PELANCARAN aplikasi teknologi ‘Ask Maya’, baru-baru ini.
PELANCARAN aplikasi teknologi ‘Ask Maya’, baru-baru ini.
Siti Nadirah Hafidzin

Cahaya mata adalah pengikat kasih sayang dan penyeri dalam rumah tangga. Pastinya, kehadiran permata hati dinantikan kebanyakan suami isteri terutama jika ia adalah cahaya mata sulung.

Selepas kelahiran anak sulung, semua ibu disaran untuk menjarakkan kehamilan ketika menjalani pemeriksaan lanjutan di klinik. Ada ibu yang mengambil berat, malah tidak kurang juga ada yang bersikap sambil lewa apabila membincangkan isu merancang kehamilan.

Tentu saja isu ini penting kerana jika tidak, jururawat atau doktor tidak akan menyentuh topik berkenaan, apatah lagi disebabkan ia berkaitan soal kesihatan si ibu.

Sebenarnya, bagi menggalakkan pasangan untuk merancang kehamilan terutama untuk kebaikan diri si ibu dan kandungan, suami juga bertanggungjawab memainkan peranan mereka selain memberi sokongan dalam hal itu.

Namun tidak ramai suami yang mengambil tahu dengan mendalam mengenai kaedah perancangan keluarga untuk mereka menjarakkan anak. Justeru, untuk membolehkan pihak bapa turut mendapat maklumat ini, aplikasi ‘Ask Maya’ dilancarkan sempena Hari Kontraseptif Sedunia 2018 yang disambut setiap 26 September dengan sokongan 17 gabungan rakan kongsi antarabangsa dan ditaja Bayer.

‘Ask Maya’ diperkenalkan untuk membantu wanita dan lelaki mengakses maklumat tepat bagi mengamalkan kaedah kontraseptif yang sesuai untuk perancangan keluarga. Chatbot ini memberikan maklumat serta pilihan kaedah kontraseptif dan mendidik cara penggunaan pil kontraseptif, kondom serta peranti perubatan yang berada di pasaran.

Ia juga mengandungi soalan lazim yang sering diajukan, peringatan pengambilan pil dan kalendar yang mengunjurkan pengguna untuk mendapatkan nasihat doktor jika mereka mempunyai soalan lanjut.

Mengulas mengenai kaedah perancangan keluarga serta kesihatan seksual dan reproduktif, Perunding Obstetrik & Ginekologi dan ahli bagi Ahli Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr John Teo berkata, kadar lazim kontraseptif (pencegahan kehamilan) di Malaysia berada pada kadar 55 peratus bagi semua kaedah dan 35 peratus bagi kaedah moden.

“Apa yang dibimbangkan adalah kadar ini kekal pada tahap sama dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu. Oleh itu, cabaran bagi mengetengahkan isu kesihatan reproduktif pada hakikatnya sukar di Malaysia.

“Kajian penduduk dan keluarga di negara ini pada 2014 melaporkan, secara purata hanya 40 hingga 60 peratus remaja dan generasi muda mempunyai pengetahuan reproduktif asas, walhal ia amat penting bagi setiap wanita untuk belajar dengan lebih mendalam mengenai kontraseptif dan memperbetulkan tanggapan mereka mengenai perkara ini,” katanya.

Menurutnya, pengetahuan lengkap perlu diberikan kepada setiap wanita bermula daripada kanak-kanak sehingga menjadi remaja kerana ia perlu difahami secara akar umbi.

“Bagi pasangan berkahwin, ia antara perkara paling utama yang tidak boleh dipandang remeh. Ini kerana ia bukan saja membabitkan soal kewangan keluarga malah lebih kepada kesihatan si isteri juga pembesaran anak-anak.

“Atas sebab itu juga, perancangan kehamilan antara topik paling utama bukan saja kepada isteri, malah kepada si suami,” katanya.

DR John Teo (kanan) memberi penerangan.
DR John Teo (kanan) memberi penerangan.

Tambahnya, atas sebab itu, dia amat mengharapkan semua pihak bijak dalam memainkan peranan masing-masing untuk kebaikan bersama.

“Mungkin masih ramai tidak membincangkan isu ini secara terbuka, mungkin juga ada pasangan mahu mendapatkan maklumat namun tidak mengetahui saluran yang betul dan mudah.

“Kekangan masa juga menyebabkan ramai pasangan yang akhirnya memilih untuk tidak mengambil tahu mengenai kaedah perancangan kehamilan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembabitan Bayer Co (Malaysia) dalam isu ini, Pengarah Urusan Bayer, Jennifer Yong berkata, pihaknya mempunyai sejarah dalam kesihatan wanita dan sentiasa menyokong program serta inisiatif membabitkan perancangan keluarga selama hampir 50 tahun.

“Pelancaran chatbot ‘Ask Maya’ ini membawa usaha kami ke tahap seterusnya untuk kekal seiring teknologi moden. ‘Ask Maya’ boleh diakses melalui laman web ‘How U Know’ (www.howuknow.com) yang turut mempromosikan kaedah kontraseptif bagi membantu wanita dan lelaki untuk membuat keputusan yang tepat dan mempunyai informasi kesihatan seksual dan reproduktif,” katanya.

Tambahnya, inisiatif chatbot ‘Ask Maya’ dijayakan menerusi kerjasama antara Bayer bersama FRHAM dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia Jilid Ahli Farmasi Muda (MPS-YPC).

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi MPS-YPC Cedric, Chua Jong Jie berkata, kebanyakan wanita malu untuk berbicara mengenai topik intim.

“Peranan kami untuk menggalakkan mereka menjadi lebih berani di samping memperkasakan sebanyak mungkin ahli farmasi untuk menyalurkan maklumat yang tepat kepada wanita. Diharap dengan adanya aplikasi ini, banyak masalah dapat diatasi membabitkan perancangan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 2:40 PM