PUSAT dialisis NKF membantu ramai pesakit tidak berkemampuan menjalani dialisis.
Yusliza Yakimir Abd Talib

“Doktor, kedua-kedua buah pinggang saya tidak berfungsi lagi. Adakah ini bermakna saya perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu, dengan setiap sesi selama empat jam sepanjang hidup saya?”

Berkali-kali wanita ini cuba menerima hakikat dirinya terpaksa berdepan saat getir sebagai penghidap penyakit kegagalan buah pinggang pada usianya baru mencecah 21 tahun.

Kepada doktor yang merawatnya ketika dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 14 tahun lalu juga diajukan soalan sama. Dia tidak jemu bertanya ada akan pulih jika menerima buah pinggang sihat yang didermakan atau wujudnya kemajuan teknologi terkini sains perubatan yang membolehkannya hidup aktif seperti dulu.

Namun jawapan yang diterima sedikit menghampakan. Seakan-akan gelap dunianya, wanita muda itu terpaksa akur pada takdir dirinya sebagai pesakit buah pinggang kronik.

Mengimbas detik pahit yang menimpanya, V Vanitha berkata, dia dibawa ke pusat perubatan berkenaan atas rujukan segera oleh kumpulan perubatan di Klang selepas menjalani rawatan kerana muntah berterusan, cirit-birit dan hilang selera makan.

Dua minggu sebelum dirujuk ke pusat perubatan itu, dia dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk pemerhatian selepas menunjukkan tanda penyakit yang sama selama seminggu untuk rawatan dan pemerhatian sebelum dibenarkan keluar wad.


VANITHA menjalani rawatan dialisis tiga kali setiap minggu.

Malang baginya, rawatan dialisis banyak menghabiskan waktu bekerjanya sebagai operator di syarikat Jepun di Shah Alam sedangkan sejak berkhidmat di situ sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2000, dia jarang mengambil cuti sakit.

Akhirnya, selepas mengambil cuti perubatan untuk diagnosis kegagalan buah pinggang dan dialisis dia terpaksa berhenti kerja.

“Ketika itu, saya menjalani rawatan dialisis di PPUM dan pada masa sama pusat perubatan itu menasihatkan keluarga saya mencari pusat dialisis yang mengenakan bayaran lebih rendah.

“Bapa saudara yang membantu membayar untuk dialisis dan ubat-ubatan berjaya mendapatkan bantuan kewangan untuk saya dari sebuah yayasan keagamaan.

“Kemudian selepas beberapa bulan saya berjaya mendapatkan pencen ilat di bawah organisasi keselamatan sosial, PERKESO untuk membayar rawatan dialisis,” katanya.

Menurutnya, dalam usahanya mencari pusat dialisis, terdapat kekosongan di Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) - Bakti (Klang) berhampiran tempat tinggalnya.


AMALAN hidup sihat dan bersenam mencegah penyakit buah pinggang.

Katanya, dia amat menghargai NKF yang memberikan rawatan bertaraf tinggi selain mewujudkan hubungan yang selesa dan rapat dalam kalangan bukan saja pesakit tetapi juga kakitangannya sendiri.

Peluang itu katanya, memberi sinar dan harapan baru untuknya meneruskan hidup dengan ceria dan positif di samping rawatan dialisis yang perlu dijalani setiap minggu.

Sehingga kini, Vanitha yang masih bujang menetap bersama adik perempuannya dan suami serta tiga anak mereka di Taman Sentosa, Klang.

Wanita itu juga menolak tawaran ibunya yang mahu menderma satu buah pinggang untuknya walaupun terdapat padanan dalam sistem tubuhnya bagi pembedahan pemindahan organ.

“Saya tidak sanggup melihat ibu menderita selepas menjalani pembedahan. Bagaimanapun, saya sedia menerima buah pinggang yang sepadan daripada penderma yang bukan dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri.

“Saya kini meneruskan rutin dialisis seperti biasa dan apabila tiada sesi itu, saya gemar membantu adik saya memasak di samping menonton televisyen ketika lapang.

“Untuk aktiviti ringan, saya gemar berbasikal di taman berdekatan kawasan perumahan. Saya menikmati setiap hari mendatang dengan penuh kesyukuran walau dalam keadaan ini,” katanya.


PEMERIKSAAN kesihatan berkala untuk mengetahui tanda awal penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 3:09 PM