RAWATAN penting wajah untuk bekalan nutrisi kulit.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Wanita dan kecantikan memang sukar hendak dipisahkan. Dari hujung rambut hingga ke kaki, ada saja petua, alat penjagaan, diet khusus atau terapi untuk mencantikkan bahagian tertentu.

Bukan kerana obses atau terlalu inginkan perhatian, namun keyakinan yang terbentuk daripada kepuasan memiliki kulit bersih, sihat dan cantik lazimnya lebih mudah terserlah.

Begitupun, dalam menggapai kepuasan diri, ramai wanita mudah tersalah langkah. Padah menanti bagi yang bersikap semberono dalam membuat pilihan produk penjagaan wajah atau diri.

Mungkin kerana kurangnya pendedahan berkenaan jenis, keperluan dan kehendak sebenar kulit, ramai wanita kecewa apabila percubaan terhadap sesuatu produk gagal meraih hasil yang dikehendaki.

Antara produk perawatan wajah terbaik, tapi sukar ditentukan kesesuaiannya dengan kulit adalah pupur atau sering disebut sebagai masker.

Menjadikan pupur muka sebagai rutin perawatan wajah sebenarnya mampu membawa manfaat besar tidak kira kepada wanita ataupun lelaki.

Selain mengekalkan kelembapan, menegangkan kulit, membekalkan nutrien dan memperbaiki kerosakan pada wajah, pupur muka juga boleh meremajakan kembali rupa pemakainya.

Kuncinya adalah dengan memilih pupur atau topeng wajah yang sesuai dengan jenis kulit anda! Cuba semak kriteria berikut sebelum membuat pilihan.


ALOE vera untuk menegangkan kulit.

Kulit sensitif

Pemilik kulit sensitif harus lebih selektif dalam menentukan pilihan masker yang tepat. Ini penting kerana satu kesilapan kecil mungkin boleh mengubah keseluruhan wajah anda menjadi merah dan gatal. Jika keadaan ini berlaku, tidak mustahil jerawat dan ruam kecil akan mula timbul.

Pilihan selamat, pilih masker mengandungi pelbagai sumber mineral yang dapat menenangkan kulit. Elakkan memilih topeng muka berasaskan bunga-bungaan untuk menghindari kesan radang.

Kulit kering

Logiknya, anda perlu memilih pupur wajah yang boleh membantu mengembalikan kelembapan wajah. Antaranya masker berasaskan gel, krim atau berasaskan minyak organik. Selepas menanggalkan masker, cuba sentuh kulit sekitar wajah. Masker yang baik akan membuatkan wajah lebih segar dan lembap.

Kulit kombinasi

Sudah namanya kombinasi, jadi anda perlu menggabungkan jenis pupur bersesuaian dengan daerah wajah. Umpamanya, pupur berasaskan tanah liat mungkin sesuai di sapu ke zon T, sementara masker melembap boleh disapu ke kawasan kulit yang kering.


PUPUR berasaskan tanah liat untuk kulit berminyak.

Kulit berminyak dan berjerawat

Menentukan jenis pupur untuk kulit berminyak boleh jadi lebih mudah berbanding yang lain. Mungkin kerana keadaan kulit berminyak yang ketara, jadi penyelesaiannya juga mudah dibuat. Jika anda memiliki kulit berminyak dan berjerawat, pilih pupur wajah berasaskan tanah liat. Ini kerana tanah liat bukan saja mampu mengawal lebihan minyak, malah mampu mengecilkan pori wajah.

Kulit kusam

Keadaan ini berlaku kerana wujudnya sel kulit mati akibat selaran matahari dan diet tidak seimbang. Untuk penjagaan wajah paling asas, ramai yang mencadangkan penggunaan pupur atau masker berasaskan skrub atau gel pengelupasan yang mengandungi butiran halus.

Selepas wajah direhatkan bersama pemakaian pupur, sental gel atau butiran halus perlahan-lahan untuk membuang sel kulit mati. Jangan terlalu gopoh untuk melihat hasilnya, tetapi beri masa antara dua hingga tiga minggu untuk kulit kembali segar.

Kulit berkedut

Wanita pertengahan usia 30-an sepatutnya sudah mula menggunakan pupur atau masker untuk menegangkan kembali kulit wajah. Sama ada menggunakan produk sedia pakai atau putih telur bersama sedikit madu, penjagaan rutin perlu dimulakan pada usia ini bagi mengelak lebih banyak timbulnya garis halus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 11:38 AM