia menawarkan darahnya untuk didermakan kepada Aziela, namun sebagai ibu dia tidak sanggup menerima.

“Mulanya saya tidak sanggup kerana terasa seperti mengambil nyawa anak sendiri. Saya kasihankan anak saya kerana dia masih muda dan masih panjang lagi perjalanan hidupnya. Bagaimanapun, Wan Muhammad Izzat berkeras supaya saya menerimanya. Akhirnya saya akur kerana itu saja cara mampu memanjangkan jangka hayat,” katanya yang terpaksa membuat keputusan itu selepas pencarian darah sesuai menemui jalan buntu.


AZIELA bersama suami, Muzaffar.

Suami penguat semangat

Hadir ditemani suami tersayang, jelas Aziela ketika terlantar sakit, dia sangat berterima kasih kepada suami kerana menjaganya sepenuh hati. Suami juga mengambil pembantu bagi menguruskan kelancaran urusan di hospital seperti memandikan, menukar lampin pakai buang dan menyuapkan makanan Aziela.

Melihat tubuh yang semakin kurus, wajah kehitaman akibat kesan kemoterapi, kulit semakin kering dan hitam, sebagai isteri dia mengaku ada rasa malu serta kurang keyakinan diri kala berdepan dengan suami. Menzahirkan tanda terima kasih atas pengorbanan dicurahkan suami, Aziela pernah meminta Muzaffar mencari wanita lain kerana berasakan dia tidak lagi sempurna sebagai isteri.

“Tapi Muzaffar menolak kerana cinta dan kasih sayangnya pada saya bukan disebabkan fizikal tetapi hati dan perasaan. Walau apa berlaku sekalipun dia tetap berada di sisi saya sepenuhnya. Sejak itu saya sedar kasih sayang diberikan bukan disebabkan wang ringgit tetapi berlandaskan kejujuran dan keikhlasan,” kata Aziela sayu.

Lebih menguatkan semangat apabila anak turut memberikan kata-kata positif setiap kali melawatnya di hospital. Mereka pasti membisikkan ayat seperti ‘mama perlu kuat, jangan menyerah kalah, kalau mama tiada siapa tempat kami bergantung. Mama kena sihat.’ Itulah di antara bait ayat yang sering diperdengarkan di telinga Aziela. Ini membuatkan semangatnya semakin kuat.


KELUARGA bahagia dulu, kini dan selamanya.

“Saya sedar perlu meneruskan kehidupan. Saya anggap apa yang Allah berikan ini sekadar ujian menguji keimanan saya. Setiap masalah akan ada penyelesaiannya dan setiap penderitaan akan disusuli kegembiraan. Inilah ungkapan yang saya sentiasa pegang. Lama-kelamaan saya semakin sihat dan kuat.

“Daripada terlantar saya sudah boleh bangun dan berjalan sendiri. Tubuh pula semakin berisi. Namun saya masih tidak dibenarkan bertemu orang ramai atau keluar di khalayak ramai disebabkan antibodi sangat lemah. Bila-bila masa saja saya mudah dijangkiti virus. Namun disebabkan bosan di rumah pernah suami membawa saya keluar sambil badan dibalut sepenuhnya dengan kain selain hanya dibenarkan berkerusi roda saja,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Ingin bantu pesakit kanser lain

Menjalani gaya hidup sihat dan meneruskan amalan pemakanan berasaskan sayur-sayuran, buah-buahan serta amalan pemakanan herba, pada Jun 2017 Aziela disahkan bebas leukemia. Ketika itu dia begitu gembira hanya ucapan alhamdulillah saja mampu terbit dari bibir kala diberitahu doktor berkenaan perkembangan kesihatannya itu.

“Saya yakin lebih ramai pesakit kanser di luar sana ingin sembuh tetapi rasa tertekan, takut, malu dan tidak yakin membuatkan mereka mengabaikan beberapa perkara penting seperti pemakanan serta rawatan. Selain itu, kunci utama iaitu yakin dan positif setiap masa. Pesakit juga perlu tampil dan berkongsi masalah bersama bekas pesakit lain untuk mendapatkan suntikan semangat,” katanya yang ingin berkongsi pengalaman dengan pesakit kanser cara menjadi lebih positif.


AZIELA dan suami menguruskan perniagaan bersama-sama.

Berhasrat membantu menambah nilai insan lain, sejak tahun lalu, Aziela sudah menghasilkan tiga produk kecantikan di bawah jenama Bonda Zie. Semua produk ini berasaskan ramuan herba seperti minyak argan yang membantu memulihkan kulit berjerawat dan berjeragat.

“Ketika menghidap leukemia dulu kulit menjadi hitam dan bertompok-tompok akibat kesan rawatan kemoterapi. Jadi saya banyak menggunakan herba bagi merawat kulit dan hasilnya sangat memuaskan. Inilah sebab mengapa saya ingin berkongsi dengan wanita yang turut berdepan masalah sama,” katanya.

Bagi mengembalikan tenaga Aziela turut mengeluarkan jamu Jus Bonda Zie berasaskan kunyit, halia, madu dan sirih. Ia bagus untuk kesihatan dalaman dan luaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:48 PM