HIDAYATI sentiasa positif.
Siti Nadirah Hafidzin

Bentuk badan sempurna dan kulit wajah putih bersih, itu antara jawapan paling sinonim apabila ditanyakan mengenai istilah cantik.

Ternyata dua jawapan itu tidak dapat melambangkan kecantikan sebenar wanita kerana hakikatnya definisi cantik itu amat luas.

Siapa kata wanita yang memiliki tubuh bersaiz besar tidak cantik? Atau wanita yang berkulit hitam manis itu hodoh? Ini kerana sekiranya tepat gaya solekan dan bijak menyesuaikannya dengan busana pasti penampilan lebih menyerlah dan menyenangkan.

Penampilan harian yang menawan memberikan aura luar biasa yang dapat meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang.

Ketepikan isu bentuk badan kerana keyakinan diri itu adalah elemen yang lebih penting dalam mengharungi kehidupan dan cabaran bagi setiap wanita.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, Hidayati Aziz berkata, setiap individu mempunyai pandangan masing-masing dalam memperincikan makna cantik.

“Istilah ‘Beauty With Brain’ (si jelita yang bijak) lebih diperlukan oleh wanita era kini memandangkan segala perkara memerlukan ilmu. Atas faktor itu juga wanita kini bukan hanya perlu tampil cantik, malah perlu sentiasa menonjolkan diri dengan personaliti yang hebat dan berfikiran matang.

“Namun tidak dinafikan, sehingga ke hari ini bentuk tubuh masih menjadi antara ciri yang dinilai masyarakat menyebabkan ramai wanita berbadan besar berasakan kekurangan hingga hilang keyakinan berdepan dengan khalayak,” katanya.

Hidayati yang kini dalam proses menurunkan berat badannya berkata, pada pandangannya, kesihatan adalah perkara paling penting berbanding kecantikan.

“Bagi saya, sihat itu cantik dan keyakinan diri juga cantik. Paling penting perlu yakin dengan diri sendiri dan kecantikan dalaman itu akan terserlah secara semula jadi.

“Tidak ada gunanya berwajah cantik, bentuk badan persis model tetapi tidak mempunyai keyakinan ketika berdepan khalayak. Inilah yang perlu diberi lebih penekanan kerana setiap hari kita akan bertemu dan berurusan dengan ramai orang,” katanya.

Ditanya mengapa mahu menurunkan berat badan, Hidayati berkata, usaha itu dilakukan demi kesihatan dirinya.

“Saya mahu turunkan berat bukan semata-mata hendak tampil cantik tetapi lebih kepada kesihatan diri supaya sentiasa dalam keadaan terbaik.

“Saya percaya selepas berjaya menurunkan berat badan, saya akan bertambah yakin dan gembira,” ujarnya.

Positif dalam kehidupan

Hidayati berkata, selain keyakinan, sikap positif amat diperlukan dalam mengharungi liku kehidupan.

“Positif dan sentiasa gembira, jangan suka rumitkan keadaan, nikmati kehidupan dan jangan rasa rendah diri walaupun berbadan besar.

“Itu yang saya cuba lakukan. Syukur saya dikelilingi keluarga dan rakan yang sentiasa berada di sisi tidak kira di saat susah atau senang,” katanya.


HIDAYATI gembira dengan kehidupannya.

Menurutnya, demi kesihatan, dia berjaya menurunkan 20 kilogram (kg) daripada berat badan asalnya dalam tempoh empat bulan.

“Sebelum ini berat badan saya adalah 172kg dan kini sekitar 152kg. Bukan mudah sebenarnya namun saya tekad untuk memastikan saya kekal sihat.

“Ramai yang bertanya, adakah saya cuba turunkan berat badan ini semata-mata untuk cantik. Wanita gemuk juga cantik, tetapi dalam kes saya kegemukan menyukarkan pergerakan dan boleh menyebabkan tahap kesihatan merosot. Saya mahu menjadi individu yang cergas dan sihat,” ujarnya.

Menurut Hidayati, seiring peredaran masa kini, masyarakat semakin bijak dalam menilai istilah cantik.

“Ramai yang tidak lagi memandang wajah atau bentuk badan semata-mata kerana keyakinan serta personaliti diri lebih penting daripada itu. Namun bohonglah jika saya katakan wanita tidak kesah langsung dengan penampilan diri kerana walau apa juga keadaan, mereka tentu saja ingin tampil cantik.

“Cuma yang membezakan adalah tampil cantik dengan cara tersendiri iaitu keyakinan diri terutama ketika berdepan khalayak,” katanya.

Panduan bergaya untuk si tubuh comel

• Pilih busana sesuai

Selain keyakinan diri, aspek pemilihan busana amat penting dalam menonjolkan imej yang baik dan menutup kekurangan. Jangan sesekali memakai baju yang terlalu longgar atau ketat. Baju yang longgar akan menampakkan tubuh anda lebih besar. Oleh itu, pilihlah yang sesuai dengan tubuh.

• Gunakan rona gelap

Warna menjadi elemen penting untuk mengalihkan pandangan insan di sekeliling. Warna gelap memberi ilusi lebih kecil, tetapi jangan hadkan pemilihan kepada warna hitam saja. Hijau zamrud, biru tentera laut, merah hati, ungu manggis dan oren mustard juga dikategorikan dalam warna gelap.

• Bersikap lebih menonjol

Hakikatnya, individu berbadan besar memang lebih menonjol dan mendapat perhatian. Jadi ambil peluang ini untuk ‘mengeluarkan’ nilai positif dalam diri anda. Sentiasa amalkan sikap positif, riang dan mudah mesra dengan semua orang bagi mencerminkan personaliti anda yang menarik dan disenangi.

• Yakin anda juga cantik

Istilah cantik itu sangat luas dan subjektif. Tiada manusia yang dilahirkan tidak cantik kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri yang tidak harus diukur daripada sudut fizikal semata-mata. Wanita yang cantik adalah wanita yang selesa dan yakin dengan dirinya sendiri.

• Gunakan solekan sesuai

Tidak perlu keterlaluan dan cukup sekadar mengenakan solekan asas yang ringkas, ia juga dapat membantu menyerlahkan lagi penampilan diri. Tidak kiralah anda memiliki tubuh bersaiz besar atau sebaliknya, aspek solekan juga membantu anda tampil cantik dan sedap mata memandang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 3:16 PM