DR Klenk (tengah) hadir pada majlis pelancaran Plantur 39, baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib

Walaupun masalah kebotakan atau keguguran rambut menjadi perkara yang diterima kebanyakan lelaki, bagi wanita ia sangat memalukan dan perlu dirahsiakan. Penipisan rambut tidak boleh dianggap ringan kerana ia menjejaskan keyakinan diri dan hubungan sosial.

Menurut pengkaji yang menjalankan kajian mengenai rambut, terdapat pelbagai penyebab keguguran rambut seperti pemakanan, tidak bersenam dan salah guna produk. Namun kehilangan rambut kerana menopaus atau dikenali sebagai alopesia androgenik kurang diberikan perhatian terutama dalam kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas.

Menurut Pengarah Klinik Kulit & Rambut Dr Ruban Dr Ruban Nathan, keguguran rambut berlaku disebabkan penurunan drastik hormon estrogen sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhannya. Secara umum hormon estrogen pada wanita membantu melindungi kekuatan akar rambut namun apabila usia meningkat dan kehadiran menopaus menyebabkan akar tidak lagi kuat.

"Fasa sebelum menopaus berlaku apabila hormon mulai tidak seimbang menyebabkan keguguran rambut. Apabila hormon estrogen semakin berkurang ia akan menyebabkan rambut gugur awal," katanya.

Sebagai perunding dermatologi dan pemulihan rambut, dia sering bertemu pelanggan bertudung yang menghadapi masalah sama. Untuk wanita berhijab adalah sangat penting memberikan penjagaan lebih untuk rambut supaya ia kekal sihat sebelum usia meningkat.

Pengurus Produk Plantur 39, Dr Adolf Klenk menegaskan dalam penyelidikan dan pembangunan mengenai rambut yang dijalankan syarikat kosmeseutikal Jerman Dr Wolff mendapati ramai wanita mengalami masalah rambut nipis dan keguguran akibat ketidakseimbangan hormon semasa dan selepas menopaus.

Selain itu mereka turut mengalami gejala panas lelas, berpeluh, mood yang tidak stabil, kesukaran tidur malam, kemurungan dan lemah nafsu seks sehingga menyebabkan rasa tertekan dan murung. Pelbagai masalah ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk wanita berada dalam tekanan kerana terdapat produk yang mampu mengurangkannya.

Bagi memberi manfaat kepada wanita, Dr Wolff mengambil inisiatif menjalankan kajian menerusi penghasilan produk yang dapat mengatasi masalah rambut gugur untuk wanita berusia.

"Untuk rambut gugur saya menemui sebatian merangsang iaitu kafein yang boleh diserap sehingga ke akar rambut. Ia kemudian dimasukkan ke dalam syampu bagi menguji tindak balasnya. Ternyata kafein dapat dimanfaatkan bagi membantu mengurangkan keguguran rambut," katanya yang berkunjung ke Malaysia bagi acara pelancaran Plantur 39 baru-baru ini.

Tambahnya lagi, di antara semua hasil kajian satu-satunya tuntutan yang boleh dipercayai bersama sokongan saintifik ialah syampu berasaskan kafein mempunyai beberapa manfaat iaitu menyuburkan akar rambut dan mengurangkan masalah rambut gugur.

Bagi membuktikannya, 284 wanita berumur antara 40 hingga 64 tahun diuji menggunakan syampu ini selama tiga bulan. Selepas percubaan ini, 87 peratus berkata keadaan rambut bertambah baik. Lebih separuh (57 peratus) menyedari pengurangan keguguran rambut dan penipisan rambut manakala 70 peratus mengakui kehilangan rambut ketika mandi dan menyisir rambut semakin berkurangan.

Keberkesanan kafein juga disahkan dalam kajian Universiti Jena Clicik. Ahli dermatologi berpendapat syampu ini boleh disyorkan sebagai rawatan kosmetik terhadap keguguran rambut pramatang kerana kebolehpercayaan yang baik dan keberkesanan sudah terbukti.

"Hasilnya, ia juga mempunyai kelebihan khusus dalam rawatan pencegahan individu dengan potensi risiko yang meningkat.

Plantur 39 Phyto-Caffeine mengandungi kompleks aktif fito-kafein bagi menghalang akar rambut daripada mengalami kelesuan pramatang akibat menopaus. Dengan rumusan galenik khas, kompleks aktif ini dapat tembus hingga ke pucuk rambut untuk mengaktifkan akar rambut dan mencegah kehilangannya.

Ketua Akademi A Cut Above, Peter Wong menambah, gaya hidup wanita, penggunaan syampu yang salah dan mengendalikan rambut setiap hari turut menyumbang masalah rambut gugur.

"Sering menyisir rambut menggunakan sikat yang salah, meluruskan rambut keriting boleh melemahkan akar rambut," katanya.

Peter turut membawakan dua pendandan profesional Akademi A Cut Above yang menunjukkan cara penjagaan rambut yang betul. Plantur 39 Phyto-Caffeine dijual secara eksklusif di farmasi Watsons terpilih seluruh negara mulai penghujung Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 9:59 AM