AHLI Persatuan Haiwan Malaysia menangkap anjing terbiar.
PERSEDIAAN rapi dilakukan seperti menyediakan sangkar sebelum kerja menyelamat dilakukan.
HAIWAN terbiar seperti anjing yang dilaporkan mengganggu penduduk ditangkap sebelum dibawa ke tempat perlindungan Animal Malaysia.
PASUKAN penyelamat haiwan Animal Malaysia sedia berkhidmat pada bila-bila masa diperlukan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Biarpun pernah dicemuh sehingga mengancam keselamatannya gara-gara memberi makan kepada kucing jalanan dan terbiar, situasi berkenaan tetap tidak menghalang wanita ini daripada terus menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada makhluk Tuhan itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagi Zainab Rahman, 40, dari Kuala Lumpur, kerja amal itu bukan saja atas dasar tanggungjawab, tetapi rasa kasih kepada haiwan jalanan terabai yang sering berkeliaran dalam keadaan tidak terurus di sekitar ibu kota.

Rutinnya hampir setiap hari dia akan keluar memberi makan kepada ‘anak-anak bulus’ di beberapa lokasi tertentu kira-kira jam 10 pagi dan 8 malam. Namun, Zainab tidak keseorangan apabila aktiviti itu turut dilakukan bersama rakan baik yang juga pencinta dan penyelamat haiwan, Noor Azleen Azahari, 42.

“Kami bukan sekadar memberi makan kepada kucing terbiar ini, sebaliknya selamatkan terlebih dulu dengan merawat haiwan yang sakit hingga pulih dan memandulkannya sebelum dilepaskan ke tempat ia ditemui.

“Kucing yang diselamatkan tidak mampu dibawa pulang kesemuanya, tambahan lagi tiada tempat untuk menyimpannya. Oleh itu, dalam usaha menyelamatkan haiwan terbiar ini kami laksanakan kaedah tangkap, mandul, lepas dan urus (TNRM).

“Ramai yang menganggap memandulkan haiwan ini satu tindakan tidak berperikemanusiaan kerana menghalang fitrah kucing untuk mengawan. Mereka tidak faham situasi sebenar bahawa pemandulan perlu dilakukan untuk mengurangkan populasi haiwan terbiar,” katanya.

Katanya, tindakan pemandulan adalah lebih bertanggungjawab daripada membiarkan kucing terbiar terbabit membiak tanpa kawalan sehingga bilangannya boleh mengundang kacau ganggu kepada manusia.

“Kucing terbiar yang dimandulkan akan dilepaskan semula ke tempat asalnya dan seterusnya saya menguruskan dengan memberi makan. Bagaimanapun, kesedaran terhadap kucing terbiar ini semakin meningkat kerana didapati semakin ramai yang tampil memberi kucing ini makan.

“Malah, ada yang berkenan dengan kucing terbiar ini dan membawanya pulang untuk dipelihara. Kebanyakan daripada mereka juga tahu kucing yang saya selamatkan itu sudah dimandulkan menerusi tanda pada telinga haiwan itu.

“Kucing yang dimandulkan akan digunting sedikit pada hujung satu telinganya dan kaedah ini dipanggil ‘ear tipping’ atau ‘ear notch,” katanya yang mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli makanan kucing, proses mandul dan rawatan perubatan haiwan yang sakit.

Menurut Zainab, pembabitannya dalam usaha menyelamatkan kucing terbiar selepas mengikut jejak langkah ibunya yang juga seorang pencinta haiwan apabila wanita berkenaan sering memberi makan kepada kucing terbiar yang datang ke rumah.

“Lama-kelamaan saya terikut-ikut dengan perbuatan ibu yang gemar memberi makan kepada kucing terbabit. Saya juga membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menumpukan kepada perlindungan haiwan dalam pengurusan kucing terbiar ini.

“Saya tidak mengharapkan ganjaran, sebaliknya memadai masyarakat faham dan sama-sama membantu. Saya juga tidak meminta sumbangan untuk melakukan kerja ini dan lebih selesa menggunakan wang diperoleh hasil menjual kek dan biskut buatan sendiri dengan jenama Buttermilk Bakers,” katanya.

