LAM (dua dari kanan) dan Pegawai Pendidikan SPCA Pyo Ng (dua dari kiri) memberi kucing makan di pusat jagaan disediakan SPCA.
Zaitie Satibi

Sebagai makhluk Tuhan, kucing sebenarnya bukan sahaja berhak mendapat kasih sayang tetapi juga makan dan minum serta tempat perlindungan yang sempurna.

Bagaimanapun, akibat kurang kasih sayang dan keprihatinan ada di antara kita tanpa disedari melakukan kekejaman terhadap kucing.

Ramai yang menyukai haiwan ini tetapi tidak ramai mempunyai pengetahuan dari segi penjagaan kesihatan dan pemakanan.

Pemberian makanan kucing mestilah bersesuaian dengan usia, cara hidup, sensitiviti tertentu untuk memenuhi keperluan nutrisi dan baka kerana cara yang betul dapat menjaga kesihatan haiwan peliharaan itu.

Pengurus Perniagaan Purina Malaysia, Lam Pui Yee berkata, segelintir pemilik kucing memberi makanan yang tidak sepatutnya kepada haiwan peliharaan mereka tanpa menyedari makanan itu boleh mengancam kesihatan dan membahayakan si comel.

“Kebanyakan pemilik kucing cenderung memberi haiwan peliharaan itu juadah untuk manusia seperti nasi tanpa menyedari ia sebenarnya bukanlah makanan paling sesuai untuk kucing.

“Amalan makanan kucing berdasarkan haiwan bersifat karnivor, oleh itu sistem tubuhnya dicipta khas untuk diet sedemikian,” katanya di pusat perlindungan haiwan, Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA), Ampang, Selangor, baru-baru ini.

LAM PUI YEE .

SPCA yang ditubuhkan sejak 1958 itu bukan sahaja melindungi haiwan terbiar, tetapi turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dari segi rawatan, pemulihan dan pendidikan mengenai penjagaan haiwan.

Selain bertanggungjawab menyuarakan dan memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai pemeliharaan haiwan, SPCA juga berperanan menyediakan perlindungan serta menyelamatkan haiwan daripada dizalimi.

Bagi mendidik pemilik kucing memberikan nutrisi yang betul, Purina bekerjasama dengan SPCA untuk menyampaikan maklumat mengenai makanan yang selamat dan memenuhi keperluan nutrisi harian si comel.

Purina turut mengumumkan kucing milik pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen iaitu Bujibu Chempel dari baka British Shorthair sebagai duta jenamanya yang terbaru bagi rangkaian makanan kucing gourmet, Fancy Feast.

“Pemberian makanan yang silap boleh mengundang masalah yang tidak dijangka seperti masalah buah pinggang. Malah, jika makanan itu tidak menepati selera si comel kemungkinan boleh membuat ragam seperti enggan makan kerana tidak suka.

“Bagi memastikan makanan yang bersesuaian dengan keperluan kucing, pemilik kucing boleh memeriksa kandungan nutrisi yang terdapat pada pembungkus makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:12 PM