TUDUNG inovasi boleh diterbalikkan dan dipakai kedua-dua bahagian.
Yusliza Yakmir Abd Talib

Penampilan wanita berhijab ketika bersukan bukan senario asing dalam masyarakat di negara ini malah atas kesedaran terhadap pentingnya melakukan aktiviti kecergasan, mereka kini semakin berkeyakinan untuk bersukan tidak kira di mana saja.

Bagaimanapun, pemilihan tudung dan pakaian sukan bersesuaian mungkin menjadi masalah buat mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas di negara ini.

Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana peluh tidak dapat diserap dengan baik jika memilih fabrik tidak bersesuaian hingga menimbulkan ketidakselesaan.

Menyedari kebimbangan itu, jenama pakaian sukan, FITscarf & Co mengeluarkan koleksi terkini tudung sukan yang memberi keselesaan menyeluruh menggunakan material serap peluh dan sejuk.

Menariknya, siri FitScarf Verso itu juga didatangkan dengan inovasi membolehkan kedua-dua bahagian luar dan dalam tudung digayakan dengan rona warna berbeza, sekali gus memberi kelebihan buat pemakai.

Pengasasnya, Tara Malek dan Natasha Zainal berkata, koleksi ini didatangkan dengan tiga warna iaitu kelabu, merah serta biru yang bukan saja sesuai untuk bersukan malah dipakai untuk sebarang acara kerana rekaannya tampak elegan.

Material mikro fiber khusus untuk aktiviti bersukan yang digunakan juga membuatkan hijab itu cepat meresap dan menyejat peluh selain cepat kering, tidak berbau serta ringan.

“Bagi setiap warna, sebelah lagi bahagian mempunyai warna yang agak gelap daripada warna asal boleh diterbalikkan untuk dipakai dan ia penjimatan berganda untuk pelanggan.

“Didatangkan dengan satu saiz tapi bahagian bawah dagu yang boleh diregang dengan selesa membolehkan ia muat untuk semua saiz muka,” katanya.

Jenama itu turut menghasilkan koleksi baju sukan FITWear Dri Lite Top untuk memberi keselesaan ketika beriadah dan bersukan khusus buat wanita Muslimah yang mementingkan pakaian labuh.

Rekaan baju yang lebih labuh di bahagian belakang untuk menutup punggung selain lengan panjang selesa dengan rekaan lubang jari.


BAJU sukan labuh dan selesa untuk Muslimah bebas beriadah.

Koleksi itu juga sesuai untuk mereka yang bertubuh kecil mahupun besar kerana saiz didatangkan bermula daripada S hingga 3XL sementara terdapat lima warna menarik boleh dipilih iaitu biru, kelabu, jingga, teal dan merah hati.

Tidak lengkap aktiviti sukan tanpa seluar sesuai dan selesa. Jenama ini turut mengetengahkan koleksi seluar sukan FITWear Active Pants menggunakan material mikro fiber yang menyerap peluh, ringan, sejuk dan cepat kering.

Dengan potongan pada bahagian pinggang elastik membolehkan si pemakai berasa selesa, seluar ini juga sesuai dipakai ketika bersenam dan bersukan, kasual dan juga sesuai untuk sukan air. Saiz bermula daripada S hingga 3XL.


BAJU sukan labuh dan selesa untuk Muslimah bebas beriadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 12:50 PM