TAWAR busana pada saiz seawal usia bayi baru lahir sehingga saiz 4 tahun.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Jika ditanya kepada mana-mana ibu bapa, tentu saja memberikan jawapan sama dalam aspek pemilihan busana buat si kecil tersayang. Keselesaan dan comel digayakan antara dua aspek terpenting.

Memandangkan si kecil yang sentiasa aktif, fabrik busana perlu sesuai bagi memastikan golongan itu selesa walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Memahami setiap kehendak ibu bapa dalam memilih busana anak, jenama ArianaSophia tampil dengan pelbagai koleksi busana yang mengambil kira semua aspek diperlukan pada sehelai busana bayi juga kanak-kanak.

Pengasasnya Izzati Zainal berkata, pengalaman sendiri bergelar seorang ibu membuatkan dia tahu ciri yang perlu ada pada busana kanak-kanak terutama bagi memastikan keselesaan kekal sepanjang masa.

“Bermula 2016, saya mula menghasilkan beberapa rekaan terawal dengan menggunakan rona ceria sesuai untuk kanak-kanak, selain bermain dengan warna saya juga menggunakan fabrik yang berkualiti untuk memastikan si kecil tidak rimas.

“Antara koleksi busana yang dihasilkan adalah Saloma Pair, Selena Pair, Cora Pair, Monroe Pair, Cora Pair untuk kanak-kanak perempuan manakala Malik dan Eusoff Pair untuk kanak-kanak lelaki. Semua koleksi ini direka dengan rekaan menarik seiring dengan peredaran masa,” katanya.

Menurut Izzati, bukan saja untuk kanak-kanak, pihaknya juga menawarkan busana pada saiz seawal usia bayi yang baru dilahirkan sehingga ke saiz empat tahun.

“Dari segi harga, semua koleksi dijual bermula harga RM80 hingga RM160 bergantung kepada rekaan juga fabrik digunakan. Kami memberi jaminan keselesaan untuk setiap koleksi ini.

“Semua koleksi ini bukan saja dijual pada musim perayaan kerana ia juga sesuai digayakan pada hujung minggu terutama ketika menghadiri jemputan majlis tertentu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 11:24 AM