CHEN (kiri) mengukur saiz tuntung di Galeri Tuntung, Kampung Pasir Gajah.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

Penerima Anugerah Commonwealth Point of Light, Dr Chen Pelf Nyok, 37, tersenyum tatkala ditanya mengenai gelaran Mek Tuntung yang diberikan penduduk kampung kepadanya.

Tidak timbul rasa kurang selesa apabila digelar Mek Tuntung, sebaliknya ibu kepada seorang cahaya mata ini lebih selesa kerana panggilan itu membuatkan beliau dekat dengan penduduk kampung di Kampung Pasir Gajah, Kemaman.

Menurut Chen, nama panggilan itu diberikan ketika beliau mula memasuki kampung berkenaan untuk melakukan penyelidikan mengenai tuntung pada 2011.

“Ketika itu, saya belum lagi bergelar Dr (doktor falsafah) namun penduduk di situ lebih selesa memanggil saya ‘Mek’, nama panggilan untuk wanita di Terengganu.

“Namun, lama-kelamaan, mereka mula memanggil saya sebagai Mek Tuntung bagi membezakan saya dengan wanita lain dan nama itu kekal sampai sekarang. Bagi saya, gelaran itu tidak penting kerana apa gunanya gelaran jika ia menjarakkan hubungan saya dengan mereka.

“Mereka di sini melayan saya seperti keluarga sehinggakan saya turut dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga,” katanya sambil tersenyum.


TEKNIK penjagaan tuntung turut dikongsi Chen.

Chen menerima Anugerah Commonwealth Point of Light dari Ratu Elizabeth II pada 2 Julai lalu hasil usahanya melindungi spesies tuntung dengan kerjasama kerajaan dan masyarakat setempat.

Anugerah berkenaan diberikan kepada seorang penerima daripada 53 negara anggota Komanwel sebagai menghargai kerja sukarela yang dilakukan di mana Chen adalah rakyat Malaysia kedua menerima pengiktirafan ini.

Chen juga adalah individu pertama yang melanjutkan pengajian dalam bidang penyelidikan tuntung dan kura-kura di Malaysia.

Menurut Chen, beliau tidak menyangka usahanya itu mendapat pengiktirafan kerana apa yang dilakukan atas dasar minat dan sayang kepada tuntung yang diancam kepupusan.

“Sejak kecil, saya memang suka melihat tuntung dan minat terhadap haiwan ini semakin mendalam sebaik saja saya menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 2004 sebelum meneruskan pengajian sarjana dalam bidang Biodiversiti dan Pemuliharaan di universiti sama pada 2008.

“Ketika melakukan penyelidikan, saya menemui tuntung sungai di Sungai Kemaman dan semakin lama kajian dibuat, saya sedar usaha pemuliharaan perlu dilakukan segera sebelum spesies ini diancam kepupusan.

“Saya kemudian bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan penduduk kampung dari Kampung Pasir Gajah, Kampung Tok Kapor dan Kampung Dadong dalam projek pemuliharaan tuntung sungai,” katanya.


ANTARA jenis tuntung yang dikenal pasti.

Chen yang juga Pengasas Bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia berkata, apa yang dilakukan semata-mata mahu memulihara tuntung, penyu dan kura-kura daripada turut diancam kepupusan bagi memastikan generasi akan datang dapat melihat sendiri spesies ini dan bukannya hanya berdasarkan gambar semata-mata.

“Saya tidak mengharapkan pengiktirafan, tetapi ia dilakukan sebagai tanggungjawab dan apabila dipilih, saya bangga kerana kerja-kerja yang dilakukan membuka mata pihak antarabangsa.

“Saya harap anugerah ini bukan hanya dapat menaikkan semangat saya untuk bekerja lebih keras namun dapat menarik masyarakat terutama golongan muda untuk bersama-sama melindungi spesies ini.

“Anugerah ini bukan untuk saya, tetapi semua pihak yang sentiasa bersama saya dengan matlamat sama mahu melindungi spesies tuntung, penyu dan kura-kura terutama tuntung,” katanya.

Menurut Chen, selain kerjasama daripada kerajaan dan penduduk setempat, biasiswa daripada CIMB Foundatian Regional Scholarship yang diterimanya pada 2011 untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang zoologi di Universiti Kebangsaan Malaysia juga membantunya merealisasikan penyelidikannya.

“Selain CIMB dan kerajaan, penduduk setempat banyak memainkan peranan membantu saya. Bayangkan, usaha saya melindungi spesies ini tidak mungkin tercapai sekiranya penduduk kampung tidak memberi kerjasama.

“Mereka bukan sahaja menerima kehadiran saya di kampung ini, tetapi menyokong usaha yang saya lakukan kerana ia bukan hanya dapat menyelamatkan tuntung, tetapi sedikit sebanyak mampu memperkenalkan daerah Kemaman khususnya Kampung Pasir Gajah sebagai pusat konservasi tuntung,” katanya yang menamatkan pengajian PhD pada September tahun lalu.


CHEN melepaskan tuntung di Pusat Penetasan Tuntung, Kampung Pasir Gajah.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Chen berkata, beliau akan melakukan kajian sama di sungai di Pahang pada tahun depan yang dikatakan turut mempunyai spesies sama.

“Jika wujud spesies tuntung di sana, saya berharap untuk membuka sebuah lagi pusat konservasi bagi melindungi haiwan terancam ini.

“Mengenai pusat konservasi sedia ada di Kemaman pula, saya harap ia dapat menarik perhatian luar sebagai tempat pembelajaran dan lokasi wajib dikunjungi jika berada di daerah ini,” katanya.

Penduduk kampung, Badrulhisyam Jusoh berkata, usaha dilakukan Chen seharusnya mendapat pujian dan menjadi contoh.

“Sebagai penduduk Kampung Pasir Gajah, saya bangga apabila ada orang luar sanggup datang dan menjadi sebahagian daripada kami hanya untuk melindungi spesies tuntung daripada diancam kepupusan.

“Kehadirannya sedikit sebanyak dapat mendidik penduduk setempat mengenai perlunya usaha untuk menyelamatkan spesies itu kerana sebelum ini penduduk biasanya memakan atau menjual telur tuntung,” katanya.

Bagi Zainabon Musa, 46, idea Chen menubuhkan pusat konservasi di Kampung Pasir Gajah tepat pada masanya kerana populasi tuntung yang semakin pupus.

“Kewujudan pusat itu bukan hanya misi menyelamatkan tuntung malah ia membuatkan kampung kami dikenali dan sedikit sebanyak dapat menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.


CHEN bersama salah satu rangka tuntung di Galeri Tuntung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 3:15 PM