BERKONGSI cerita mampu kurangkan tekanan.
BERKONGSI cerita mampu kurangkan tekanan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Pasangan mana yang tidak gembira saat mengetahui bakal menjadi ibu bapa malah perasaan bahagia itu terus mekar sehinggalah permata hati menjengah dunia.

Namun, tempoh selepas bersalin juga mempunyai sisi hitamnya yang mungkin tidak pernah dijangkakan iaitu kemurungan.

Maka tidak hairan apabila kita dikejutkan dengan berita seorang wanita yang dipercayai mengelar bayinya sehingga mati selepas mendengar ‘bisikan’ untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Begitu juga pelbagai kes meroyan membabitkan wanita baru bersalin hingga ada yang membunuh diri kerana dikatakan tidak berjaya menyusukan anaknya.

Mungkin tidak ramai tahu, segelintir ibu baru juga boleh berdepan keletihan yang membuatkan mereka tertekan, sedih dan lebih teruk, mengalami kemurungan.

Pendek kata, rata-rata wanita ini mengalami perubahan emosi selepas mendapat anak. Sesaat gembira dan sesaat kemudian mereka mula menangis.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia 2016, 12.7 peratus dari 850 responden didapati positif mengalami kemurungan selepas bersalin.

Pengalaman itu turut dirasai ibu muda, Sheryl Ho selepas dua minggu melahirkan putera sulungnya, Iskandar Adam Ho.

Meskipun kehadiran si kecil itu memang ditunggu-tunggu, fikirannya mula terganggu apabila terlalu penat menjaga bayi apatah lagi Iskandar sering mengalami masalah kembung dan menangis tanpa henti (kolik).

Tanpa mengetahui puncanya, Sheryl berasakan dirinya tidak berguna kerana gagal menjadi ibu yang baik. Dia juga terlalu bimbang hendak menceritakan masalahnya itu kepada orang lain dan akhirnya dipendam seorang diri.

Wanita berusia 31 tahun ini mula kemurungan, hampir setiap hari dan malam dia menangis, hingga membuatkan keluarganya bimbang.

Masalah yang dihidapi bukanlah kes terpencil kerana ramai ibu yang mengalami masalah kemurungan selepas bersalin sama ada mendapatkan bantuan pakar atau tidak.

Dia beruntung kerana orang yang paling rapat dengannya iaitu suami menyedari kelainan pada dirinya berusaha membantu menangani masalah itu.

“Saya rasa amat takut untuk meminta bantuan walaupun ibu dan ibu mentua sentiasa ada bersama sepanjang tempoh berpantang, malah mereka sering bertanya apa yang saya perlukan.

“Saya malu untuk berkongsi apa yang dirasai kerana berasakan saya seorang ibu yang teruk dan tidak mampu memikul tugas sebagai ibu Iskandar yang sempurna. Jadi saya katakan kepada mereka saya tiada masalah, semuanya saya boleh lakukan sendiri.

“Hakikatnya, saya tersilap. Saya membiarkan stigma ibu perlu lakukan semuanya sendiri, mesti menjadi wanita serba boleh dan anda ibu yang teruk jika tidak memberikan susu badan kepada bayi menguasai fikiran saya yang akhirnya membuat saya tertekan,” katanya.

SHERYL
SHERYL

Menurut Sheryl, keadaan Iskandar pada dua minggu pertama amat memberi tekanan kerana bayinya itu mengalami masalah kembung dan menangis tanpa henti.

Katanya, Adam menangis berterusan antara jam 2 hingga 5 pagi setiap hari. Ketika itulah dia mengalami masalah tidur dan kepenatan hingga membawa kemurungan.

“Suami mahu membantu, sebaliknya saya meminta dia tidur di bilik lain agar tidurnya tidak terganggu kerana tangisan anak. Pada saat ini saya berasakan saya bukanlah ibu yang baik kerana tidak mampu mententeramkan Iskandar. Mujurlah suami berkeras mahu ada bersama dan membantu saya menjaga anak kami.

