PENERIMA biasiswa bergambar kenangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kecantikan seseorang wanita bukan hanya diukur pada rupa paras dan faktor luaran namun merangkumi kebijaksanaan dan bagaimana mereka membawa diri menjadi figura dikagumi.

Oleh itu, bagi tahun ketiga Fair & Lovely terus komited memperkasakan inisiatif program Biasiswa Fair & Lovely 2018 bagi meningkatkan potensi wanita muda mencorakkan masa depan mereka melalui pendidikan.

Biasiswa yang ditawarkan berjumlah RM200,000 diberi kepada 40 pelajar wanita dari universiti awam. Program biasiswa ini diperkenalkan selaras objektif jenama itu untuk menggalakkan wanita mempunyai keyakinan diri bagi mengejar impian mereka dan menikmati masa depan yang cerah melalui pendidikan.

Tahun ini, jenama itu melangkah setapak lagi dengan mewujudkan komuniti maya untuk 40 pemegang biasiswa bertujuan menggalakkan mereka berhubung antara satu sama lain di dalam komuniti berkenaan dan mendapatkan perkembangan terkini mengenai peluang yang disediakan oleh Unilever Malaysia.

Melalui platform komuniti maya ini, Fair & Lovely akan membangunkan program yang menghubungkan pelajar dengan industri dan memberi mereka akses kepada program Unilever yang bertaraf dunia.

Bengkel mengenai kemahiran temu duga, bengkel kerjaya dan perkongsian kepemimpinan wanita akan disampaikan oleh eksekutif wanita Unilever Malaysia.

Lebih menarik buat pertama kalinya, pelajar akan dibantu untuk mendapatkan penempatan industri di Unilever Malaysia. Pemegang biasiswa yang memohon penempatan industri mempunyai kelebihan kerana mereka akan diberi keutamaan semasa proses pemilihan.

Pengurus Jenama Fair & Lovely, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd Lin Meiyi berkata, di syarikat itu, mereka percaya pendidikan, keyakinan dan percaya pada diri sendiri adalah elemen penting untuk memperkasakan wanita dan memberi kesan positif kepada masyarakat.

Katanya, dengan mewujudkan platform melalui penganugerahan biasiswa, bimbingan kerjaya dan peluang latihan industri, mereka mahu wanita muda ini bersedia mengejar impian dan mencorakkan masa depan sendiri.

SEBAHAGIAN pelajar teruja menerima biasiswa masing-masing.

“Pada tahun ini, 40 pelajar dipilih daripada tujuh universiti awam tempatan yang mendapat undian tertinggi. Secara keseluruhan, sebanyak 20,100 permohonan diterima pada tahun ini berbanding 12,044 tahun lalu.

“Sejak diperkenalkan pada 2016, Biasiswa Fair & Lovely sudah membantu 80 pelajar wanita muda,” katanya pada majlis penyampaian biasiswa itu kepada 40 penerima di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Unilever, Annemarieke dan Pengarah Sumber Manusianya, Ming Choo.

Pelajar terpilih menerima RM5,000 setiap seorang sebagai pembiayaan untuk menampung keperluan pengajian mereka termasuk yuran pengajian, pembelian buku dan barangan keperluan lain.

Mereka yang disenarai pendek adalah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Universiti Malaya (UM), Kolej Universiti Mara (KUPTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sementara itu, penerima biasiswa dari KUIS, Rabiatul Izzati Ibrahim, 22, berkata, dia cukup bertuah kerana terpilih antara puluhan ribu permohonan dan berharap biasiswa itu dapat meringankan beban keluarganya.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, kesukaran hidup keluarganya menyebabkan dia perlu melakukan pelbagai kerja sambilan untuk menampung pengajian di KUIS dan berjimat cermat kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya.

“Tahun ini paling sukar untuk kami sekeluarga, ayah terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan dan bergantung kepada pendapatan tidak menentu sebagai pemandu Grab selain ibu yang bekerja di tadika memperoleh pendapatan RM600 sebulan.

“Dengan biasiswa ini, dapatlah saya gunakan untuk membayar yuran pengajian untuk semester depan dan perbelanjaan lain,” katanya.

Bagi Noor Azlin Ab Razak, 22, dia begitu teruja kerana terpilih kerana dengan biasiswa itu, dia dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan membiayai pengajian untuk semester akan datang.

Anak kelima daripada tujuh beradik dari Dungun, Terengganu ini berkata, melihat kesukaran ayahnya yang bekerja sebagai buruh membuatnya nekad berusaha mencapai cita-cita sebagai pendidik suatu hari nanti untuk membalas jasa keluarga.

“Biasiswa ini juga sebagai galakan untuk saya terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan cemerlang. Terima kasih kepada Fair & Lovely yang prihatin terhadap golongan wanita seperti kami,” katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi UiTM Shah Alam.

MING menyampaikan anugerah biasiswa kepada seorang penerima.

Anis Shatirah Che, 22, pula melahirkan rasa terharu apabila mendapat tahu semua penerima biasiswa akan mendapat peluang pekerjaan dan pendedahan mengenai kepimpinan melalui penempatan industri di Unilever Malaysia.

Penuntut jurusan Linguistik dan Bahasa Jepun dari UM berkata, peluang itu akan menjadikan dirinya lebih yakin untuk menghadiri temu duga dan memulakan kerjaya selepas tamat belajar.

“Terpilih daripada puluhan ribu permohonan sudah cukup membanggakan dan ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban keluarga terutama ibu saya yang bergelar ibu tunggal.

“Biasiswa ini akan digunakan untuk menampung yuran pengajian untuk semester depan di samping keperluan lain,” katanya.

Menyedari manfaat yang diperoleh oleh ramai wanita muda sepertinya, anak kedua daripada empat beradik ini berharap program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 9:47 PM