PESONA hari raya dengan busana sopan.
Intan Mas Ayu Shahimi

Memilih rekaan tradisional sebagai konsep utama lebaran kali ini, Rumah Kebaya Bangsar (RKB) mengangkat koleksi mewah kebaya Riau, kutu baru, cekak musang, kurung mini, kurung Pahang dan kurung Kedah.

Memberi tumpuan kepada perincian sulam termasuk bunga kerawang, bunga tanjung dan sakura, setiap helaian busana di premis ini pasti membuai perasaan wanita, khususnya mereka yang sukakan rekaan klasik.

Tidak keterlaluan dalam gaya, Pengasas RKB Nursyuhada Md Isa berkata, inspirasi rekaan untuk tahun ini diambil daripada hasil rujukan Prof Dr Marwani (Universiti Teknologi MARA) selain potongan kebaya primadona Saloma serta gabungan hasil seni Indonesia.

POTONGAN tradisi serlah keayuan.

“Di RKB, kami memang mempunyai pereka sendiri. Selain saya, kerja rekaan turut dibantu pereka Zharif Zaid dan Faizal Abdullah. Kira-kira 80 peratus daripada rekaan di sini adalah koleksi tradisional yang mengekalkan pelakon, Fasha Sandha sebagai Ikon Kebaya.

“Jika orang tanya, apa keunikan dan keistimewaan koleksi kami, sudah tentu terletak pada pemilihan fabrik dan potongan asli pakaian tradisi. Semua koleksi ini sesuai untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

BUSANA longgar rona berani.

“Berbanding kebanyakan kebaya di pasaran, kami tawarkan busana mengikut potongan tubuh yang sedikit longgar, tidak panas, selesa dan mudah untuk pemakai bergerak.

“Memandangkan pengikut fesyen hari ini lebih sukakan konsep minimalis, jadi kami hasilkan busana dengan gabungan fabrik berkualiti tinggi, rekaan ringkas dan berciri klasik. Padanan ini menjadikan koleksi kami cukup sesuai untuk lebaran,” katanya.

PERINCIAN songket nampak mewah.

Selain kebaya klasik, Nursyuhada berkata, butik itu juga menawarkan koleksi kebaya kontemporari yang lebih kasual dan santai. Koleksi itu sebahagian daripada projek mini usaha sama dengan selebriti tempatan, Sharifah Sakinah.

“Sebagaimana tahun sebelumnya, kami masih mengekalkan pilihan kain kapas sebagai fabrik utama di samping gabungan broked, batik, sutera, renda dan songket. Sementara warna 2018 pula dipilih mengikut trend semasa yang bersifat berani dan vintaj,” katanya.

KONSEP minimalis sesuai untuk wanita moden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 10:55 AM