“Entah mengapa, saya rasa mahu lakukan semuanya sendiri. Hampir setiap hari saya menangis, saya tidak salahkan suami dan anak cuma ketika itu amat bencikan diri sendiri.

“Apabila ramai yang berkata Iskandar tidak sepatutnya mengalami masalah kolik atau kembung kerana diberikan susu badan, saya rasa lebih tertekan. Jujur saya katakan, komen sebegitu langsung tidak membantu malah memburukkan lagi masalah. Selepas Iskandar semakin membesar, keadaan saya makin pulih dengan dorongan suami dan keluarga,” katanya yang ditemui pada sesi perkongsian sempena Hari Bayi Tollyjoy bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental ibu dan anak anjuran bersama Tollyjoy Corporation dan OrphanCARE Foundation.

Risiko sentiasa ada

Pakar Psikologi Klinikal KIN & KiDS Jessie Foo berkata, kemurungan selepas bersalin adalah keadaan yang dikaitkan dengan perubahan kimia, sosial dan psikologi berikutan kelahiran bayi.

Katanya, walaupun punca sebenarnya masih tidak diketahui, keadaan ini boleh muncul dalam pelbagai simptom termasuk berasa sedih, mudah marah, mengasingkan diri daripada orang tersayang, berasa terpisah dari bayi, meragui kebolehan diri untuk menjaga bayi atau berasa bersalah kerana tidak menjadi seorang ibu yang baik.

“Kemurungan selepas bersalin tidak semestinya berlaku sebaik selepas bersalin mahupun dengan kelahiran anak sulung. Simptom boleh muncul secara beransur-ansur dalam tempoh setahun pertama atau selepas melahirkan anak kedua atau ketiga.

“Ia juga keadaan yang susah untuk dikenal pasti kerana sesetengah ibu masih dapat menjaga bayi mereka walaupun mengalami kemurungan selepas bersalin.

“Lebih-lebih lagi, keadaan ini ada stigma tersendiri. Ia menyebabkan ramai ibu tidak mahu mendapatkan rawatan yang betul akibat takut dipandang serong.

“Ini boleh mengakibatkan keadaan berlanjutan atau menjadi lebih teruk sehingga boleh memberi kesan kepada hubungan di antara ibu dan anak, di samping ahli keluarga yang lain,” katanya.

JESSIE
JESSIE

Kata Jessie, jenis kemurungan selepas bersalin yang lebih teruk mungkin akan mengganggu kebolehan si ibu untuk berfungsi dengan betul, lalu mengakibatkan pengabaian dan menyebabkan tekanan pada si bayi.

Si bayi pula akan berasa terabai, lantas menyebabkan tangisan berpanjangan dan hubungan fizikal yang berkurangan di antara ibu dan anak.

“Tekanan pada peringkat bayi dan permulaan zaman kanak-kanak juga boleh meninggalkan kesan jangka panjang pada pembesaran anak sehingga mereka dewasa.

“Banyak kajian menunjukkan kaitan antara ikatan ibu-anak yang penuh kasih sayang dan perkembangan sihat emosi, sosial dan kognitif anak terutama dalam dua tahun pertama kehidupannya.

“Oleh itu, persekitaran selamat, stabil dan penuh kasih sayang yang dibentuk sejak dari kecil akan banyak membantu dalam membentuk masa depan si kecil anda dan membuka peluang untuk kejayaan kemudian dalam hidup,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Tollyjoy Corporation Grace Ng berkata, program itu memberi tumpuan kepada kepentingan dalam memastikan kesihatan mental yang bagus bagi ibu dan bayi mereka.

Menurutnya, ibu bapa perlu memahami cabaran yang mungkin dihadapi oleh sesetengah ibu dan juga sokongan yang diperlukan, terutamanya jika mereka sedang mengalami kemurungan selepas bersalin.

“Membantu ibu menghadapi cabaran ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran yang lebih stabil dan gembira supaya bayi boleh membesar dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 2:53 PM