ANTARA tarian yang menghangatkan acara.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Bertenaga dan meriah. Itu suasana dirasai lebih 700 peserta dalam acara tarian kecergasan Funky Fit Fever (FFF) 3.0 di Stadium MABA, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selama lebih dua jam, setiap lenggok tarian seperti zumba, hip hop, salsation dan U-jam diketuai jurulatih tarian di pentas acara diikuti peserta dengan penuh bersemangat dan keseronokan.

Tidak sedar masa berlalu pantas, rata-rata peserta berpuas hati dapat mengeluarkan peluh malah semakin teruja untuk mengekalkan gaya hidup sihat dengan senaman berbentuk tarian.

Pengarah Urusan Funky Fresh Entertainment Network Siti Hadzrah Abd Rahim berkata, aktiviti tarian untuk kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, program itu diadakan khusus untuk mempromosi kesihatan dan kecergasan melalui tarian.

Katanya, tarian bukan saja dapat menjadikan regim senaman yang menarik malah memupuk budaya hidup sihat saat negara berdepan kadar rakyat mengalami obesiti yang semakin meningkat setiap tahun.

“Diiringi muzik rancak, tarian boleh dilakukan dengan lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung menjadikan regim senaman tidak lagi membosankan apatah lagi apabila jika disertai rakan dan ahli keluarga.

“Aktiviti kecergasan menjadi keutamaan dalam membentuk masyarakat sihat selain teknik senaman berubah dari semasa ke semasa,” katanya.


PESERTA tekun mengikut gerak tari jurulatih.

Siti Hadzrah berkata, pihaknya mengetengahkan beberapa jurulatih tarian terkemuka dari seluruh negara bagi menjayakan FFF 3.0.

Menurutnya, semua jurulatih itu mempunyai kemahiran tersendiri dalam setiap rutin tarian selain memiliki jumlah pengikut yang ramai.

“Kami juga tidak melupakan mereka yang memerlukan dengan menyalurkan sebahagian daripada kutipan tiket FFF 3.0 kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM),” katanya.

Seorang peserta, Shaidatul Bakish Herman, 48, berkata, faktor umur bukan alasan untuk wanita menjadikan aktiviti kecergasan sebahagian rutin harian.

Malah katanya, pada usia sebeginilah sepatutnya perlu terus aktif untuk mengekalkan kesihatan apatah lagi dia juga pernah berdepan saat getir berjuang sebagai pesakit kanser lima tahun lalu.

“Saya sedar hanya dengan amalan dan gaya hidup cergas saja boleh mengembalikan diri saya semula selepas bertarung dengan kanser.

“Tambahan pula gen kanser daripada ibu antara faktor risiko yang saya lupa dan abaikan. Saya teruskan gaya hidup kurang sihat hinggalah saya diserang kanser.

“Sebaik saja habis pusingan kemoterapi dan radioterapi, saya ubah gaya hidup sepenuhnya seolah-olah kemunculan diri saya yang baru dengan memastikan badan sihat, gembira dan positif,” katanya.


ANTARA tarian yang menghangatkan acara.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, dia bermula dengan menyertai zumba dan salsation. Hingga kini dia memastikan dirinya terbabit aktif sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Menariknya, anak sulung juga turut mengikut jejak langkahnya dengan menyertai kelas tarian sekali gus menjadikan aktiviti itu sebagai pengerat hubungan keluarganya.

Turun 15 kilogram kerana menari

Dalam pada itu, pelakon Fazlina Ahmad Daud yang turut menyertai acara itu mengakui selain regim senaman yang biasa dilakukan, menari juga antara cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan dan kesegaran tubuh.

Selain itu katanya, tarian dengan kombinasi unik daripada latihan fizikal, interaksi sosial dan tumpuan dapat membantu menghilangkan tekanan, menambah tenaga dan stamina serta meningkatkan kekuatan otot tubuh.


FAZLINA

“Saya mengalami peningkatan berat badan yang ketara selepas melahirkan anak biarpun semasa di sekolah dulu saya seorang atlit. Saya mula terpanggil untuk amalkan gaya hidup sihat dan cergas selepas suami menjalani pembedahan pintasan jantung tiga tahun lalu.

“Disebabkan kehidupan dan pekerjaan juga membuatkan saya sering tertekan, rasanya hanya dengan aktiviti kecergasan mampu membuat saya lebih gembira dan bebas tekanan.

“Bayangkan sejak mula aktif dalam tarian kecergasan seperti salsation di samping mengamalkan gaya pemakanan yang betul, saya mampu kurangkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, keseronokan dalam aktiviti kecergasan lebih mendorong untuk konsisten dan sebab itu pentingnya aktiviti itu dapat dilakukan secara berkumpulan serta bersama mereka yang bermatlamat sama.


SITI Hadzrah (berdiri lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada NCSM yang diwakili Eksekutif Projeknya, Hibatullah Abdul Rahman (berdiri empat dari kiri).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 3:27 PM