(KIRI) TUDUNG empat segi bercorak lengkapkan busana polos. (Kanan) PENAMPILAN eksklusif dengan gaya elegan.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


SOFEAROSE mula dikenali sejak 2014 sebagai pengeluar tudung segera. Pengaruhnya yang kuat membawa jenama ini merentas arus fesyen perdana menerusi pelbagai koleksi tudung dan selendang daripada polos, bercorak, satin mewah sehingga lengkap dengan perincian kristal Swarovski.

Terbaru, jenama ini memperkenalkan koleksi Clara Luxe sempena kempen Bulan Kesedaran Kanser Payudara bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Mengangkat nilai wanita dari perspektif berbeza, jenama itu memilih fabrik satin mewah yang disempurnakan dengan taburan kristal sebagai simbolik kecekalan kaum Hawa berdepan dugaan kanser.

Tidak mahu terikat dengan gaya polos, jenama ini turut melancarkan koleksi terbaru, Madrid Swarovsksi buat pencinta tudung bercetak. Diinspirasikan daripada seni Islam kota Madrid, Sepanyol, setiap lorek corak mempunyai ceritanya yang tersendiri dalam motif yang dipilih.

Menurut Pengarah Kreatifnya Farrah Aina Sofian Sauri, koleksi baru itu masih mengekalkan pilihan material satin eksklusif yang menjadi tanda pengenalan jenama terbabit sejak dulu.

“Setiap helai koleksi ini dihiasi 60 butir batu kristal Swarovski yang menawan. Sebenarnya, identiti kami adalah abstrak seni. Sejak tahun lalu kami memang bekerjasama dengan pelukis negara, Yusof Ghani untuk menghasilkan koleksi istimewa, Art to Wear.

“Kalau tahun lalu kami bawakan Art to Wear London, tahun ini temanya adalah Art to Wear Madrid. Bagi rangkaian hijab, inspirasi juga diambil berdasarkan musim. Umpamanya, hujung tahun ini kami akan mengeluarkan koleksi alam dengan konsep santai, malar segar dan ringkas.

“Kami tawarkan koleksi tudung dengan corak abstrak yang berunsurkan lakaran seni. Selain itu, kami juga menggunakan fabrik satin kusam untuk menonjolkan impak mewah dan selesa kepada pemakai,” katanya.

Kata Farrah, keselesaan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya. Oleh itu, setiap kali mengeluarkan koleksi terbaru, pihaknya akan menilai jenis fabrik digunakan supaya sesuai dan selesa dengan cuaca di Asia yang panas dan lembap.

“Kami juga memberi keutamaan kepada perincian dan pemilihan warna setiap tudung. Kalau boleh, biarlah koleksi yang dikeluarkan berpadanan dengan ton kulit masyarakat setempat, tidak dipengaruhi cuaca sejuk mahupun panas,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan pengikut fesyen Muslimah hari ini terdiri daripada wanita muda dan berkerjaya. Berikutan itu, pihaknya selesa mengekalkan potongan jenis selendang yang lebar dan panjang serta tudung empat segi untuk memenuhi keperluan ramai. Ukuran setiap helaian pula dipastikan mematuhi syariat.

Meneliti koleksi terbarunya, Clara Luxe hadir dengan 17 warna pilihan, sementara Madrid Swarovski mempunyai 12 rona sesuai dengan semua jenis kulit dan majlis.

“Pemakai tidak perlu risau dengan perubahan cuaca kerana fabrik yang digunakan tidak licin mahupun kedap. Pemakaian tudung untuk tempoh lama juga tidak akan membuatkan pemakai rimas, panas atau menyebabkan kulit kepala berbau kerana ciri pengudaraan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 3:59 PM