BUBUR lambuk diedar kepada orang ramai di stesen LRT.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Hari Susu Sedunia yang disambut pada 1 Jun ketika Ramadan tahun ini menggamit Fonterra Brands Malaysia memperingati dua peristiwa penting itu dengan berkongsi kebaikan susu bersama masyarakat yang memerlukan.

Syarikat pemakanan produk tenusu dari New Zealand itu mengedarkan 500 hidangan bubur lambuk yang diperkaya susu keluaran syarikat dan pek iftar yang diisi dengan produk tenusu di Surau As Sahabah, Kota Damansara.

Syarikat ini juga menyumbang 60 kilogram susu tepung Fernleaf dan Anlene kepada dua rumah kebajikan untuk bekalan kanak-kanak dan orang kurang upaya, Agathians Shelter dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan OKU Mesra serta mengagihkan lebih 1,000 pek susu UHT Fernleaf di stesen LRT di Kuala Lumpur.

Hari Susu Sedunia adalah inisiatif anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian, sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disambut di serata dunia dan mengiktiraf betapa pentingnya susu dan produk tenusu sebagai sumber pemakanan bagi jutaan orang di seluruh dunia.

Pengarah Pembangunan Produk Baharu, Hal Ehwal Saintifik dan Undang-Undang Fonterra Brands Malaysia Megawati Suzari berkata, syarikat itu berbesar hati kerana dapat menyambut Hari Susu Sedunia dan Ramadan dengan menganjurkan beberapa aktiviti yang bertumpu kepada usaha menyokong kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.


MEGAWATI (kiri) membantu mengacau bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, syarikat itu yakin terhadap usaha memperkaya kehidupan insan dan masyarakat dan mahu mengambil keberkatan Ramadan dan meraikan Hari Susu Sedunia dengan membekalkan produk tenusu kepada insan yang mungkin tidak dapat menikmatinya sebagai sebahagian daripada diet harian mereka.

“Sebagai pembekal pemakanan tenusu di Malaysia, kami menggalakkan semua orang untuk menambah pengambilan susu kerana diet yang seimbang dan sihat penting bagi mengekalkan tenaga dan menjaga kesihatan badan, terutama ketika Ramadan.

“Susu mengandungi pelbagai nutrien penting seperti protein, kalsium, kalium, vitamin B yang boleh mengekalkan tahap tenaga dan menggantikan nutrien yang hilang sepanjang hari berpuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Surau As Sahabah Abdul Razak Mohd Isa berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih dengan kesudian syarikat itu untuk menyediakan bubur lambuk dan pek iftar, sekali gus membekalkan mereka dengan khasiat pemakanan yang sewajarnya sebagai sumber tenaga badan.


SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menerima susu disumbangkan syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 2:16 PM