HOFBAUER bergambar dengan peserta berpenampilan unik.
Intan Mas Ayu Shahimi

Gaya hidup aktif masyarakat negara ini cukup sinonim dengan pengambilan Milo. Tidak kira dari umur kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah ke warga emas, minuman malt coklat sering menjadi pilihan untuk melengkapkan sarapan berkhasiat setiap hari.

Meraikan kemuncak Hari Sarapan Malaysia Milo 2018 baru-baru ini, lebih 88,000 penggemar Milo sepakat mengambil bahagian dalam larian di seluruh negara. Mereka bukan saja menyampaikan mesej mengenai pentingnya sarapan yang sihat dan amalan gaya hidup aktif, malah turut menyuarakan hak keluarga kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle (Malaysia) Berhad, Alois Hofbauer berkata, pihaknya gembira dengan sambutan memberangsangkan di Kuching, Kota Kinabalu, Kuantan, Penang, Johor Bahru dan Kota Bharu.

“Lebih membanggakan, acara kemuncak dua hari di Putrajaya turut menyaksikan penyertaan hebat dengan 46,000 peserta. Mereka ini datang untuk acara larian santai bagi dua kategori berbeza iaitu lima dan tiga kilometer (km),” katanya.

Jelas Hofbauer, larian Hari Sarapan Malaysia Milo kini sudah memasuki tahun keenam penganjurannya dan tahun ini ia kembali dengan satu misi mulia.

“Bagi jualan setiap tiket acara larian di tujuh lokasi kempen ini, sebanyak lima ringgit akan disalurkan kepada penajaan sarapan bagi keluarga yang kurang bernasib baik di seluruh tanah air.

“Kami akan menggunakan RM300,000 yang dikumpul untuk membekalkan sarapan melalui gandingan Food Aid Foundation, sebuah organisasi bukan kerajaan tempatan,” katanya.


SEBAHAGIAN sebelum memulakan larian.

Jelasnya, kempen tahun ini adalah yang terbesar sejak diperkenalkan dan pihaknya begitu teruja menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan rakyat Malaysia yang tidak henti menyokong misi mulia berkenaan.

“Kami percaya bahawa manfaat sarapan yang seimbang dan berkhasiat harus dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Gandingan Milo dengan Food Aid Foundation adalah lanjutan komitmen kami untuk meningkatkan mutu kehidupan serta melakar masa depan yang lebih sihat bagi semua rakyat Malaysia.

“Justeru, kami berharap dana yang dikumpul ini nanti dapat membantu meningkatkan sedikit sebanyak mutu kehidupan keluarga memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Food Aid Foundation yang hadir menerima derma sarapan Milo, Rick Chee berkata, beliau terharu menyaksikan begitu ramai keluarga dan rakan menikmati detik bermakna sambil beramal.

“Food Aid Foundation berbesar hati untuk bekerjasama dengan Milo dalam membentuk inisiatif mulia sebegini di seluruh negara. Menerusi penyertaan dalam larian, peserta secara tidak langsung berpeluang beramal dan membantu membekalkan sarapan berkhasiat kepada ramai keluarga memerlukan di seluruh Malaysia.

“Ini bersesuaian dengan misi Milo yang mahu terus menerajui kepentingan sarapan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dengan memberikan permulaan hebat untuk menakluki hari.

“Lagipun kajian menunjukkan badan manusia kehilangan lebih kurang 80 peratus tenaga semasa tidur semalaman. Ini membuktikan betapa pentingnya kita menggantikan semula tenaga yang hilang dengan sarapan untuk kekal aktif dan cergas sepanjang hari,” katanya.


AKTIVITI menarik sepanjang acara kemuncak.

Pendapat sama dipersetujui Pengurus Nutrisi Korporat Kumpulan, Nestlè Products Sdn Bhd, Wong Mei Ching. Katanya, trend meninggalkan sarapan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan.

“Apabila sarapan dilupakan, bermaksud mereka gagal mengganti semula tenaga harian yang sudah digunakan. Tiada ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak ke sekolah dengan hanya 20 peratus tenaga kerana bimbang mereka mungkin tidak mampu bertahan sepanjang hari.

“Setiap individu sepatutnya mempunyai akses kepada sarapan yang sihat dan seimbang disertakan dengan secawan Milo. Minuman malt coklat dengan Activ-Go ini mengandungi kebaikan semula jadi malt, susu, dan koko. Kombinasi unik Protomalt, pelbagai vitamin dan mineral membantu membebaskan tenaga secara efisyen daripada makanan,” katanya.

Selain acara larian, peserta aktiviti kemuncak juga dibekalkan dengan sarapan yang sihat dan Milo. Mereka turut berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menghiburkan termasuk persembahan parkour, pertandingan futsal dan sebagainya. Masterchef Malaysia, Brian Chen, kemudian berkongsi kaedah paling mudah menyediakan sarapan sihat.

Sejak 2013, Hari Sarapan Malaysia Milo dianjurkan setiap tahun untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan tabiat sarapan yang lebih sihat dan gaya hidup yang lebih aktif. Inisiatif sarapan ini adalah sebahagian usaha pergerakan Aktif Negaraku yang bermatlamat membantu lima juta rakyat Malaysia memulakan gaya hidup aktif.


PESERTA bersama medal larian Hari Sarapan Malaysia Milo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 3:17 PM