BAYI dan kanak-kanak bawah usia dua tahun paling kerap dijangkiti selesema dan batuk.
Siti Nadirah Hafidzin

Kanak-kanak terutama bayi di bawah usia dua tahun amat mudah mengalami demam, batuk dan selesema. Ia antara masalah kesihatan paling kerap terjadi yang bukan saja menyebabkan si kecil berasa tidak selesa dan meragam hampir sepanjang masa malah mengakibatkan ibu bapa tertekan akibat perlu berjaga sepanjang malam.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila gejala itu berserta kahak atau hingus yang banyak hingga menyebabkan si kecil sukar bernafas atau tercungap-cungap.

Mengikut laporan di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), punca utama selesema dan batuk adalah disebabkan jangkitan virus pada saluran pernafasan di kawasan hidung, tekak dan laring. Biasanya virus ini mudah menyebabkan jangkitan berbanding 100 jenis virus lain.

Mengupas mengenai jangkitan virus yang paling kerap terjadi kepada bayi dan kanak-kanak, pegawai perubatan Dr Mohd Hanafi Abdull Habir berkata, mengikut pemerhatiannya kira-kira 90 peratus kanak-kanak dan bayi dibawa ke hospital mahupun klinik disebabkan jangkitan virus itu.

Menurutnya, batuk atau selesema terjadi kesan daripada jangkitan kuman yang masuk ke saluran pernafasan.

“Walaupun perkara ini sering dibincangkan sejak puluhan tahun lalu, kesedaran dan pengetahuan khususnya dalam kalangan ibu bapa perlu dipertingkatkan saban hari.

“Paru-paru kanak-kanak di bawah usia dua tahun masih lemah dan disebabkan itu mereka golongan paling mudah dijangkiti virus ini,” katanya.

Dr Mohd Hanafi yang juga pemilik Klinik Hanafi berkata, lebih membimbangkan apabila selesema atau batuk menyebabkan kanak-kanak atau bayi kelihatan lemah, bernafas dengan laju atau tidak mahu menyusu dan makan.

“Disebabkan jangkitan virus ini sering kali terjadi dikhuatiri ada di antara ibu bapa yang mengambil mudah dan tidak memberi rawatan sepatutnya.

“Pantau keadaan semasa anak, sekiranya mereka menunjukkan tanda membimbangkan segeralah bawa ke klinik atau hospital berhampiran untuk mengelak risiko tidak diingini,” katanya.

Kesedaran bersama

Menurut Dr Mohd Hanafi, selain mendapat jangkitan daripada individu lain yang lebih dulu dijangkiti virus berkenaan, selesema dan batuk juga terjadi disebabkan faktor sekeliling.

“Paling penting adalah faktor kebersihan terutama di kawasan rumah dan bilik tidur. Penapis alat pendingin hawa atau kipas perlulah dicuci selalu kerana ia juga antara penyumbang utama berlakunya selesema atau batuk.

“Selain itu, ahli keluarga yang merokok perlu memainkan peranan dengan tidak merokok dalam jarak yang dekat dengan kanak-kanak atau bayi. Sebaiknya merokok di luar rumah atau lebih baik, henti terus demi kesihatan ahli keluarga dan diri sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, bagi ibu bapa yang menghantar anak ke taska, tadika atau pusat pengasuhan kanak-kanak dinasihati supaya tidak menghantar anak yang sedang selesema atau batuk bagi mengelak virus daripada merebak dan menjangkiti kanak-kanak lain.

“Oleh kerana ia masalah biasa, ramai ibu bapa memandang ringan perkara ini. Kesedaran semua pihak amat diperlukan dalam menangani penyebaran virus ini kerana ia boleh menjejaskan banyak pihak termasuk prestasi kerja ibu bapa. Selain itu, pengambilan vaksin wajib juga vaksin tambahan juga memainkan peranan dalam aspek kesihatan anak-anak,” katanya.

Dr Mohd Hanafi berkata, mungkin ramai yang tidak tahu faktor genetik juga menjadi penyebab utama mengapa ada segelintir kanak-kanak amat mudah dijangkiti batuk atau selesema.

“Ibu bapa yang mempunyai resdung, asma dan ekzema berisiko melahirkan anak yang mudah dijangkiti batuk dan selesema namun ia tidak terjadi pada semua.

“Walaupun jangkitan virus ini amat mudah berlaku, ibu bapa atau penjaga tidak perlu terlalu bimbang asalkan mendapat rawatan sewajarnya,” ujarnya.


DR Mohd Hanafi

Perhatikan tanda

Dr Mohd Hanafi berkata, perhatikan keadaan anak yang mula menunjukkan tanda dijangkiti virus terutama apabila ia berlarutan selama tiga hari.

Antara tanda yang perlu diperhatikan adalah:

• Berlarutan lebih daripada dua atau tiga hari

• Tidak aktif atau sukar bernafas

• Batuk dan selesema yang berserta demam

• Kahak atau hingus yang bertukar kepada warna hijau atau kuning

• Virus terjadi selepas berjangkit daripada individu lain

• Bernafas dengan laju (kurang oksigen) atau kelihatan tercungap-cungap

• Tidak mahu menyusu atau makan

Rawatan

Menurut Dr Mohd Hanafi, keadaan menjadi lebih teruk apabila kanak-kanak atau bayi tidak tahu untuk membuang hingus atau kahak yang terkumpul.

“Ia menyebabkan mereka tidak boleh tidur akibat sukar bernafas. Lebih membimbangkan apabila mereka menangis berterusan.

“Selain ubat-ubatan yang sesuai dengan usia, saya juga menyarankan supaya rawatan sedut kahak dilakukan bagi membantu proses penyembuhan lebih cepat,” katanya.

Dr Mohd Hanafi berkata, selain rawatan itu, ibu bapa juga disarankan untuk melakukan teknik mengewap pada bahagian dada.

“Boleh panaskan periuk nasi yang berisi air dan limau atau bawang putih, selepas air mendidih, sejukkan seketika sebelum wap itu dihidu anak-anak yang selesema atau batuk dalam posisi tunduk.

“Selesai teknik mengewap, boleh tepuk perlahan-lahan pada dada kanan dan kiri. Tepuk selama satu minit bagi setiap belah,” ujarnya.

Menurutnya, dalam menangani gejala itu, kesabaran ibu bapa juga penjaga amat diperlukan.

“Walaupun tidak mudah untuk sembuh dengan cepat namun sekiranya langkah pencegahan dilakukan dengan baik, risiko untuk dijangkiti akan berkurang.

“Ini antara fitrah dalam proses membesarkan anak-anak, apa yang penting adalah keprihatinan ibu bapa dalam menangani virus paling kerap dihadapi kanak-kanak dan bayi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 1:02 PM