Tidak hirau pandangan serong

Peniaga kecil-kecilan, Mohd Aimran Azmi pula bergiat aktif dalam tugas menyelamatkan haiwan sejak empat tahun lalu selepas melihat banyak kucing dan anjing terbiar hidup melarat tidak seperti haiwan yang bertuan yang dijaga dengan baik.

“Dari situ timbul minat untuk menyelamatkan haiwan berkenaan dan saya kemudian menyertai Persatuan Peminat Kucing Kuala Lumpur dan Selangor supaya dapat selalu melakukan kerja amal terhadap haiwan.

“Tidak dinafikan juga tugas menyelamatkan haiwan ini bukan kerja mudah. Ini kerana, haiwan akan menjadi ganas jika berasa terancam, oleh itu sifat sabar sangat dituntut.

“Saya juga berusaha memujuk haiwan yang sukar didekati supaya ia lebih selesa dengan kita sekali gus memudahkan haiwan itu diselamatkan. Digigit atau dicakar haiwan yang cuba diselamatkan itu juga perkara biasa dan ia tidak menyebabkan saya patah semangat,” katanya yang turut menjadi sukarelawan Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia).

Mohd Aimran berkata, beliau juga tidak terlepas daripada menerima pandangan serong masyarakat kerana membantu menyelamatkan haiwan terbiar terutama anjing, tetapi perkara itu tidak dibiarkan menjadi nanah sebaliknya menganggap sebahagian asam garam dalam dunia penyelamatan haiwan.

“Tugas menyelamatkan haiwan yang dilakukan tidak terhad kepada menyelamatkan kucing dan anjing terbiar di jalanan, kerana saya juga membantu menangkap haiwan yang dikatakan mengganggu penduduk di kawasan perumahan, premis perniagaan dan pejabat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Animal Malaysia Arie Dwi Andika berkata kerja menyelamat haiwan bukanlah pekerjaan hakiki, tetapi ia dilakukan dengan sukarela yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga, wang dan nyawa. Ini kerana risiko yang bakal dihadapi penyelamat haiwan seperti kecederaan akibat gigitan atau kemalangan jatuh dari tempat tinggi.

“Sebaik-baiknya seseorang yang ingin menjadi penyelamat haiwan perlu memahami sifat dan tabiat semula jadi jenis haiwan terbabit. Ia bagi mengurangkan konflik antara haiwan dengan penyelamat.

“Haiwan selain anjing dan kucing yang boleh diselamatkan pada masa ini adalah musang. Berikutan zaman urbanisasi ini nasib haiwan liar seperti musang sangat menyedihkan apabila ia kini didapati menjadikan siling kilang, pejabat dan stor di bandar sebagai habitat serta pembiakan.

“Ini adalah kesan daripada penerokaan hutan dan akibat pembangunan ini skala makanan untuk musang mengecil menyebabkan ia terpaksa keluar dari ‘sarangnnya’ dan menimbulkan kesan bahaya seperti dicederakan manusia, kemalangan, kejutan elektrik di kabel elektrik, terbunuh akibat diracun dan hilang punca akibat tersesat,” katanya.

Katanya, secara purata dari Januari hingga Mac tahun ini pihaknya menyelamatkan kira-kira 32 anjing yang kemudian ditempatkan di kebun anjing milik Animal Malaysia, 28 diserahkan kepada pemilik baru dalam program keluarga angkat, sementara dua musang dan seekor burung dilepaskan ke habitat baru di kawasan hutan.

“Cabaran utama penyelamat haiwan adalah penerimaan orang sekeliling terhadap haiwan yang diselamatkan. Contohnya anjing dan kucing kerana bukan semua jiran tetangga menerima kehadiran haiwan terbabit yang dibawa pulang. Bagi mereka yang tidak menyukai haiwan menganggap kehadiran mereka sebagai ‘pengacau.’

“Oleh itu, pelbagai usaha kesedaran dilakukan menerusi penerangan dalam laman Facebook, ‘Persatuan Haiwan Malaysia - Malaysia Animal Association’ untuk menggalakkan masyarakat menerima budaya membantu haiwan malang. Selain itu, kami juga mendekati orang ramai di tempat awam dengan membuat kempen dan penerangan mengenai tanggungjawab sosial begini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 11:32 AM